PASANGAN selebriti, Hairul (kiri) dan Hanis bakal melangsungkan perkahwinan pada pertengahan tahun ini.
Selepas pengacara dan pelakon popular, Hanis Zalikha, 25, dilamar oleh kekasihnya Hairul Azreen, 27, secara langsung dalam program akhir Gegar Vaganza pada awal Januari lalu, kini pasangan itu sedang ligat membuat persiapan perkahwinan.
Buktinya jelas terpampang dalam akaun Instagram Hanis yang secara terbuka berkongsi kegembiraan mencari kelengkapan perkahwinan di luar negara seperti London, England; Paris, Perancis dan Jakarta, Indonesia bersama peminatnya. Bukan itu sahaja, cincin perkahwinan pasangan itu dibeli di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu.
Hanis ketika dihubungi Artis Meletop! baru-baru ini mengesahkan percutiannya diluar negara bertujuan untuk membeli barang majlis perkahwinannya. Meskipun belum mendapat tarikh muktamad untuk hari bahagianya, kata Hanis, persiapan sedang ligat dijalankan oleh keluarga kedua-dua belah pihak kerana mereka dijangka melangsungkan perkahwinan pada pertengahan tahun ini.
Berstatus selebriti, Hanis tidak mengimpikan sebuah majlis besar-besaran dan mewah, sebaliknya memadai ia berlangsung dengan meriah serta sempurna.
Artis Meletop!:Selepas dilamar Hairul dalam sebuah program televisyen, sudahkah Hanis dirisik oleh keluarganya secara rasmi?
Hanis: Keluarga kami sudah bertemu dan berbincang secara tidak rasmi. Sebelum itu, Hairul juga sudah berjumpa keluarga saya.
Bilakah tarikh pernikahan anda dan adakah kalian akan bertunang terlebih dahulu sebelum berkahwin?
Apa yang boleh saya katakan, selepas perbincangan keluarga, kami akan berkahwin dalam pertengahan tahun ini juga, cuma tarikh muktamad masih belum dapat dipastikan lagi. Ini kerana kami masih mencari lokasi yang sesuai untuk majlis resepsi sebelah pihak lelaki. Selepas semuanya selesai barulah saya akan umumkan tarikh pernikahan kami. Soal bertunang, itu saya tidak boleh jawab kerana masih dalam peringkat perbincangan antara kedua belah keluarga.
HANIS ZALIKHA mengimpikan sebuah majlis perkahwinan yang santai dan meriah.
Adakah percutian di luar negara baru-baru ini bertujuan membeli barang perkahwinan?
Sebenarnya memang saya telah merancang sebelum berkahwin, saya ingin membawa keluarga pergi bercuti. Kebetulan sudah berada di sana, lebih baik terus beli barang perkahwinan. Ibu bapa saya pula meminta saya membawa Hairul sekali kerana ada juga beberapa barang penting yang harus mendapat persetujuan daripadanya seperti cincin. Saya telah ke London dan Paris selama 10 hari. Selepas itu, saya terus ke Jakarta bersama ibu Hairul membeli kain untuk baju perkahwinan.
Mengapakah anda perlu membeli barang perkahwinan sehingga ke luar negara?
Sebab kebanyakan barang yang ingin saya beli harganya di Malaysia terlalu mahal, tetapi di luar negara jauh lebih murah. Dubai misalnya, memang terkenal dengan barang kemas yang berkualiti dan harga yang berpatutan.
Kebetulan kami transit untuk ke London di Dubai, jadi kesempatan itu digunakan untuk membeli cincin perkahwinan dan beberapa barang kemas lain untuk dijadikan hantaran.
Bagaimana perasaan anda apabila majlis perkahwinan semakin hampir?
Saya rasa seronok membeli barang, pilih tema dan warna. Sebelum ini saya hanya membantu orang lain merealisasikan perkahwinan mereka tetapi sekarang saya sendiri rasai debaran bakal pengantin.
Disebabkan selalu melihat perkahwinan yang mewah dan gah sepanjang menjadi pengacara untuk program Raikan Cinta, saya mahu majlis perkahwinan berlangsung di kediaman keluarga dalam keadaan santai dan meriah.
Biasanya majlis di hotel disertai dengan protokol dan pengantin berada jauh di atas pentas. Kalau boleh saya tidak mahu protokol dan mahu berjumpa dengan semua tetamu yang hadir.
HANIS dan Hairul ketika membeli cincin perkahwinan di Dubai.
Kenapakah anda bersikap terbuka soal perkahwinan sedangkan tarikh pernikahan belum ditetapkan?
Saya tidak ada sebab untuk sorok perkahwinan kerana selepas lamaran secara langsung itu, semua orang tahu saya dan Hairul akan berkahwin. Apa salahnya saya kongsi perkara yang menggembirakan bersama orang lain termasuk peminat. Tujuan saya berkongsi gambar-gambar barangan perkahwinan di luar negara bukan untuk riak sebaliknya, memberi inspirasi kepada mereka yang ingin berkahwin.
Adakah majlis perkahwinan anda akan mendapat tajaan dan liputan siaran langsung?
Soal tajaan itu memang ada yang berminat namun, saya tangguhkan terlebih dahulu kerana memberi laluan kepada keluarga kedua-dua pihak untuk memberi idea mereka. Jika ada yang sesuai barulah tajaan akan dimasukkan sekali. Memang pihak penerbitan program Raikan Cinta akan membuat liputan tetapi bukanlah secara langsung. Mereka telah mengikut saya ke London dan Paris untuk merakam persiapan perkahwinan. Sebenarnya, saya tidak percaya program yang saya kendalikan akan buat liputan perkahwinan pengacaranya pula (ketawa).
Apakah perkembangan terbaharu kerjaya seni anda?
Walaupun sibuk dengan persiapan perkahwinan, kerjaya sebagai pengacara program Raikan Cinta yang sudah masuk musim kelima masih diteruskan seperti biasa. Bagi musim kelima, saya membuat liputan semua majlis perkahwinan selebriti sahaja. Itu sahaja buat masa ini kerana jadual saya sudah cukup padat.