Bade tidak hadir ke prosiding kes cerai


Erma Fatima ketika keluar dari Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, semalam.

MAHKAMAH Rendah Syariah Gombak Timur semalam mengeluarkan notis amaran kepada suami pengarah filem Erma Fatima, Bade Azmi selepas gagal hadir tanpa alasan pada prosiding sebutan kes cerai yang difailkan isterinya itu.

Hakim Syarie Shaiful Azli Jamaludin memerintahkan demikian selepas peguam Jamal Mohd Lokman yang mewakili Erma Fatima memaklumkan Bade, 51, atau nama sebenarnya, Badaruddin Azmi tidak hadir walaupun pihaknya telah menyerahkan saman pada 19 April lalu.


Erma Fatima, 47, atau nama sebenarnya, Fatimah Rahmad selaku plaintif memfailkan permohonan untuk bercerai secara baik bulan lalu mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Negari Selangor 2003.

Sehubungan itu, mahkamah menetapkan 10 Ogos depan untuk sebutan semula.

Bade dan Erma Fatima bernikah pada 30 November 1990, namun tidak dikurniakan cahaya mata kandung.

Bagaimanapun pasangan itu memiliki lima anak angkat iaitu Syamil Ikhwan, 22; Ahmad Arir, 20; Ahmad Aifin, 18; Citra, 13 dan Nurain, 9.

Pada awal 2014, Bade telah berkahwin lagi dengan seorang wanita berasal dari Pahang dan dikurniakan seorang anak lelaki yang kini berusia enam bulan.

Previous Post Next Post