Jue Aziz tunai impian ibu


JUE dan Bayu Daniels kini sedang mengecapi hari-hari bahagia sebagai suami isteri.

PELAKON Jue Aziz boleh dikatakan antara aktres yang pandai menyimpan rahsia. Buktinya, pada tahun lalu, industri hiburan negara dikejutkan dengan berita pernikahan Jue bersama seorang pemuzik Indonesia, Bayu Daniels.

Ketika berita itu dihidu, Jue sebenarnya sudah dua bulan sah menjadi isteri kepada lelaki yang berasal dari Makassar, Sulawesi, Indonesia itu.

Apa yang pasti, perkhabaran tersebut mengejutkan banyak pihak.




Ini kerana tiada siapa yang tahu status Jue pada waktu itu. Dia secara senyap-senyap melangsungkan majlis pernikahan secara ringkas di kampung halaman suaminya.

Tanda tanya mengapa Jue bertindak merahsiakan semakin menjadi bualan umum. Ramai yang membuat spekulasi. Ditambah pula dengan kehadiran seorang bayi lelaki yang ada bersama-samanya pada waktu itu.

Ada cakap-cakap belakang yang tidak enak mula kedengaran.

Tidak mahu terus dilempar dengan kata nista, pelakon berusia 32 tahun itu tampil membuat pengakuan mengenai status dirinya yang sudah berkahwin dengan lelaki pilihan hatinya itu pada 9 Mac tahun lalu.

Hubungan yang terjalin daripada perkenalan singkat selama empat bulan kekal sehingga hari ini. Kini, pelakon filem Hantu Bonceng itu sedang meniti hari-hari bahagia bersama keluarga.

Esok, pemilik nama sebenar Zuliana Abdul Aziz itu bakal melalui detik-detik indah dalam hidupnya apabila pelakon drama Angin Syurga itu merasai naik pelamin bersama suami tercinta buat pertama kali biarpun usia perkahwinan mereka sudah hampir setahun.



Previous Post Next Post