Pekin, Elizad sarat debaran dan bahagia


PEKIN (kanan) dan Elizad berlakon sebagai kakitangan dan bos dalam filem Coverina.

Nampak sombong dan serius tetapi sebenarnya banyak cakap serta mudah mesra. Persepsi tersebut membayangkan sifat pentas Pekin Ibrahim dan Siti Elizad pada mata saya.

Ayat yang keluar daripada mulut mereka disusun kemas. Biarpun dalam banyak soalan dijawab dalam nada santai, namun Pekin dan Siti Elizad yang mesra disapa Elizad tahu bila mereka harus menjawab pertanyaan dengan bicara yang serius dan kadangkala mencuit hati.

Mereka bijak menyaring dan mengikut soalan-soalan yang diberi. Banyak yang dikongsikan dua pelakon filem Coverina ini, tentang filem terbaharu, soal cinta dan perkahwinan.

Hampir 100 peratus jiwa mereka ditumpahkan ke dalam karya. Apabila digandingkan menerusi filem arahan Khalid Nadzri itu, sisi-sisi pelakon versatil yang dimiliki kedua-duanya kembali diperhatikan.

Mereka juga tidak lokek bercerita soal hati yang kini sedang sarat dengan debaran dan bahagia.

Elizad bakal ke jinjang pelamin tidak lama lagi, manakala Pekin pula, hatinya kini dibuka semula oleh seorang wanita misteri selepas kecewa dengan pelakon Uqasha Senrose.

Sensasi Bintang menyelami jiwa kedua-dua pelakon ini menerusi ruangan Kopitiam pada minggu ini.




Kalian bergandingan bersama dalam filem Coverina yang bakal menjengah pawagam pada 19 Februari ini. Jadi, boleh kongsikan sedikit mengenai watak masing-masing dalam filem ini?

PEKIN: Saya membawakan dua watak, Kamal Ali dan Kamalia. Kamal tersilap menghantar borang permohonan kerja di sebuah syarikat permotoran yang dimiliki oleh Rina (Elizad). Pada masa sama, Rina memang tidak mahu menerima pekerja lelaki di syarikatnya. Kesilapan terjadi apabila nama Kamal Ali disangka sebagai Kamalia dan dia akhirnya diterima bekerja di syarikat tersebut. Kamal terpaksa menyamar menjadi Kamalia demi memenangi hati Rina.

ELIZAD: Saya bawa watak Rina, seorang perempuan yang kasar.

Saya merupakan bos di sebuah syarikat permotoran dan antilelaki disebabkan pernah dikecewakan.

Nak dijadikan cerita, suatu hari terdapat kesilapan apabila Kamal memohon kerja di syarikat Rina. Kamal diterima bekerja kerana dia disangkakan sebagai seorang wanita. Pada masa sama, Kamal jatuh hati terhadap Rina dan cuba mencuri perhatian wanita itu.

Boleh kongsikan cabaran membawakan watak masing-masing?

PEKIN: Watak Kamalia yang dipikul sebenarnya bukan pondan tetapi saya benar-benar menjiwai karakter persis seorang wanita.

Bagi saya, mengubah imej menjadi wanita seperti memakai rambut palsu, skirt dan membuang bulu kaki tiada masalah. Cuma, ia mencabar apabila saya perlu menjiwai karakter wanita sebenar. Untuk menjiwai watak tersebut, saya terpaksa memerhati karakter setiap wanita yang ditemui.

ELIZAD: Bagi saya, bahagian paling mencabar apabila terpaksa menahan ketawa berlakon bersama Pekin yang sudah berubah menjadi wanita. Saya kena betul-betul menganggap dia seorang wanita.

Sepanjang menjalani penggambaran filem ini, mungkin ada pengalaman menarik yang ingin dikongsikan?

PEKIN: Ketika menjalani penggambaran di Putrajaya, saya dan beberapa kru makan di pusat beli-belah Alamanda. Disebabkan masa rehat yang tidak panjang, saya mengambil keputusan membiarkan sahaja penampilan Kamalia pada diri. Saya tiada niat menguji para pengunjung di sana dengan penampilan seorang wanita. Kalau saya membuang solekan, ia akan mengambil masa yang lama, sedangkan masa rehat agak terhad sebelum menyambung semula penggambaran. Apabila berada di sana (Alamanda) ramai yang memandang. Saya tidak tahu apa persepsi mereka terhadap saya.

