Berlakon uji kesabaran Siti Nordiana



SELAIN terkenal dalam bidang nyanyian, Nana atau nama sebenarnya Siti Nordiana Alias pernah berlakon dalam beberapa drama seperti Wad 04, Helah, 3 Dara Pingitan dan Aku Budak Minang 2.

Begitu pun, karier lakonan pelantun lagu Benang Emas ini dilihat semakin malap, sejak akhir-akhir ini.

"Kali terakhir saya menjalani penggambaran kira-kira dua tahun lalu. Sebenarnya, saya lagi suka dengan bidang nyanyian berbanding lakonan.

"Salah satu sebabnya, berlakon betul-betul menguji kesabaran apatah lagi dengan ia memerlukan masa menunggu di sesuatu lokasi dengan cukup lama.

"Jadi, banyak masa yang terbuang begitu saja. Tambahan pula, saya bukanlah seorang yang penyabar.

Tapi, saya sangat menghormati kepada semua pelakon lain kerana sabar dalam mengharungi keadaan seperti itu," katanya kepada Zass ketika ditemui baru-baru ini.

Bagaimanapun, kata Nana, itu bukanlah bermakna dia akan bersara terus dari bidang tersebut.

"Jika ada tawaran yang bersesuaian dan ia bertujuan untuk berdakwah, saya akan menerimanya.

"Sekiranya watak yang ditawarkan itu mampu memberi kebaikan dan manfaat kepada yang lain. Apa salahnya?," katanya.




Dalam perkembangan lain, Nana kini tampil duet bersama Aliff Aziz menerusi lagu Tak Ada Cinta Sepertimu yang menjadi runut bunyi untuk drama bersiri popular, Istikharah Cinta.

Namun begitu, nasib lagunya itu masih sama seperti lagu-lagunya yang lain apabila kurang diputarkan di stesen-stesen radio.

"Masih sama macam dulu, masih tidak terpilih untuk dimainkan di radio-radio.

"Bagi saya, mungkin ia tiada masalah. Jika sesuatu lagu itu bagus dan masyarakat juga sukakannya, akhirnya orang akan tahu lagu tersebut dan popular," katanya yang kini sibuk menguruskan perniagaan pakaian Muslimah yang diusahakannya di bawah label Paling Comel.

Dalam pada itu, pelantun lagu Cinta Hanya Sandaran itu bakal muncul dengan sebuah album berkonsepkan nasihat dan motivasi bagi kanak-kanak, tidak lama lagi.

Album berjudul Dodoi Anak itu dalam proses pembikinan dan mendapat kerjasama daripada Hafiz Hamidun.



Previous Post Next Post