SETELAH mengamalkan perubatan dan pemakanan sunnah sejak tiga minggu lalu, bintang filem Ali Setan, Azmil Mustapha mengakui tahap kesihatannya kini semakin memberangsangkan.
Atas dasar ingin berkongsi dengan orang ramai, tunjang utama filem Mekanik ini mengambil inisiatif untuk menganjurkan Seminar & Pameran: Perubatan & Pemakanan Sunnah di tiga masjid berbeza di Shah Alam, pada hujung minggu ini.
"Saya merupakan seorang pesakit jantung, sejak empat tahun lalu.
"Malah, ketika berada di Syria, saya pernah 'tumbang' dan perlu menjalani pembedahan pintasan jantung.
"Sejak itu, saya perlu lebih bergantung pada ubat-ubatan hospital," katanya pada Zass ketika ditemui, semalam.
Bagaimanapun, pertemuannya dengan salah seorang pengamal perubatan dan pemakanan sunnah sekali gus membawa perubahan positif terhadap dirinya.
"Panelis yang terlibat sudah berpengalaman lebih 10 tahun dalam industri ini.
"Sebelum ini, barisan panelis ini merupakan doktor perubatan di hospital-hospital awam.
"Bagaimanapun, setelah mereka mengkaji dan mengetahui keberkesanannya, Alhamdulillah mereka teruskannya," katanya.
Tambahnya, tujuannya menganjurkan seminar ini adalah untuk berkongsi dengan orang ramai akan kelebihan dan keistimewaan perubatan ini.
"Saya lakukannya bertitik tolak daripada pengalaman saya sendiri.
"Jika tidak berkesan pada saya, saya tidak akan kongsi.
"Biarlah kita sama-sama memperolehi manfaatnya," katanya.
Seminar & Pameran: Perubatan & Pemakanan Sunnah dijadualkan berlangsung di tiga masjid di Shah Alam iaitu Masjid Al Ikhlas, Seksyen 13 pada esok, Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong (Sabtu, 13 Jun) dan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada Ahad (14 Jun).
Ia akan bermula dari jam 11 pagi hingga 6 petang kecuali esok dari 2 ke 6 petang
Kehadiran adalah percuma.