Penghijrahan Erra Fazira bukan disebabkan individu lain



TIDAK sampai dua minggu pelakon Erra Fazira mengambil keputusan untuk mengenakan hijab sepenuhnya, sudah mula timbul cakap-cakap nakal mengenai penghijrahan aktres cantik itu.

Menerusi ruangan pojok sebuah akhbar mingguan tempatan minggu lalu, pengacara rancangan bual bicara PRIMAdona itu dikatakan berhijrah atas sokongan dan dorongan penyanyi yang pernah dikaitkan dengannya sebelum ini, Shahir.

Khabar angin tersebut mula bertebaran selepas juara Akademi Fantasia musim kelapan itu telah membuka kelas fardhu ain yang kini beroperasi di kampung halamannya di Perak.

Menguatkan lagi dakwaan tersebut, Erra atau nama lengkapnya Fazira Wan Chek, 41, pernah menyatakan bahawa individu pilihan hatinya harus arif dalam selok belok agama dan mampu membimbingnya di dunia dan akhirat.

Berkesempatan bertemu dengan pelakon filem Sembilu itu pada majlis pertunjukan fesyen Safari Fauna Mimosa Raya 2015 rekaan Bianco Mimosa di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur baru-baru ini, Erra menegaskan bahawa keputusannya untuk berhijab tidak dipengaruhi dengan mana-mana individu.

Katanya, dia sudah lama berniat untuk berhijab dan penghijrahan tersebut dilakukan atas kehendaknya sendiri.


Artis Meletop!: Benarkah dakwaan yang mengatakan Erra berhijab atas dorongan Shahir?

ERRA: Saya ingin tegaskan, dakwaan tersebut tidak benar sama sekali. Saya berhijrah bukan sebab sesiapa tetapi atas niat dan kehendak sendiri. Saya sangat berterima kasih kepada Allah kerana ia (penghijrahan) berlaku bukan atas desakan sesiapa.


ERRA belum bercadang untuk menjual baju-baju lama dan koleksi rambut palsunya.

Adakah anda sudah menyangka perkara sebegini bakal berlaku apabila mengambil keputusan untuk berhijab sepenuhnya?

Orang akan sentiasa bercakap dan ia merupakan perkara biasa. Namun saya tidak mahu hiraukan apa yang diperkatakan orang kerana perkara tersebut tidak benar sama sekali.

Apakah perubahan drastik yang dialami selepas berhijab?

Setakat ini, semuanya dalam keadaan baik. Alhamdulillah, saya berasa sungguh gembira kerana mendapat sokongan yang sangat positif daripada keluarga, rakan-rakan dan peminat.

Apa pendapat anda apabila ramai rakan-rakan artis yang sudah berhijrah walaupun sedar mereka berkecimpung dalam bidang hiburan?

Saya gembira kerana ramai juga rakan-rakan artis yang mengambil keputusan untuk berhijab. Ia merupakan petanda yang bagus. Cuma, rasa mahu berhijrah itu perlu datangnya dari Allah, bukan atas ajakan rakan. Jadi, kita sama-sama menyambut perubahan ini dengan rasa positif.

Adakah anda sudah mempunyai fesyen untuk digayakan selepas berhijab?

Sebenarnya, peralihan ini sudah lama saya rencanakan. Ia tidak datang secara mengejut. Saya masih sedang menyesuaikan diri dan tidak ada fesyen-fesyen tertentu untuk diikut buat masa ini.

Apakah yang akan lakukan dengan baju-baju lama anda?

Sudah ada bertanya tentang baju-baju lama dan rambut palsu saya. Saya memang ada bercadang untuk menjualnya, tetapi bukan dalam masa terdekat ini.

Adakah anda akan membataskan kemunculan di kaca televisyen selepas berhijab?

Sejujurnya, mahu kata saya bersara selepas berhijab, tidak juga. Industri hiburan adalah periuk nasi saya dan bakat juga datang dari Allah. Sebelum ini banyak sudah saya hadkan dan Alhamdulillah, ia berjalan seiring dengan penghijrahan saya ini.

Previous Post Next Post