GERMAINE (kiri) dan Roland Depp yang tiba di Malaysia sehari sebelum Nurul melahirkan Raphael.
BULAN Januari lalu merupakan bulan yang sangat bermakna buat penyanyi Nurul Wahab Depp. Selain menerima kelahiran anak keduanya, Raphael Depp yang dilahirkan pada 16 Januari secara pembedahan di Pusat Perubatan Prince Court, Kuala Lumpur, pelantun lagu Kerana Terluka itu turut menerima kedatangan secara mengejut kunjungan ibu dan bapa mertuanya, Roland dan Germaine Depp dari Perancis.
Nurul yang dihubungi Kosmo! baru-baru ini turut melahirkan rasa terharu dan gembira kerana ditemani oleh keluarga terdekat sepanjang dia menghabiskan proses berpantang.
Dalam pada itu, Nurul turut berkongsi perihal pemilihan nama serta trend fotografi bayi yang semakin digilai oleh golongan selebriti masa kini.
Artis Meletop!: Tahniah Nurul atas kelahiran Raphael. Boleh ceritakan sedikit pengalaman melahirkan anak kedua?
NURUL: Terima kasih. Pengalaman melahirkan Raphael memang berbeza jika mahu dibandingkan dengan Zachary dua tahun lalu. Saya melahirkan Raphael menerusi kaedah pembedahan dan rasa sakit yang biasanya reda sekitar seminggu selepas melahirkan masih terasa sehingga kini. Selain itu, ibu dan bapa mertua saya membuat kejutan dengan terbang ke Kuala Lumpur sehari sebelum saya melahirkan Raphael.
Apakah perasaan anda apabila ibu dan bapa mertua tiba ke Kuala Lumpur secara mengejut?
Sejujurnya, saya berasa sungguh terharu dan gembira. Sudah pasti suasana di rumah juga menjadi lebih ceria sepanjang mereka berada di sini. Tambahan pula, Zachary yang kini sudah berusia dua tahun mempunyai teman sekiranya saya sibuk menjalani rawatan berpantang.
Adakah keluarga mertua anda akan tinggal bersama anda dalam tempoh yang terdekat ini?
Ya, mereka tiba di Kuala Lumpur pada 15 Januari lalu dan dijangka pulang ke Perancis pada April depan.
Mengenai nama Raphael, anda memang sedar ia telah mengundang kritikan yang beranggapan ia satu nama yang pelik serta tidak mempunyai unsur kemelayuan. Boleh anda jelaskan sedikit?
Ya, saya sedar tentang perkara itu. Namun, kami mempunyai sebab yang tersendiri memilih Raphael sebagai nama anak kedua kami.
Nama tersebut boleh dieja sebagai Rafael, tetapi saya dan suami mengambil keputusan untuk mengejanya sebagai Raphael.
Kemudian, seperti yang saya jelaskan sebelum ini, nama itu diambil daripada bahasa Hebrew yang bermaksud Israfil iaitu malaikat peniup sangkakala ketika tibanya hari Kiamat.
Raphael juga bermaksud penyembuh. Pendek kata, ia membawa maksud yang baik. Sebenarnya, kami mempunyai perancangan untuk menetap di luar negara pada masa akan datang.
Jadi, saya tidak mahu menyusahkan anak-anak ketika menguruskan visa mereka kelak. Saya sendiri pernah mengalami kesukaran untuk mendapatkan visa jika mahu ke luar negara. Sebab itu, saya tidak mahu anak-anak menerima nasib yang sama.
Selain fokus pada keluarga, Nurul mahu memberi tumpuan terhadap kerjayanya sepanjang tahun ini.
Adakah anda tidak risau dengan pandangan orang lain mengenai perkara ini?
Orang ramai berhak untuk bercakap apa sahaja. Namun, apa yang penting saya tahu pegangan agama anak-anak saya.
Bagaimanakah pula dengan penggunaan nama Depp pada anak-anak dan nama anda sendiri iaitu Nurul Wahab Depp?
Bagi Zachary dan Raphael, nama Depp diberikan kerana mengikut nama keluarga suami saya, Depp. Secara peribadi saya, tiada masalah untuk menggunakan nama Depp sebagai nama komersial kerana saya masih tidak membuang nama bapa saya, iaitu Wahab sebagai nama pentas.
Gambar-gambar fotografi Raphael sungguh comel! Boleh ceritakan sedikit mengenai sesi fotografi tersebut?
Syarikat fotografi Camora Arts yang menghubungi saya minggu lalu untuk mengadakan sesi fotografi tersebut. Proses fotografi hanya dilakukan di rumah saya dan memakan masa selama tiga jam sahaja.
Apakah pandangan anda mengenai sesi fotografi bagi bayi yang semakin menjadi trend masa kini?
Bagi saya, ia merupakan satu perkembangan yang sihat. Selain dapat menampilkan sesi kreatif fotografi, ia juga dapat dijadikan sebagai kenang-kenangan sewaktu anak saya sudah besar kelak.
Boleh ceritakan tentang perkembangan terkini anda?
Tahun 2015 merupakan tahun untuk saya fokus terhadap kerjaya. Insya-Allah selepas habis berpantang, saya akan meneruskan proses pemilihan single bersama syarikat rakaman yang baharu. Single itu nanti juga akan dirakamkan dalam dua bahasa iaitu bahasa Melayu dan Perancis. Selain itu, saya merancang mengadakan persembahan untuk peminat bersempena dengan ulang tahun ke-20 saya dalam bidang nyanyian.