Adlin Aman Ramlie tak kisah dikritik



KONTROVERSI yang melibatkan pelakon dan pengarah, Adlin Aman Ramlie, bukanlah perkara yang janggal dalam industri hiburan. Terbaharu, peranannya sebagai juri menerusi program realiti popular, Mentor Legend, menjadi pertikaian ramai pengikut program tersebut.

Selain gagal memberikan pemarkahan yang baik terhadap peserta, Adlin juga dikatakan agak keterlaluan dalam memberikan komen sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati penonton. Malah rata-rata pengikut, menyifatkan Adlin tidak layak berada di kerusi tersebut dan berharap dia disingkirkan.




Ketika bertanyakan mengenai isu berkenaan kepada empunya diri, Adlin dengan tenang menjawab:

"Ya, saya ada baca komen-komen tersebut. Biarlah, bukan saya tidak tahu, saya boleh faham. Sebagai juri, saya tahu apa yang saya lakukan.

"Jika audiens di luar tidak faham, saya tak hairan tapi untuk semua mentor yang terlibat, mereka harus faham dengan keputusan yang dilakukan.

"Peranan saya sebagai juri lebih kepada seni persembahan yang ditonjolkan," katanya ketika dihubungi Zass.

Jelasnya, Mentor Legend bukanlah seperti lambakan program realiti yang sedia ada sebaliknya lebih menekankan kepada kualiti bakat baharu yang dihasilkan.

"Saya lebih melihat kepada apakah potensi maksimum yang ditunjukkan oleh setiap protege menerusi persembahan mereka.

"Teknikal dan keupayaan menyanyi merupakan kekuatan buat mereka," katanya.

Bagaimanapun, suami kepada pelakon Emelda Rosmila ini menasihatkan kepada penonton terutamanya peminat setiap protege agar bersifat lebih terbuka.

"Mereka (peminat) perlulah bijak.

"Sebagai juri, pastinya saya mahukan seseorang yang diperlukan dalam industri hiburan kini," katanya.



Previous Post Next Post