Hafiz Hamidun: Menangis kenang poket kosong


Penyanyi, Mohammad Hafiz Hamidun.

PENGALAMAN hanya mempunyai RM1 dalam dompet sehingga terpaksa mengikat perut, menjadi titik tolak dalam hidup penyanyi nasyid, pencipta lagu, pengacara dan penerbit terkenal, Muhammad Hafiz Hamidun, 30, atau lebih dikenali sebagai Hafiz Hamidun untuk berusaha keras bagi menempa kejayaan.

Bercerita mengenai kisah pahitnya, penyanyi yang terkenal dengan album Zikir Terapi Diri, berkata kisah berlaku pada tahun 2006, ketika itu beliau mengambil Ijazah Sarjana Muda Muzik di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam selepas kontraknya bersama kumpulan UNIC tamat.

"Kebanyakan wang yang diperoleh daripada pengacaraan di televisyen digunakan untuk menampung bayaran sewa studio dan upah pemuzik kerana mahu menghasilkan album solo.

"Satu hari, duit dalam dompet hanyalah RM1. Mahu ke rumah kakak di Cheras, duit tol pun tak lepas. Mahu minta dengan rakan serumah pula segan, lagipun semua pulang kebetulan cuti panjang.

"Selepas seharian kelaparan, saya ke kedai 7 Eleven dan membeli sebungkus mi segera berharga 80 sen. Selepas masak mi segera, saya makan sambil menonton televisyen drama sinetron Indonesia, Nabila. Tidak semena-mena air mata turut mengalir kerana tiba-tiba rasa terlalu sedih mengenangkan nasib.

"Keesokan harinya, saya menebalkan muka menelefon ibu (Laila Sarji, 61 tahun) untuk meminjam RM100. Apabila saya periksa akaun di bank, saya terkejut kerana jumlahnya banyak.

"Rupa-rupanya bayaran untuk tugas pengacaraan televisyen turut ada dalam akaun itu. Sejak itu, saya berjanji kepada diri sendiri untuk bekerja keras supaya tidak lagi terpaksa berdepan dengan pengalaman yang sama," katanya.


Bapa bantah

Pembabitannya dalam dunia seni pada awalnya dibantah bapanya, Hamidun Mat Rasul, 64, terutama ketika di bangku sekolah kerana bimbang pelajaran diabaikan, sehingga beliau yang pernah menuntut di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) terpaksa merahsiakan penyertaannya dalam nasyid peringkat kebangsaan.

"Selepas kumpulan kami, IQ dari Sekolah Menengah Seri Perak, Teluk Intan berjaya mewakili Perak pada pertandingan nasyid peringkat kebangsaan, barulah bapa mengetahui pembabitan saya dalam bidang seni dan membenarkan kerana ketika itu saya sudah menerima tawaran melanjutkan pengajian ke universiti," katanya.

Minatnya dalam bidang seni juga menyebabkan beliau terpaksa menangguhkan pengajian selama satu semester kerana mahu menyertai pertandingan nasyid kebangsaan itu.

Guru kaunseling, Taqiyuddin Abdul Mukti (kini pensyarah di Universiti Pendidikan Sultan Idris) adalah guru yang paling banyak memberi sokongan kepadanya untuk memantapkan diri dalam bidang seni.

"Cikgu Taqiyuddin sanggup meminjamkan bilik kaunseling untuk dijadikan tempat latihan di sebelah malam kerana pada siang hari kami tidak dibenarkan berlatih. Saya mencipta legasi kerana selama ini nasyid didominasi pelajar perempuan.

Pengetua dan guru lain turut menyokong kami dan akhirnya usaha kami membuahkan hasil apabila menobatkan sebagai juara.

"Ada seorang guru Bahasa Melayu, Roslina Hasan pernah menasihatkan saya supaya tidak menjadi penyanyi kerana beliau tidak akan merestuinya tetapi apabila saya katakan saya mahu menjadi penyanyi nasyid, beliau kata okay. Itulah kata-kata yang saya pegang hingga hari ini," katanya yang pernah bersekolah di Maktab Rendah Sains MARA, PDRM di Perlis sehingga Tingkatan Lima.


Penyanyi, Mohammad Hafiz Hamidun.

Kenangan pahit

Pemuda yang berasal dari Teluk Intan ini turut berkongsi kenangan pahit apabila keretanya yang baru dua bulan dibeli ditarik oleh penarik kereta.

"Ketika mula masuk UiTM, saya membeli kereta Proton Waja kerana ketika itu banyak menerima bayaran untuk tugas pengacaraan. Satu hari, saya dapat panggilan daripada seseorang yang mendakwa dari syarikat penghantaran dan mahu berjumpa saya di tepi balai polis untuk menghantar barang 'besar'.

"Setiba di tepi balai polis, penarik kereta itu memaklumkan yang beliau perlu mengambil kereta saya kerana tunggakan bayaran dan jika tidak berpuas hati boleh membuat laporan polis. Saya terpaksa merelakan tetapi meminta penarik kereta itu menghantar saya pulang ke rumah," katanya.

Pada minggu yang sama, ibu bapanya mahu mengerjakan haji dan beliau meminjam kereta ibunya sepanjang mereka di Tanah Suci tetapi tidak menceritakan hal sebenar.

"Sebaik menerima bayaran pengacaraan, saya meminta kakak, Anis Salwati, 35 dan abang ipar, Ahmad Fuad, 38, menemani saya mengambil kembali kereta. Mereka juga terkejut kerana saya tidak pernah bercerita mengenai perkara itu sebelum ini," katanya.

Rezeki bertambah

Hafiz mengakui sejak tahun 2008, rezekinya semakin bertambah. Tahun 2011, beliau serius berniaga dan membuka syarikat rakaman dan pengedaran album, Arteffects Sdn Bhd dan kini beroperasi di dua unit pejabat miliknya di Damansara. Tahun lalu, beliau mengembangkan sayap perniagaannya dengan membuka butik, Mikraj Concept dengan menampilkan jubah rekaannya.

"Pada saya, walaupun dalam usia muda sudah memiliki perniagaan sendiri, saya mahu apabila dapat rezeki ia turut dikongsi dengan orang lain," katanya yang kini mempunyai 13 kakitangan.

Membuka rahsia hatinya, jejaka yang masih bujang ini mengakui sudah bersedia untuk melangkah ke alam rumah tangga tetapi masih belum menemui calon yang sesuai.

Pada tahun 2008, katanya, beliau pernah putus tunang kerana tiada jodoh, begitu juga pada tahun 2012, ada rancangan untuk mendirikan rumah tangga dengan gadis berketurunan Indonesia yang tinggal di Makkah tetapi tidak kesampaian.

"Setahun kemudian, keluarga ada mengaturkan saya dengan gadis pilihan mereka, tetapi tiada jodoh juga. Semuanya ada hikmah. Allah mahu saya berbakti dan menjaga ibu bapa, serta membantu keluarga kerana adik beradik lain semua sudah berkahwin. Keluarga pun tidak mendesak saya untuk berkahwin kerana memahami saya," katanya.

Ditanya bagaimana beliau menangani peminat fanatik dalam kalangan wanita, Hafiz mempunyai caranya sendiri.

"Saya menghormati peminat dan berharap mereka juga dapat menghormati dan mengetahui batasnya. Saya tidak mahu orang minat saya kerana saya, tetapi minatlah apa yang saya sampaikan yakni dakwah menerusi muzik dan lagu saya," katanya.




Previous Post Next Post