Keluarga bahagia Memey



SELEPAS berkahwin dan melahirkan anak pertamanya, Muhammad Darwisz Hakim yang kini berusia dua tahun, aktres jelita, Memey Suhaiza Suhaimi mengambil keputusan untuk memperlahankan langkahnya dalam pentas lakonan.

Malah, sebelum itu, suaminya, aktor berbadan sasa, Norman Hakim turut menetapkan beberapa syarat kepada pelakon yang dikenali menerusi drama Rahsia Sebuah Pengorbanan ini jika mahu kembali aktif berlakon.

Selepas berkahwin, akui Memey, berlakon bukan lagi menjadi keutamaannya kerana keluarga tetap berada dalam piramid paling atas kehidupannya. Malah dia semakin bahagia bersama keluarga tercinta.




"Apabila dah menjadi isteri dan ibu, pastinya perhatian saya lebih kepada keluarga.

"Alhamdulillah, tawaran berlakon memang sentiasa ada cuma saya tak lagi aktif seperti dulu sehingga boleh ambil dua ke tiga 'job' dalam satu-satu masa," katanya.

"Tambahan pula, sejak berhijab, saya agak memilih watak agar bersesuaian dengan imej yang ditonjolkan ini," katanya ketika ditemui Zass selepas Program Pra Pelancaran Bazaare, baru-baru ini.

Bagaimanapun, teraju utama drama Karipap Istimewa ini, tidak bermaksud mahu terus bersara dari bidang seni yang dicintai ini.

"Walau apa pun, saya tak nak berhenti terus dari berlakon.

"Lagipun ini (berlakon) adalah minat dan jiwa saya. Kadang-kadang saya terima tawaran tertentu agar peminat tidak lupa saya.

"Oleh sebab itu, dalam masa sama, saya aktif dalam menguruskan perniagaan busana Muslimah," katanya.

Begitu pun, Memey yang kini sedang sarat hamil mengakui terpaksa terpaksa berhenti sementara daripada dunia lakonan. Meskipun begitu, itu bukanlah bermakna, dia terus berehat daripada melakukan apa-apa.

"Usia kandungan saya kini sudah mencecah lebih tujuh bulan dan saya telah berehat sementara daripada berlakon, sejak dua bulan lalu.

"Penggambaran terakhir saya ialah menjayakan drama bersiri, Udin Glamor Balik Kampung musim kedua untuk siaran RTM.

"Nama saja bercuti, tapi sebenarnya saya sibuk dengan pelbagai urusan lain demi memenuhi komitmen sebagai duta produk Ephyra di samping menguruskan bisnes dan anak.

"Insya-ALLAH, saya akan betul-betul berehat pada awal April nanti sementara menunggu masa untuk melahirkan," katanya.

Pada masa sama, Memey bakal menimang anak kedua pada April nanti.

"Insya-ALLAH, kami bakal mendapat anak lelaki lagi (senyum).

"Perasaan teruja itu tetap ada tetapi jika dari segi persediaan tidaklah seperti sebelum ini.

"Barangan asas seperti kereta sorong bayi dan katil bayi sudah ada. Guna semula yang sebelum ini.

"Cuma barangan seperti pakaian, saya akan beli apabila kandungan sudah memasuki usia lapan bulan nanti," katanya yang selalu bercerita mengenai kandungannya itu kepada anak sulungnya itu.

Hasrat buka butik

Minatnya yang suka membeli-belah menyebabkan suaminya, Norman memberi idea kepada Memey agar memulakan perniagaan busana Muslimah.

Sejak itu, Memey mula bergiat aktif menjual pelbagai jenis busana Muslimah di bawah label Maya Delaila menerusi perniagaan dalam talian (online).

"Suami penyokong kuat saya.

"Dia (Norman) kata kenapa tak kita membuat sendiri benda yang kita suka daripada terus-menerus membeli barangan orang?," katanya.

Bermula dengan suka-suka, Memey akhirnya membeli kain pasang dan menghantarnya kepada tukang jahit.

"Saya sering ditanya peminat mengenai baju yang saya pakai. Malah, siap tanya, beli di mana.

"Bila fikir-fikir pasal itu, saya terus buat sendiri dan Alhamdulillah, saya tak sangka ia mendapat sambutan memberangsangkan," katanya.

Tambah pelakon berusia 27 tahun ini, demi mengembangkan perniagaannya, dia berhasrat membuka butik, tahun ini. "Perancangan sudah ada dari tahun lepas lagi.

"Saya cuma mementingkan lokasi yang sesuai.

"Apa yang penting, berdekatan dengan rumah kerana komitmen terhadap anak-anak sangat tinggi," katanya.



Previous Post Next Post