ANUAR ZAIN bersama dengan Pengarah Urusan Universal Music, Loan Cheong sewaktu majlis pelancaran buku koleksi foto konsert Anuar Zain –Tiga Dekad: Muzik, Cinta dan Sanubari, baru-baru ini.
JIKA diselak kembali memori pada tahun 2013, Stadium Shah Alam, Selangor pernah digegarkan dengan kepadatan peminat yang menghadiri konsert penyanyi lelaki tersohor negara, Anuar Zain menerusi konsert Anuar Zain - Tiga Dekad: Muzik, Cinta dan Sanubari.
Gamat dengan jeritan suara daripada peminat, ternyata hasil usaha keras pemilik nama sebenar Shahrul Anuar Zain itu nyata telah mencipta fenomena tersendiri, sementelah konsert itu sempena meraikan tempoh 30 tahun jejaknya bertapak dalam kancah industri seni negara.
Bertunjangkan hasrat menghargai peminat, Anuar Zain Network dengan kerjasama Universal Music Malaysia dan TGV Cinemas kini mengambil pendekatan untuk memancarkan konsert tersebut ke layar perak selain turut melancarkan CD, VCD dan DVD konsert berkenaan.
Bakal menjengah pawagam dalam masa terdekat, penayangan konsert tersebut merupakan satu langkah untuk memberi peluang kepada peminatnya menyaksikan persembahan berprestij penyanyi kelahiran Merlimau, Melaka itu di layar perak.
Tersenyum mesra, penyanyi berusia 45 tahun itu berkata, tarikh pertama penayangan konsert Anuar Zain - Tiga Dekad: Muzik, Cinta dan Sanubari tersebut akan bermula pada 15 Februari depan bertempat di TGV, One Utama sebanyak dua kali tayangan.
“Pada tarikh itu juga akan dilancarkan CD, VCD dan DVD konsert Anuar Zain - Tiga Dekad: Muzik, Cinta dan Sanubari. Selepas di TGV One Utama, lokasi seterusnya untuk menayangkan serta mempromosi CD konsert itu bakal diberitahu kelak oleh pihak pengurusan.
“Saya akan turun padang di setiap lokasi untuk bersama-sama dan beramah mesra dengan peminat. Bagi saya, peminat ialah tunggak utama kepada jatuh bangun seseorang artis. Inilah masa yang sesuai untuk saya menunjukkan penghargaan dan berjumpa dengan mereka,” ujar pelantun lagu Sedetik Lebih itu ceria.
Harga tiket bagi menyaksikan tayangan khas konsert berkenaan ialah sama dengan harga biasa menonton wayang. Untuk menempah tiket dan mendapatkan maklumat lanjut, layari www.tgv.com.my atau laman Facebook TGVCinemas.
CD, VCD dan DVD konsert Anuar Zain - Tiga Dekad: Muzik, Cinta dan Sanubari pula boleh didapati di cawangan Speedy Video seluruh negara pada harga RM49.90 (DVD) dan RM32.90 (CD).
MASIH mengejar impian. Meskipun sudah beberapa kali mengadakan persembahan berskala konsert, figura tampan ini masih belum puas untuk menghiburkan peminatnya.
Konsert di Singapura
Berkongsi lebih lanjut mengenai perjalanan kariernya, adik kepada penyanyi terkenal Ziana Zain itu mengumumkan dia bakal mengadakan sebuah konsert di negara jiran Singapura.
Diberi judul Anuar Zain Three Decades Of Music Live In Singapore 2015, konsert itu akan diadakan pada 7 Februari depan bertempat di The Star Theatre @ The Star Performing Arts Centre, Singapura.
Masih mengekalkan persembahan dengan seleksi lagu hit sama seperti konsert terdahulu, Anuar nyata teruja dengan konsert tersebut. Akuinya, sudah lama dia mengimpikan sebuah persembahan berskala besar di negara berkenaan.
“Kalau diikutkan, impian saya belum tercapai. Saya mahu mengadakan persembahan konsert berskala mega sekali lagi. Mungkin lebih besar berbanding di Shah Alam, Selangor terlebih dahulu dan di Singapura pada masa akan datang.
“Bagaimanapun, semuanya bergantung kepada keadaan dan perancangan. Apa yang penting, konsert di Singapura pada 7 Februari depan juga merupakan salah satu platform untuk saya sentiasa aktif mengadakan persembahan untuk peminat,” ujarnya mesra.
Tiket bagi konsert itu boleh didapati di laman www.sistic.com.sg atau di talian (+65) 6348 5555. Peminat juga boleh mengunjungi laman sosial Facebook HyperRecords dan Twitter HyperRecordSSG bagi mendapatkan maklumat lanjut.
Album
Berbicara mengenai aktiviti nyanyiannya pula, Anuar memberitahu dia kini sedang mengumpulkan material untuk album terbaharunya. Jelasnya, sehingga kini sebanyak enam buah lagu sudah pun diterima dan dia masih memilih dua buah lagu lagi untuk dimuatkan dalam album tersebut.
“Insya-Allah, kalau boleh saya mahu ia (album) keluar pada tahun ini. Hanya dua buah lagu lagi diperlukan untuk melengkapkan album ini. Memilih lagu yang terbaik sangat rumit sebenarnya. Bagaimanapun, ada juga sesetengah lagu yang sekali dengar, saya terus jatuh cinta.
“Sepanjang pembikinan lagu-lagu dalam album ini, majoriti komposernya terdiri daripada komposer tempatan, namun saya juga turut menggunakan lagu hasil komposer Indonesia. Misalnya, daripada enam buah lagu yang telah dipilih, lima daripadanya karya komposer tempatan, manakala sebuah lagi daripada komposer Indonesia.
“Saya selesa memilih untuk terus mengeluarkan album berbanding ikut trend penyanyi zaman sekarang yang lebih suka melancarkan single terlebih dahulu sebelum rangkumkan ia menjadi sebuah album. Lain orang lain caranya.
“Bagi saya, penerbitan album baharu ialah cara untuk menghargai peminat yang menyokong perjalanan seni saya dari dahulu sehingga kini. Sebab itu, saya pilih untuk keluarkan album. Semuanya untuk menggembirakan peminat,” ujar Anuar panjang lebar.
Pada majlis yang sama, Anuar turut memperkenalkan sebuah buku yang memuatkan koleksi foto istimewa sepanjang berlangsungnya konsert pada tahun 2013, termasuklah foto di sebalik tabir pembikinan konsert berkenaan.
Buku berkenaan akan dilancarkan dalam masa terdekat. Maklumat lanjut mengenai buku tersebut akan dikongsikan di laman Facebook Anuar Zain Network.