Harapan jodoh Emma Maembong, Zizan


EMMA mengakui hubungan dengan Zizan masih terjalin sebagai sahabat dan tidak menolak suratan jika ada jodoh antara mereka, suatu hari kelak.

Kisah percintaan pasangan selebriti Zizan Razak dan Emma Maembong sering dilanda pelbagai dugaan. Dua tahun menyulam kasih, desas-desus dan kata-kata negatif sudah menjadi makanan pasangan sensasi berkenaan.

Dilemparkan dakwaan kurang matang dan terlalu mengikut emosi, itulah kata-kata yang berlegar dalam benak pasangan yang sama-sama mempunyai darah Terengganu itu. Ditambah pula dengan kenyataan berani Emma yang mendakwa hubungan mereka telah berakhir, pengakuan itu bagai menyimbah minyak ke dalam api.

Terus marak membakar sensasi, perhubungan mereka menjadi bahan untuk dicanang. Negatif atau positif, Emma menegaskan, ribut kontroversi yang melanda sudah berlalu. Apa yang bernoktah biarlah berakhir, bagi Emma, dia mahu fokus terhadap karier.

Kebetulan bertemu pelakon filem Usop Wilcha Dalam Werewolf Dari Bangladesh itu usai majlis tayangan akhir drama rantaian Suamiku Encik Sotong, Emma buat pertama kalinya berani berdepan media untuk memberikan kenyataan. Ikuti temu bual selanjutnya bersama pelakon yang juga anak kepada pelukis terkenal, Ismail Embong itu.



Artis Meletop!: Rata-rata sudah maklum bahawa hubungan Emma dan Zizan telah berakhir. Bagaimanakah kehidupan solo Emma sekarang?

Emma Maembong: Kehidupan perlu diteruskan seperti biasa. Buat masa sekarang, saya mahu terus fokus terhadap kerjaya seni. Saya tidak mahu perkara ini (putus dengan Zizan) menjadi batu penghalang kepada saya untuk meneruskan kehidupan.

Sejujurnya, benarkah kalian kini memang tidak lagi mempunyai sebarang hubungan istimewa?

Ya, saya akui kami memang tiada apa-apa hubungan istimewa lagi. Bagaimanapun, kami masih berhubung antara satu sama lain dan bertanya khabar atas dasar sahabat. Saya ada di sisi Zizan sekiranya dia mahu meluahkan masalah. Bagi saya, putus sebagai kekasih tidak semestinya hubungan persahabatan juga perlu ditamatkan.

Dalam hubungan antara anda dan Zizan, anda yang telah memberi kata putus bahawa hubungan kalian telah berakhir. Bagaimanapun, khalayak belum mendapat kata putus daripada Zizan. Jadi, adakah anda sedikit keterlaluan memberi kenyataan?

Bagi pihak saya, memang kami tiada apa-apa hubungan. Jika daripada pihak dia (Zizan), mungkin lebih elok jika anda bertanyakan kepada tuan empunya badan sendiri.

Tidakkah anda sayangkan hubungan yang pernah terbina dan adakah wujud kebarangkalian bahawa hubungan itu kembali terjalin pada masa akan datang?

Saya tidak mahu bercakap lebih kerana hal tersebut terletak kepada soal jodoh. Jika ditetapkan jodoh kami kembali bersama, saya tidak akan menolak. Sejujurnya, siapa mahu percintaan terhenti di tengah jalan. Apapun, buat masa sekarang, seelok-eloknya masing-masing menumpukan sepenuh perhatian terhadap karier terlebih dulu.

Sepanjang tempoh berkasihan, adakah kalian pernah merancang untuk berkahwin?

Tipulah kalau kami langsung tidak berfikir ke arah itu (berkahwin). Dahulu, memang niat dan persiapan ke arah perkahwinan itu ada. Lagipun, kedua ibu bapa telah bersetuju dan saling mengenali antara satu sama lain.

Ada sesetengah pihak menyifatkan bahawa hubungan kalian tidak konsisten dan bersifat kebudak-budakan. Apakah pandangan anda?

Saya tidak boleh menutup setiap mulut yang melemparkan kata-kata negatif terhadap saya. Bagaimanapun, kepada sesiapa yang berkata begitu, saya tidak pasti sama ada mereka tahu atau tidak kisah sebenar antara saya dan Zizan. Mereka boleh membuat spekulasi, tetapi saya dan Zizan yang melalui perhubungan ini.

Sesetengah peminat menyifatkan anda sebagai seorang yang suka mengambil kesempatan dan tidak mahu berada di sisi Zizan sewaktu pelakon itu dalam kesusahan. Apakah pandangan anda?

Saya tidak tahu daripada mana cerita tersebut muncul. Realitinya, saya sendiri tahu. Semasa bercinta, kami sering bersama ke mana sahaja, bahkan, ketika Zizan menghadiri prosiding mahkamah dahulu, saya ada dengan dia. Saya tidak tahu bagaimana cerita sebegitu timbul.

Previous Post Next Post