ELIZAD: Saya seronok dapat bekerjasama dengan pengarah muda yang juga merupakan adik kepada Ahmad Idham, Khalid Nadzri. Saya juga teruja dapat berlakon bersama pelakon berbakat seperti Pekin dan Cat Farish. Mereka tidak kedekut berkongsi banyak perkara dengan saya.

Selain filem Coverina, apakah karya-karya lain kalian yang akan datang?

PEKIN: Selain Coverina, terdapat beberapa lagi filem saya yang bakal diterbitkan seperti Rentas, Juvana II dan III, Tujuh dan Red Warrior. Saya juga bakal menjalani dua filem baharu, Vespa Merah, Putih dan Mat Motor.

ELIZAD: Selama lima tahun saya berehat daripada dunia hiburan demi menjaga arwah mama yang sakit. Selepas mama meninggal dunia dua tahun lalu, setahun kemudian baru saya kembali berlakon. Selepas filem ini (Coverina), saya akan berlakon dalam drama slot Akasia berjudul, Teman Lelaki Upahan.

Setiap orang mengimpikan sebuah perkahwinan yang indah. Bagaimana pula dengan kalian? Bilakah sasarannya dan sudah adakah calon-calonnya?

PEKIN: Saya lebih sukakan perkahwinan yang sederhana dan santai. Contoh seperti perkahwinan dalam taman yang tidak memerlukan saya untuk bersanding. Walaupun bekerja sebagai pelakon tetapi saya malu orang tengok saya di atas pelamin. Sebenarnya, saya sudah mengajak seseorang untuk berkahwin. Cuma, tunggu jawapan dia sahaja. Dia kawan lama saya dan kami tidak bercinta.

ELIZAD: Saya sukakan majlis perkahwinan yang sederhana. Kalau boleh, saya mahu mengadakan majlis akad nikah dan makan-makan sahaja. Sebabnya, saya tidak suka duduk atas pelamin. Saya lebih suka majlis yang santai sambil beramah mesra dengan tetamu yang hadir.

Bagaimanapun, keluarga mahu majlis resepsi diadakan, maka saya terpaksa menurut permintaan mereka.

Insya-Allah, saya dan pasangan, Shamsul Baharin Rahman, 43, merancang untuk berkahwin pada tahun ini. Kami rancang mengadakan majlis resepsi pada April depan.

Tarikh pernikahan tidak dapat dinyatakan kerana menghormati permintaan bapa yang baru menjalani pembedahan mata.

Selebihnya, bakal suami saya seorang duda beranak dua dan kini bertugas di sebuah syarikat permotoran terkenal.

Saya sudah lama mengenali dia melalui kakak ipar.

Bagi saya status dan umur tiada masalah. Saya memang sukakan lelaki berumur kerana lebih matang dan tidak mendatangkan banyak masalah.

Adakah seseorang artis yang sudah berkahwin sukar mengecapi populariti dan tawaran dalam bidang seni?

PEKIN: Bagi saya, peminat sekarang sudah pandai menilai. Mereka akan tengok pada bakat seseorang artis bukannya hal peribadi.

Apa yang penting, seseorang artis itu pandai menjaga hal peribadi. Banyak contoh artis yang berjaya walaupun sudah berkahwin. Aaron Aziz adalah salah seorang daripadanya.

ELIZAD: Ramai yang cakap kalau berkahwin nanti populariti akan jatuh tetapi saya lebih percaya pada rezeki.

Tidak bermakna jika berkahwin, peluang kita akan terhad. Bagi saya, rezeki ada di mana-mana kerana ia merupakan kurniaan Tuhan.

Antara populariti, bakat dan juga tawaran berlakon, yang mana satu pilihan kalian?

PEKIN: Saya pilih tawaran berlakon. Bagi saya, jika berbakat besar tetapi kurang mendapat tawaran berlakon tidak guna juga. Begitu juga sebaliknya.

Kalau seseorang pelakon itu mempunyai banyak tawaran, daripada situ dia boleh menimba pengetahuan untuk menjadi pelakon berbakat dan meraih populariti.

ELIZAD: Bagi saya, bakat lebih penting dalam dunia lakonan.

Saya akui, diri tidak popular dan disebabkan itulah, saya bermula dari bawah.

Saya belajar dan timba pengalaman dalam lakonan.

Bagi saya, jika popular tetapi tidak berbakat tiada guna juga.



Previous Post Next Post