Berpunca daripada masa yang singkat untuk bersama dengan suaminya yang bekerja sebagai juruterbang, Misha Omar mengakui bahawa perkara tersebut dalam masa yang sama membuatkan hubungan mereka lebih rapat lagi.
Tambahnya lagi, disebabkan insiden yang melibatkan kapal terbang terjadi, perkara tersebut juga membuatkan keluarga bertambah rapat.
“Kebanyakkan antara mereka apabila banyak tragedi sebegitu berlaku, mereka jadi begitu. Tapi baguslah ini membuatkan hubungan suami, isteri dan anak bertambah rapat”
“Dia akan keluar bertugas selama 4 ke 5 hari dan akan balik untuk 48 jam sahaja di rumah. Apabila dia di rumah kita tahu dia letih, kita pun tak nak susahkan dia. Sebelum pergi kerja, dia nak tengok muka saya ini sampaikan Kak Mimi (kakak Misha) kata suami kau ini manjalah,” katanya yang ditemui selepas sahaja selesai Teater Diari Wanita di Istana Budaya kelmarin.
Selain itu, dalam masa yang sama, Misha juga turut mengakui dia kini lebih matang dan berdikari apabila segala urusannya kini diselesaikannya sendiri tanpa bantuan kakaknya, Mimi.
“Alhamdulillah kehidupan saya bertukar sepenuhnya, selepas berkahwin dan berpindah ke rumah suami di Cheras. Segala urusan keluarga diuruskan saya sendiri. Semua ini baru bagi saya, sebab sebelum ini sudah ada orang yang uruskan,” ujarnya lagi.