Zain Saidin & Norman Hakim: Kami tiada niat menunjuk



kunci kejayaan Zain memiliki badan yang sasa adalah dengan mengamalkan konsistensi dalam senaman.

Baru-baru ini, timbul hujah mengatakan haram bagi lelaki bertubuh sasa menayang-nayang badan untuk menarik perhatian umum. Mana tidaknya, jika dilihat dalam laman sosial, ibarat menjadi satu kegilaan pada anak muda masa kini memperagakan badan masing-masing.

Tidak cukup menunjuk-nunjukkan badan, ada sesetengahnya pula seperti berlumba-lumba menayang badan sehingga menampakkan aurat demi menarik perhatian khalayak.



Mungkin ada yang menyukai tindakan tersebut dan juga ada yang menganggap mereka (lelaki bertubuh sasa) berlebih-lebihan. Tepuk dada tanya selera.

Minat membina badan turut terpalit pada artis-artis lelaki tempatan.

Sensasi Bintang terpanggil untuk mendalami hati mereka yang bertubuh sasa.


Norman Hakim menganggap obsesinya membina badan juga merupakan satu ibadah.

Kenapakah kalian berminat untuk bina badan? Adakah untuk kesihatan, kepuasan atau untuk dijadikan tontonan umum?

ZAIN: Saya minat bina badan sebab daripada kecil suka bersukan. Jadi, daripada situ saya terus minat dalam penjagaan badan. Bukan tujuan untuk berlagak atau menunjuk kepada orang ramai. Tidak sekadar minat, saya bina badan ini juga untuk kesihatan. Saya juga tidak nafikan memang membina badan untuk kepuasan.

NORMAN: Sebelum menceburi bidang seni, saya memang aktif bersukan sejak di bangku sekolah. Memang minat itu sudah ada dalam diri sejak dahulu lagi. Jadi, apabila masuk dalam bidang seni, saya teruskan minat tersebut. Selain minat, saya juga niatkan ia sebagai ibadah. Jadi apabila kita niat begitu, tidak timbul perasaan untuk riak dan menunjuk-nunjuk. Selain itu, anak-anak juga suka tengok bapa mereka dalam fizikal seperti adiwira. Mereka selalu minta saya tunjuk otot lengan. Maka, secara tidak langsung ia memberi motivasi pada saya.

Apakah tip mendapatkan bentuk badan yang sasa?

ZAIN: Tip senang sahaja iaitu jaga makan dan konsisten apabila buat senaman. Insya-Allah boleh.

NORMAN: Apa paling penting kena jaga niat. Apa tujuan kita mahukan bentuk badan yang sasa? Kalau niat kita untuk dapat tubuh badan yang sihat tidak mengapa. Bagi saya, lima perkara penting kena jaga iaitu niat, pemikiran, fokus, disiplin dan konsistensi. Sebenarnya, masa yang diambil untuk memiliki badan yang sasa tidak lama. Dalam masa dua minggu hingga ke tiga bulan kita boleh dapat. Janji kena jaga lima perkara itu. Selama lima tahun membina badan, alhamdulillah saya dapat kekalkan peratusan kandungan lemak dalam badan sebanyak sembilan peratus. Sebenarnya, bukan senang hendak jaga kandungan lemak sebanyak itu selama lima tahun. Setiap hari saya ke gimnasium. Sekurang-kurangnya saya peruntukkan selama dua jam. Alhamdulillah, rutin sebegitu tidak memerlukan saya mengamalkan diet. Cuma, sebagai duta produk Ephyra selama dua tahun ia membantu saya mengamalkan cara hidup yang sihat.

Ramai yang mengandaikan seseorang lelaki yang sudah berkahwin dan mempunyai anak sukar untuk mengekalkan bentuk badan yang menarik. Komen kalian?

