SESUAI dengan lagunya, Kun Anta atau Jadilah Diri Sendiri, itulah pendirian yang akan cuba dipegang oleh penyanyinya, Humood Alkhudher.
Kerana Kun Anta dan video parodi yang dihasilkannya ketika sedang memandu kereta menyebabkan penyanyi dari Kuwait ini mula mengecap popularitinya.
Lebih bermakna, parodi berkenaan menerima respons positif daripada peminatnya termasuklah golongan selebriti seperti Neelofa, Nazim Othman, Achey dan Yasin Sulaiman.
"Ternyata, Kun Anta membantu memperkenalkan saya kepada ramai peminat terutamanya di Malaysia. Tak sangka sambutan sangat baik di sini. Terima Kasih semua.
"Insya-ALLAH, saya masih lagi orang yang sama biarpun saya sudah semakin dikenali. Saya akan cuba untuk tidak mengubah apa-apa.
"Bahkan lagu Kun Anta sendiri bermaksud Jadilah Diri Sendiri. Jadi, saya akan terus menjadi diri saya.
"Pada masa sama, saya berharap agar peminat terus menyokong karier saya," katanya kepada Zass ketika ditemui selepas sidang media Malam Inspirasi Kun Anta, baru-baru ini.
Meneguhkan lagi pendiriannya itu, penyanyi berusia 26 tahun ini memberitahu, populariti bukanlah matlamat utamanya bergelar penyanyi.
"Secara dasarnya, memang kebanyakan orang akan berfikir bergelar artis hanya untuk mencari kemasyhuran, tetapi mengapa perlukan kaitkan teori ini kepada semua artis?
"Bohong kalau saya kata populariti tidak ada dalam fikiran saya, tetapi saya tidak pernah meletakkan itu sebagai matlamat utama.
"Tapi, saya percaya lebih besar populariti yang diterima, maka semakin besarlah tanggungjawab yang perlu dipikul," katanya.
Bercerita lebih lanjut mengenai Kun Anta, Humood memberitahu ia adalah single pertama daripada 10 lagu yang dimuatkan menerusi album Aseer Ahsan (I Can Be Better) yang mula berada di pasaran di luar negara sejak Januari lalu.
Biarpun album ini masih belum memasuki pasaran fizikal di Malaysia, namun permintaan terhadap album tersebut di kalangan peminat nasyid tempatan adalah amat tinggi bahkan berjaya menduduki tangga teratas di carta iTunes Malaysia dan carta
Malaysia Viral 50 di platform digital Spotify.
"Saya tak sangka ramai menyukainya. parodi Kun Anta adalah video pertama rakaman saya yang menjadi viral di laman sosial sehingga mendapat jumlah tontonan dan 'like' yang sangat tinggi.
"Tapi saya suka dengan aksi Neelofa dan saya hanya baharu mengenalinya sejak menonton parodi aktres itu menerusi laman sosial, Instagram.
"Malah, saya gementar untuk berjumpa dengannya menerusi program hiburan MeleTOP, Selasa lalu," katanya.
Mengakui kurang arif tentang industri hiburan tanah air, Humood yang juga artis rakaman Awakening Records ini bagaimanapun mengetahui beberapa artis terkenal Malaysia. "Saya tak banyak tahu tentang muzik Malaysia tapi saya kenal dengan Raihan, Rabbani dan Yuna. Ini kerana, saya ada mendengar lagu-lagu mereka," katanya.
Bertekad untuk menyebarkan elemen positif dalam setiap lagunya, Humood menegaskan itu adalah sasaran utamanya dalam menghasilkan lagu yang berunsur inspirasi dan bermotivasi.
"Saya percaya saya mempunyai tugas untuk mempertahankan agama, negara, dan masyarakat.
"Saya juga percaya Tuhan akan bertanya kepada saya pada hari Kiamat kelak tentang bagaimana saya menggunakan 'alat' yang telah disediakan-Nya untuk tujuan kebaikan.
"Jadi. saya bekerja keras untuk memberikan jawapan yang terbaik untuk hari itu. Sebab itu saya menyebarkan kata-kata salam, kasih sayang, akhlak, dan kerohanian Islam dalam semua lagu dan persembahan saya," katanya.
Malam Inspirasi Kun Anta
Sementara itu, penantian peminat di tanah air untuk bertemu dengan penyanyi ini akan berakhir apabila Humood bakal menjayakan persembahan di Malam Inspirasi Kun Anta di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC), Universiti Teknologi Mara (UiTM),
Shah Alam, malam ini.
Lebih menarik, buat pertama kalinya, Humood bakal beraksi secara 'live' sambil diiringi oleh dua penyanyi terkenal tanah air iaitu Amy Search dan Lah Ahmad.
"Saya teruja dengan persembahan ini. Ini adalah konsert pertama saya di sini.
"Mana tahu, pada masa hadapan, saya berpeluang untuk mengadakan persembahan di sini dalam skala besar pula," selorohnya.
Hampir dua jam persembahan itu, peminat bakal dihiburkan dengan lagu-lagu dari albumnya itu terutamanya lagu berhantunya, Kun Anta.
"Alhamdulillah, saya bersyukur kerana dianugerahkan suara yang merdu dan bakat yang besar.
"Sebenarnya, ini adalah percubaan saya sejak berumur 10 tahun lagi dalam meningkatkan kemahiran saya dan menyumbang sesuatu yang berguna kepada dunia ini," katanya.
Lebih bermakna, persembahan eksklusif yang dibawakan oleh Airish Miracle dan Nealofar Hijab dengan kerjasama Gerakan Belia Gagasan 1Malaysia, Mask Team, FiTA UiTM, Inteam Records dan Awakening Records ini bertujuan untuk mengumpul dana bagi memberi bantuan kepada mangsa gempa bumi di Sabah.
Tiket-tiket ditawarkan dengan haraga serendah RM35, RM45, RM65 dan RM200 untuk tiket VIP bermula 10 Jun lalu sehinggalah malam persembahan.