Ashraf Muslim Dikritik anggap dugaan berpoligami



'DUGAAN berpoligami', itulah luahan pelakon dan penerbit Ashraf Muslim mengenai perihal rumah tangganya yang sering menjadi tumpuan ramai.

Baru-baru ini, keluarga Ashraf sekali lagi menjadi perhatian setelah isteri keduanya, Wan Sakinah disahkan hamil anak kedua dan disebabkan itu ramai yang memberi komen negatif dan isteri pertamanya, Noor Dayana turut tidak terkecuali terkena tempiasnya.

Menjawab segala persoalan dengan tenang, Ashraf bagaimanapun akui dia tidak mampu untuk menghentikan komen-komen negatif yang dilemparkan sesetengah masyarakat namun hanya mampu bersabar dan memberi tumpuan terhadap perkara yang sepatutnya.

“Bagi saya biarlah mereka nak bercakap, ini hal keluarga saya dan ia tidak boleh dikongsikan dengan orang lain tapi kalau mereka masih mahu bercakap saya tidak boleh berbuat apa-apa tapi yang berdosanya mereka.

“Kalau saya jelaskan perkara sebenar pun tidak ada guna kerana mereka masih akan bercakap perkara yang buruk. Yang penting saya perlu didik keluarga saya supaya lebih bersabar dan perlu faham kerana mereka bersama selebriti yang sering ditembak sana-sini.

“Apa yang berlaku ini, saya anggap ini adalah dugaan dan cabaran buat kami sekeluarga,” jelasnya.


Tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan, Ashraf akui tidak mahu cepat melenting biarpun ada kalanya komen yang dilemparkan kepada ke dua isterinya melampaui batas.

“Ada sesetengah kata-kata mereka yang memang mengguris hati dan itu tugas saya bagaimana saya mahu menenangkan mereka.

“Tapi saya juga tidak nafikan, ada juga komen-komen yang membantu memberi semangat kepada kami dan saya mengaku memang bacanya.

“Kalau ada yang terlalu melampau saya akan respons tapi itu pun dengan cara yang berhemah,” katanya tenang.

Bercerita mengenai kehamilan ke dua Sakinah, Ashraf akui dia perlu lebih bekerja keras menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga.

“Alhamdulillah, kami sekeluarga gembira dan tidak sabar menantikan kelahirannya.

“Pada masa yang sama tanggungjawab saya juga semakin bertambah, jadi saya perlu lebih fokus dan bekerja keras,” katanya.

Dalam perkembangan karier, Ashraf memberitahu dia baharu sahaja tamat dengan penggambaran telefilem raya ‘Pelangi Kita’ siaran TV Alhijrah.

Previous Post Next Post