ZAIN: Kalau sudah berkahwin kita kena pandai seimbangkan masa. Tidak ada alasan untuk kaum lelaki yang sudah berkahwin tidak boleh memiliki bentuk badan yang sasa, asalkan keinginan ada dan pandai membahagikan masa. Kita senaman tiga kali seminggu pun sudah mencukupi. Ambil masa sejam setiap kali membuat senaman. Cuma kena konsisten. Ia merupakan kunci untuk mendapatkan bentuk tubuh yang sasa dan juga kesihatan baik.

NORMAN: Itu adalah pandangan yang tabu. Janji pegang pada lima prinsip yang saya sebut di atas. Insya-Allah boleh. Saya pernah jumpa hamba Allah umur 88 tahun tetapi mempunyai tubuh badan seperti saya. Faktor usia tidak menjadi halangan. Faktor berkeluarga juga bukan menjadi alasan untuk tidak memiliki tubuh badan sasa. Apa yang penting pandai bahagi masa dan amalkan lima prinsip tersebut.

Baru-baru ini, timbul hukum mengatakan haram 'abang sasa' tayang badan bagi tujuan menunjuk-nunjuk. Komen kalian mengenai isu tersebut?

ZAIN: Bagi saya, ia jadi haram apabila kita menunjuk-nunjuk atau riak. Kalau sekadar senaman untuk kesihatan tubuh tiada masalah.

NORMAN: Pada saya berbalik pada niat. Kalau niat memang mahu menunjuk memang melanggar syariat. Kena sesuai dengan situasi, tempat dan keadaan, namun pada masa sama aurat lelaki kena jaga. Saya tidaklah membina badan untuk masuk pertandingan tetapi lebih kepada kepuasan diri. Dapat fizikal yang cantik dan kesihatan yang baik itu sudah memadai.

Bagi kalian sendiri, adakah berbadan sasa merupakan satu bonus untuk menarik perhatian peminat, tawaran menjadi duta atau drama?

ZAIN: Jadi duta bergantung kepada produk apa yang dijual. Memang satu kelebihan tetapi tidak semestinya memiliki badan sasa mudah untuk mendapat tawaran menjadi duta dan sebagainya.

NORMAN: Saya tidak nafikan sedikit sebanyak memang menjadi satu bonus. Ia juga menjadi satu jenama pada diri kita. Contoh di Malaysia, orang kenal saya sebagai Norman Hakim, tetapi di Indonesia orang yang tidak kenal saya tetapi meminati pada fizikal saya.

Ceritakan mengenai perkembangan terbaharu kalian?

ZAIN: Insya-Allah, saya akan buka kelas senaman pada masa akan datang. Selain itu, pada Mac ini saya akan mulakan penggambaran Oh My English! Ada juga projek kecil-kecilan yang lain untuk perniagaan dan sebagainya. Saya tidak mahu uar-uarkan lagi. Insya-Allah nanti saya akan beritahu.

NORMAN: Biarpun sibuk membina badan, menjaga keluarga dan menjalankan perniagaan Danish & Hakim, saya tetap meneruskan bidang lakonan seperti biasa. Cuma, sejak awal 2014 saya mula selektif dari segi tawaran yang datang. Sebabnya sudah hampir 10 tahun dalam bidang seni ini, saya sudah bawa macam-macam watak. Jadi, saya ambil keputusan tidak mahu ambil sebarangan watak. Buat masa ini masih meneliti beberapa naskhah.

Ceritakan mengenai keluarga kalian?

ZAIN: Anak saya dengan Che Ta, Aaisyah Dhia Rana mendapat banyak tajaan hadiah daripada orang ramai. Dia juga banyak buat sesi fotografi untuk majalah-majalah. Alhamdulillah, rezeki dia, daripada kecil sudah dapat perhatian.

NORMAN:Insya-Allah isteri saya, Memey Suhaiza bakal melahirkan anak kedua pada bulan April nanti. Ia juga merupakan anak kelima saya.

Previous Post Next Post