Mojo mahu dikenali sebagai band serantau



SEJAK penghujung tahun lalu, terlalu banyak kontroversi yang mengaitkan kumpulan rock klasik ini termasuk penyingkiran vokalis di saat mereka perlu beraksi di pentas berprestij, Anugerah Juara Lagu (AJL), awal tahun ini.

Berdiri sebagai satu kumpulan yang mula mendapat perhatian di bibir peminat, akui pengasas kumpulan ini, Edry Abd Halim, bukan mudah untuk melangkah tanpa penyanyi utama tambahan pula, kontroversi yang terpaksa didepani dilihat mampu menjejaskan perjalanan seni Mojo.

Cari dan terus mencari, akhirnya mereka dipertemukan dengan penyanyi muda dari Indonesia, Ryan Brakhma, yang dilihat mampu menandingi populariti vokalis asal setelah menghayati ton suaranya.

Walaupun pernah mengangkat kumpulan cacat penglihatan, Caliph Buskers, untuk berkolaborasi bersama mereka di pentas AJL, namun Edry merasakan kumpulan itu mempunyai masa depan yang tersendiri yang lebih cerah tanpa dibayangi Mojo.



"Pada awalnya, kami tidak menyangka Mojo berjaya mengecapi kejayaan sebesar ini kerana kumpulan ini masih baharu. Namun, kontroversi yang melanda dan ketiadaan vokalis hampir membuatkan saya kecewa dan putus asa.

"Namun, demi Mojo, saya kuatkan semangat dan tidak hanya terhenti di situ. Sehinggalah bertemu dengan Ryan dan dia memenuhi cita rasa yang saya mahukan untuk berdiri sebagai vokalis.

"Kehadiran Ryan dalam Mojo menjadikan kumpulan ini sebagai 'band serantau' apabila dua anggota daripada Malaysia (Edry dan Johar) serta dua lagi dari Indonesia (Ryan dan Denny). Jadi, kebangkitan Mojo ini disusuli dengan semangat dan misi yang baharu," katanya.

Tambah Edry, keseimbangan itu memberi peluang kepada Mojo untuk memperluaskan lagi peluang mereka untuk meneroka industri muzik di negara Seberang.

"Kami bangkit sebagai Mojo 2.0 dengan muzik yang berlainan berbanding sebelum ini di mana misi kami adalah untuk tawan Indonesia dengan muzik yang lebih memikat masyarakat di sana dengan mempertaruhkan single terbaharu, Dahsyat.

"Tiga tahun kami cuba membawa dua lagu Mojo, Andai Ku Bercinta Lagi dan Romancinta, ke Indonesia, namun industri muzik di sana menolak dengan alasan tidak memenuhi selera di sana.

"Namun, Alhamdulillah dengan Dahsyat, kami berjaya mendapatkan kepercayaan daripada pengedar untuk memasarkan lagu ini di negara berkenaan. Ia adalah satu permulaan yang baik," katanya yang bakal memasarkan single ini pada April depan di seluruh Malaysia, Indonesia dan Singapura.

Menariknya, single ini melalui proses penggambaran MTV di Jogjakarta, arahan Renny Fernandes, dan mula dipertontonkan di rangkaian TV serta YouTube bermula pertengahan Januari 2015 lalu.

Jelas Edry, dia yakin formula bertahan lama dalam arena muzik adalah melalui evolusi, berdasarkan kejayaan legenda rock antarabangsa seperti The Beatles dan U2 yang sentiasa membawa pembaharuan.


Perluaskan pasaran

Walaupun misi mereka adalah menawan negara Seberang, namun tidak bermakna negara sendiri akan dianaktirikan.

Tegas Edry, untuk menjengah masuk di dalam industri muzik Seberang bukanlah satu perkara yang mudah kerana mereka mempunyai selera yang berlainan berbanding di negara kita.

"Kebanyakan syarikat rakaman dan pengedar di sana akan meneliti terlebih dahulu adakah muzik yang kita bawakan mampu untuk dipasarkan di negara mereka. Malah, muzik adalah sesuatu yang melibatkan selera orang.

"Walaupun kami akan mengambil sedikit masa untuk ulang alik ke Indonesia dalam tiga bulan pertama (April, Mei dan Jun) untuk mempromosikan single ini, namun kami tetap tidak melupakan peminat di sini.

"Biarlah ia selari dan saya sentiasa berpesan kepada ahli ahli kumpulan agar menghargai peminat. Saya ingin lihat dalam masa setahun ini, ke mana hala tuju Mojo kerana sudah tiga tahun kami memikat masyarakat Malaysia dan tahun ini biarlah kami
mencuba pasaran lebih besar," katanya.

Ditanya adakah vokalis baharu bakal merakam semula dua lagu Mojo sebelum ini, Edry memberitahu ia bukanlah satu keperluan utama untuk membawa Mojo ke peringkat yang lebih tinggi lagi.

"Kejayaan yang lalu, biarkanlah ia tersemat dalam lipatan kenangan kami. Saya tidak mahu mengulangi perkara yang lalu kerana itu adalah pencapaian yang telah kita capai sebelum ini.

"Untuk kebangkitan ini, saya nak ubah kesemuanya dan akan menghasilkan lagu-lagu baharu untuk memberi evolusi kepada kumpulan ini. Namun, saya tidak menolak sekiranya ada album, The Best of Mojo, kami akan mempertimbangkan untuk merakamnya semula. Buat masa ini, biarlah dulu,"katanya.

Previous Post Next Post