RJ: Bukan rapper syok sendiri


RJ atau nama sebenar Helmy Hamdan

Helmy Hamdan atau terkenal dengan panggilan 'Rakyat Jelata (RJ) menepis pelbagai label dilemparkan kepadanya kononnya penyanyi yang terkenal dengan lagu 'Teman Pengganti' berganding dengan Black itu sebagai rapper 'syok sendiri' dan gila glamour.

Namun, apa saja gelaran termasuk 'poyo' yang dikaitkan dengannya, RJ atau sebelum ini dikenali sebagai 'Rapper Jambang' menganggap semuanya itu sebagai pembakar semangat untuknya lebih melangkah maju dalam dunia seni.

RJ nekad melangkah lebih jauh dalam arena nyanyian dan bukan sekadar mengisi ruang kosong sebagai watak tempelan saja.

Malah, andai dulu dia sekadar memegang peranan sebagai Pegawai Eksekutif di syarikat rakaman Monkey Bone dan menemani artis di bawah naungan itu, RJ kini perlu lebih bijak melangkah membawa diri sebagai artis.



"Saya tahu ramai artis dan peminat di luar sana yang mempertikaikan kewibawaan saya sebagai seorang 'rapper'. Saya sudah berada dalam industri ini hampir lapan tahun dan jika benar saya gila glamour mengapa tidak dari dulu lagi saya sudah mencari peluang untuk menjadi penyanyi?

"Jiwa seni saya ini dari dulu lagi sudah ada kerana album pertama yang dibeli saya sewaktu kecil adalah 4U2C. Jadi sedari dulu lagi saya memang mempunyai minat dalam bidang seni.

"Saya tidak menafikan peluang untuk bermula dalam bidang seni diberikan oleh Black bagi mengisi ruang menyanyikan lagu Teman Pengganti bersamanya.

"Seperti yang dipesan bapa saya 'biar mati mencuba' dan itu yang membuatkan saya tidak berputus asa untuk terus berusaha," kata RJ kepada Artis Meletop.

Peluang yang diberikan oleh Black dianggap sebagai membuka lembaran baharu dalam hidup dan kerjaya seni RJ.


RJ atau nama sebenar Helmy Hamdan

Malah jika dikira, dia kini sudah berkolaborasi dengan artis tempatan dengan menghasilkan hampir 15 lagu.

Ini membuktikan bahawa RJ hadir bukan sekadar angin lalu sebagai 'rapper' gantian Malique Too Phat bagi lagu Teman Pengganti.

Bagi RJ tidak salah mencuba sesuatu yang baru untuk menaik taraf kerjayanya dalam gelanggang dunia seni.

Pada masa yang sama berterima kasih kepada orang ramai yang memberi peluang kepadanya untuk mencuba nasib sebagai penyanyi rap.



Previous Post Next Post