DRAMA bersiri 60 episod, Keluarga Karaoke akan mula disiarkan pada 9 Februari ini.
PELBAGAI inisiatif diambil oleh setiap produksi dalam menghasilkan sebuah produk yang berkualiti dan mencerminkan realiti. Langkah itu turut dilakukan oleh KL Motion Pictures Sdn. Bhd. menerusi drama bersiri 60 episod terbaharu, Keluarga Karaoke.
Jelas pengarah drama bersiri itu, Wan Hasliza Wan Zainuddin, pihaknya telah membina sebuah set lengkap pusat karaoke dan kediaman milik pasangan watak dalam karya komedi kekeluargaan itu untuk memberikan kelainan dan memudahkan urusan penggambaran dilakukan selama lebih tiga bulan.
“Agak sukar sebenarnya mendapatkan kerjasama daripada pusat-pusat karaoke di sekitar Lembah Klang memberikan kelulusan untuk produksi melakukan penggambaran bagi jangka masa yang panjang. Jadi, kami mengambil inisiatif membina sebuah pusat karaoke keluarga bagi menyenangkan penggambaran.
“Selain faktor masa dan menyuntik elemen kelainan, penggambaran itu juga akan menggunakan ruang yang luas dan hal ini akan menyukarkan kerja kami sekiranya melaksanakan penggambaran di pusat karaoke sedia ada. Selain pusat karaoke, sebuah kediaman untuk pasangan Azura dan suaminya disediakan bagi melancarkan proses penggambaran,” katanya yang ditemui pada majlis sidang akhbar dan pelancaran drama bersiri Keluarga Karaoke di Red Box Pavilion, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Keluarga Karaoke mengisahkan kehidupan keluarga Maria (Raja Ema) yang baru kematian suami. Satu demi satu rahsia terbongkar bermula dengan masalah hutang arwah suaminya berjumlah RM10 juta, ditambah pula dengan peninggalan perniagaan pusat hiburan karaoke, D’Maria. Segala yang berlaku itu mengejutkan Maria tetapi memberikan impak kepada kehidupan tiga orang anak perempuannya, Azura (Sherry Ibrahim), Baizura (Elyana) dan Fazura (El Faezah Ul-Haq).
Jelas Wan Hasliza, kisah yang ditampilkan dalam Keluarga Karaoke merupakan fiksyen dan imitasi kehidupan harian individu biasa. Bagaimanapun, drama bersiri itu tidak meniru mana-mana naskhah yang pernah disiarkan di kaca televisyen sebelum ini.
Ujarnya: “Keluarga Iskandar misalnya adalah sebuah drama bersiri mockumentary, manakala Keluarga Karaoke adalah drama rantaian bersifat komedi ringan. Fokus ceritanya berkenaan kekeluargaan dan rahsia yang terbongkar satu persatu selepas Maria kematian suaminya. Kisah bertambah menarik apabila dimasukkan beberapa subplot yang akan menghurai segala kekusutan.”
Menjelaskan mengenai konsep muzikal yang mungkin diselitkan dalam drama yang memilih judul ‘karaoke’ itu sendiri, kata Wan Hasliza lagi, ada beberapa buah episod yang akan menyelitkan nyanyian dalam lakonan, namun tidak mencacatkan pergerakan cerita dan masih mengekalkan genre yang sama iaitu drama komedi kekeluargaan dan bukannya sebuah muzikal.
“Memang ada beberapa episod yang menampilkan pelakon itu menyanyi beberapa buah lagu yang pernah diterbitkan Astro sebelum ini kerana ingin memberikan elemen kelainan serta bersesuaian dengan elemen karaoke yang diangkat. Bagaimanapun, unsur muzikal itu peratusannya sangat kecil dalam drama bersiri ini dan lagu yang dipilih juga sesuai dengan jalan cerita,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Saluran Mustika HD, Natasha Hashim berkata, mereka mempertaruhkan kekuatan dua penyanyi handal iaitu Raja Ema dan Elyana sebagai peneraju drama bersiri tersebut.
“Cabaran utama kami adalah menguruskan barisan pelakon yang ramai, selain faktor cuaca yang tidak menentu kerana penggambaran dilakukan pada penghujung tahun lalu. Selain itu, genre komedi itu sendiri susah untuk digarap dan saya yakin setiap pelakon telah memberikan persembahan terbaik untuk menjayakan drama bersiri ini,” tambahnya.
Drama bersiri Keluarga Karaoke turut menyelitkan sebuah lagu tema berjudul Aku Keliru ciptaan komposer terkenal DJ Fuzz dan lirik nukilan Lawa Nie Geng. Lagu tema itu dinyanyikan oleh Lawa Nie Geng dan penampilan khas Raja Ema.
Keluarga Karaoke bakal menemui penonton pada setiap hari Isnin hingga Rabu pukul 10 malam bermula 9 Februari ini secara eksklusif di saluran Mustika HD (saluran 134) dan tayangan serentak di Astro Bella (saluran 133).