SEKITAR Ogos tahun lalu, pelawak terkenal dari kumpulan Senario, telah dimasukkan ke Hospital Damansara kerana masalah batu dalam hempedu.
Baharu sahaja mengetahui akan penyakit yang menyerangnya itu, Azlee atau nama sebenarnya, Mohd Azlee Jaafar, segera melakukan pembedahan agar ianya tidak merebak lebih teruk sehingga menyukarkan pergerakan dan kesihatan.
Berpeluang bertemu dengan penghibur ini di majlis pelantikannya sebagai duta sejenis produk makanan kesihatan keluaran RCC Global di Hotel de Palma, Azlee memberitahu bahawa tahap kesihatannya kini bertambah baik.
"Alhamdulillah, setelah menjalani pembedahan kecil itu, saya kembali sihat seperti biasa dan dapat meneruskan aktiviti dan kerja-kerja seni.
"Sebelum ini, saya tidak pernah mengidap sebarang penyakit lain dan batu dalam hempedu ini berpunca kerana silap makan," katanya yang baharu sahaja dilantik sebagai duta bermula 1 Januari lalu.
Bertanya mengenai pelantikan itu, Azlee memberitahu sebelum ini dia pernah ditawarkan untuk menjadi duta produk, namun terpaksa ditolak atas sebab-sebab tertentu.
"Sebagai selebriti, saya tidak boleh main 'cekau' sahaja apa-apa tawaran kerana ia melibatkan nama saya. Jadi, saya hanya akan bersetuju sekiranya ia memberi faedah dan kebaikan yang boleh dikongsi kepada kesemua lapisan peminat saya.
"Untuk RCC Global, saya yakin, produk ini mampu memberi kebaikan kepada seluruh masyarakat di mana ia adalah produk makanan kesihatan. Saya mula mengamalkan produk, pemanis semula jadi Stevia sejak tahun lalu.
"Selepas ini, saya akan bersama-sama RCC Global dalam mengembangkan lagi penggunaan produk pengganti gula ini dan menyertai aktiviti yang dianjurkan," katanya yang dilantik selama setahun.
Senario belum terkubur
Meskipun nama kumpulan ini semakin sepi dari dunia komedi dengan lahirnya kumpulan-kumpulan baharu, namun sehingga kini Senario masih lagi bernafas.
Menurut Azlee, dia, Wahid dan Lan masih lagi menganggotai kumpulan itu namun masing-masing lebih terikat kepada undangan pengacaraan secara individu.
"Senario masih lagi bertahan hingga ke hari ini dan tidak lama lagi, kami akan muncul dengan projek animasi, Senario Toons sebanyak 13 episod untuk siaran televisyen.
"Ianya berkisarkan mengenai sekumpulan kanak-kanak yang bersekolah dan tinggal di kampung yang sama. Malah, ianya juga akan menyelitkan kisah-kisah sebenar Senario.
"Sehingga kini, kami telah menyiapkan enam episod. Insya-ALLAH, kami ada merancang untuk membuat 'comeback' malah teringin juga untuk bersama pelawak lain di pentas Maharaja Lawak Mega (MLM)," katanya yang berhasrat untuk mengumpulkan kesemua bekas anggota Senario termasuk Apek, Yassin, Hamdan dan Ilya.
Dalam perkembangan lain, Azlee juga kini giat menguruskan syarikat sendiri, GE Events Management yang mula beroperasi sejak tahun lalu.
"Sebelum saya menamatkan kontrak bersama TV3, saya menubuhkan syarikat ini sebagai salah satu punca pendapatan lain.
"Menerusi syarikat pengurusan acara ini, saya telah menyempurnakan beberapa majlis gemilang terutamanya untuk kerajaan Johor," katanya lagi.