PELAKON Britain, Sir Christopher Lee meninggal dunia pada umur 93 tahun di Hospital Chelsea Westminster di London.
Menurut The Guardian, tiga minggu sebelum itu, Lee dimasukkan ke hospital berkenaan berkenaan masalah pernafasan.
Beliau yang popular dengan watak Count Dracula pada 1950-an dan 1960-an sering diberi watak antagonis, termasuk menghidupkan watak Saruman dalam filem trilogi The Lord of the Rings dan Count Dooku dalam Star Wars.
Sebelum bergelar pelakon, Lee merupakan seorang sukarelawan dalam Angkatan Tentera Udara DiRaja pada 1940 dan menjadi seorang pegawai perisik yang bertugas di Mesir, Libya dan Malta.
Selepas Perang Dunia Kedua tamat, beliau juga menghabiskan beberapa bulan memburu penjenayah perang Nazi.
Tidak ramai yang tahu Lee juga merupakan seorang ahli muzik, dimana beliau berjaya merakamkan dua album symphoni bergenra Metal.
Sebelum meninggal dunia, Lee dilaporkan akan berlakon disamping pelakon jelita, Uma Thurman dalam sebuah filem berkisar tragedi 9/11.