Nurul Wahab tampil lebih elegan, sopan



SETELAH lebih dua tahun menyepi dalam industri nyanyian tanpa merakam sebarang album baharu, kini sudah tiba masanya untuk penyanyi hitam manis ini kembali beraksi sekali gus memberi saingan dalam bidang muzik tempatan.

Kemunculan semula Nurul Wahab semestinya ditunggu-tunggu peminatnya apatah lagi, ibu kepada tiga anak ini bakal menampilkan kelainan.

Jika satu ketika dahulu, Nurul tidak terlepas dari kritikan mengenai penampilannya yang dikatakan seksi, namun comeback ini bakal menyaksikan Nurul dalam imej yang berbeza.

"Selari dengan peredaran masa dan usia, kemunculan semula saya ini adalah sisi berbeza berbanding sebelum ini. Ia adalah sisi matang saya dan bersesuaian dengan usia.

"Kali ini, saya akan menukar sedikit acuan dalam penampilan dan saya memilih imej yang lebih elegan dan sopan. Ini juga adalah kerana status saya sebagai ibu dan isteri," katanya yang bakal muncul dengan single baharu tidak lama lagi.


Tambah Nurul, walaupun sudah lama menyepi, namun dia tidak pernah melupakan bidang nyanyian.

"Says sering dijemput dalam beberapa majlis untuk mengadakan persembahan. Namun, saya hadkan aktiviti nyanyian untuk memberi tumpuan kepada keluarga dalam tempoh dua tahun lalu.

"Insya-ALLAH, untuk kemunculan ini, saya juga akan merakam lagu bahasa Perancis, hasil ciptaan saya sendiri sebagai persediaan untuk mengintai peluang di negara kelahiran suami saya itu," kata isteri kepada Eric Depp, 50.

Meskipun Nurul membuat keputusan untuk kembali aktif, namun prioritinya masih lagi terhadap keluarga tercinta.

"Sebagai ibu dan isteri, saya tetap mementingkan masa bersama keluarga. Bagi saya, keluarga itu adalah perkara paling penting malah kehidupan saya lebih sempurna dengan adanya mereka di sisi," katanya.

Persembahan hari ibu

Pejam celik, pejam celik, tahun ini adalah tahun ke 20 Nurul dalam bidang nyanyian. Sempena dua nekad penglibatannya ini, Nurul bakal memeriahkan sambutan hari ibu, Nurul Celebrate Mother’s Day, bersama peminat di Singapura.

Bertempat di hotel lima bintang Park Royal On Scott Hotel, Singapura, persembahan yang dijadualkan bakal berlangsung pada 9 Mei depan ini turut dimeriahkan dengan kehadiran peminat dari Malaysia.

"Untuk sambutan hari ibu ini, saya memilih Kota Singa kerana rindu untuk membuat persembahan di sana. Malah, ramai peminat dari sana sering bertanya, bila mahu datang ke Singapura.

"Dalam persembahan itu, saya akan menghiburkan ibu-ibu selama lebih satu jam setengah dengan himpunan lagu-lagu yang sesuai. Memandangkan saya sudah tiada ibu, inilah peluang saya untuk merawat kerinduan saya terhadap ibu tercinta.

"Menariknya, persembahan itu bukan untuk warga Singapura sahaja kerana saya akan hadir bersama ibu-ibu dari Malaysia dalam pakej istimewa meraikan Hari Ibu sambil bercuti bersama saya," katanya.

Menerusi syarikat pengurusan, NW Newrules, dengan kerjasama syarikat pelancongan, IGNS Holidays Sdn Bhd, peminat dari Malaysia akan ditawarkan pakej tiga hari dua malam (8 hingga 10 Mei) bersama Nurul di Singapura.

"Dalam pakej ini, peminat bukan sahaja dapat meluangkan masa bersama saya, malah dapat menghadiri jamuan hi-tea di hotel lima bintang dan dihiburkan secara eksklusif.

"Ianya turut merangkumi makan minum yang halal, tiket penerbangan pergi dan balik serta lawatan ke tempat-tempat menarik di Singapura nanti untuk 50 peserta yang berminat," katanya lagi.

Previous Post Next Post