Hati Dynas Mokhtar kembali terisi



PEPATAH Melayu, 'gagal sekali bukan bermakna gagal selamanya’, barangkali sesuai untuk menggambarkan situasi dilalui pengacara dan pelakon, Dynas Mokhtar.

Biarpun pernah melalui episod duka kegagalan rumah tangga pada tahun lalu, ia bukan alasan buat bintang berusia 32 tahun ini membenci lelaki.

Tidak berselindung bahawa hatinya kini kembali terisi, Dynas mengakui lelaki yang dilihat kerap bersamanya sejak akhir-akhir ini, merupakan teman baharunya.

"Kalau ikutkan dia kawan lama saya dan kami sudah kenal sejak zaman sekolah lagi. Apa yang boleh saya katakan, dia lelaki yang rapat dengan saya sekarang.

"Bagaimanapun buat masa ini, saya belum bersedia untuk berbicara lanjut mengenai hala tuju hubungan kami, apatah lagi, saya belum bertemu dengan ahli keluarga yang lain kecuali ibunya.


"Jadi masih awal untuk saya berbicara mengenai perancangan untuk berkahwin sekali lagi," katanya ketika ditemui Zass.

Bagaimanapun pemilik nama sebenar Wan Intan Edrinas Wan Mokhtar ini tidak lokek untuk berkongsi kehidupannya sejak setahun menjadi ibu tunggal.

Katanya, hidupnya kini semakin baik dan dia gembira kerana dapat melakukan banyak aktiviti yang jarang dilakukan selepas berumah tangga.

"Alhamdulillah kehidupan saya ok. Malah sekarang saya banyak lakukan aktiviti yang saya tinggalkan dulu seperti menyelam dan melancong.

“Anak-anak saya pun ok. Saya jenis suka manjakan anak-anak berbanding bekas suami, dia seorang yang tegas. Tapi saya bertuah kerana saya dan bekas suami mempunyai hubungan yang baik dan dia juga banyak membantu saya menjaga anak-anak," katanya.

Dynas dan bekas suaminya, Mohd Hafizi Mohamed sah bercerai pada 25 Februari tahun lalu selepas enam tahun mendirikan rumah tangga.

Hasil perkahwinan mereka dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Khayra Khalysa, 5, dan Mohamed Haqaish, 3.

Tidak hanya melakukan aktiviti yang disukainya sahaja, Dynas berkata, dia kini mula berjinak-jinak untuk belajar memasak dan lucunya, ramai yang meminta resipi setiap kali dia berkongsi menu masakannya di laman sosial.

“Dulu saya paling benci memasak tetapi sejak akhir-akhir ini saya suka belajar memasak. Macam-macam resipi saya belajar daripada ibu kawan saya.

“Betullah kata orang memasak ini kalau campak-campak saja asalkan sedap. Rupanya seronok bila kita tahu macam mana nak masak sesuatu menu.

“Sampaikan ada juga yang minta saya kongsi resipi, sedangkan saya pun baru belajar memasak,” ujarnya sambil tertawa.


Berundur dari dunia lakonan

Ditanya berkaitan perkembangan karier seninya, Dynas mendedahkan, dia kini perlahan-lahan berundur dari dunia lakonan dan memberi tumpuan terhadap bidang pengacaraan.

"Nak kata berhenti terus pun tidaklah juga kerana sekarang pun masih ada tawaran berlakon. Tapi memandangkan tawaran tersebut tidak seperti yang saya mahu, jadi saya tolak dulu.

"Kalau ada pun tawaran lakonan yang menarik atau memerlukan saya tampil sebagai penampilan khas mungkin saya tidak keberatan untuk menerima," katanya.

Dynas berkata, dia membuat keputusan tersebut bukan kerana merajuk atau kekurangan tawaran, sebaliknya mahu memberi peluang kepada muka baharu.

"Sekarang kalau kita tengok banyak muka baru dan masa orang seperti saya dalam bidang lakonan sudah berakhir. Jadi kita beri peluang pada pelakon baru untuk lebih menonjol.

"Jadi pelakon macam saya ini, mungkin boleh beri tumpuan pada bidang pengacaraan atau bidang perniagaan," katanya yang kini turut memberi tumpuan terhadap perniagaan atas talian yang diberi nama maroon.red dan laman web DNA By Dynas.

Dynas berkata, untuk karier pengacaraan, dia akan menjalani penggambaran sebuah program berkonsepkan khidmat masyarakat sebanyak 13 episod terbitan Astro Prima tidak lama lagi.

Previous Post Next Post