Pelakon dalam filem Hantu Wefie.
KEJAYAAN telefilem ‘Hantu Selfie’ telah meyakinkan Michael Ang menghasilkan sekuel ‘Hantu Wefie’ dan masih mengekalkan Zizan Razak dan Emma Maembong sebagai teraju utama.
Bakal ditayangkan di Astro First Eksklusif tidak lama lagi, pengarahnya, Micheal Ang berkata, Hantu Wefie menjanjikan lebih aksi kelakar dan babak romantis antara Zizan dan Emma.
Jelas Micheal lagi, jika menerusi Hantu Selfie, Salleh (Zizan) bertemu dengan hantu cantik (Emma) secara tidak sengaja apabila dia memuat naik gambar selfienya di Internet, kali ini Salleh perlu menjejak pembunuh hantu tersebut atas permintaan Emma.
“Selain diterapkan unsur-unsur komedi, ia juga dimasukkan elemen percintaan antara dua watak utama, Zizan dan Emma.
“Tidak banyak yang boleh saya ceritakan di sini, tetapi saksikan sendiri telefilem ini yang pastinya akan menggeletek penonton tidak lama lagi,” kata pengarah Biar Mimpi Sampai ke Bintang dan Ciptaan Terindah ini.
Menurut Micheal, plot cerita juga semakin berkembang berbanding telefilem pertama yang mana kesinambungan Hantu Wefie ini menceritakan lebih mendalam mengenai pertemuan watak Emma dan Salleh. Malah katanya, pemilihan format telefilem lebih mudah berbanding dengan drama atau filem arahannya sebelum ini.
"Saya mengambil masa dua minggu untuk menyiapkan Hantu Wefie. Keserasian antara Zizan dan Emma membuatkan kerja saya menjadi lebih mudah.
"Mereka sangat profesional dan mudah faham apa yang saya mahukan. Kerana itu juga saya masih kekalkan mereka dalam sekuel ini," katanya.
Selain Zizan dan Emma, beberapa karakter baharu yang dibintangi Jihan Muse, Kodi dan Micheal sendiri diperkenalkan menerusi sekuel kali ini.
Cabaran musim tengkujuh
Biarpun tiada masalah dengan jadual pelakonnya, Micheal sebaliknya berhadapan dengan cuaca yang tidak menentu sepanjang penggambaran berlangsung.
Katanya, tempoh penggambaran sepatutnya 10 hari sahaja namun kekangan yang dihadapinya ketika musim tengkujuh memaksanya menukar lokasi dan masa.
“Bayangkan ketika kami sedang menjalani penggambaran di luar, hujan turun dengan tiba-tiba dan kami terpaksa menangguhkannya sehinggalah hujan berhenti.
“Bukan sahaja lokasi ditukar, babak juga terpaksa diolah semula untuk sesuai dengan cuaca dan situasi ketika itu,” katanya.
Pun begitu, Micheal tetap bersyukur kerana penggambaran Hantu Wefie dapat juga disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan.