Finale Ceria Popstar: Debaran lima finalis


Barisan finalis.

SETELAH bersiaran enam minggu, kini debaran untuk mengetahui siapakah peserta cilik yang bakal membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM20,000 sampai ke kemuncak.

Menerusi Konsert Akhir Ceria Popstar musim ketiga yang berlangsung malam ini, lima daripada 10 peserta bakal berentap untuk bergelar juara.

Mereka adalah Dayang Izyan Zawanie, 15, (Papar); Zackiddin Zachry, 13, (Keningau); Muhammad Fikry Izzudin, 11, (Melaka); Vanessa Reynauld, 15, (Klang) dan Adinda Tasya, 10, (Simpang, Perak).

Konsert akhir ini juga bakal dimeriahkan dengan keletah Nabil sebagai pengacara, Johan, Zizan, Dato AC Mizal dan Ziana Zain sebagai juri serta Datuk Aznil Nawawi sebagai Penaung.

Tentu sekali, perhatian akan lebih lebih terarah kepada lima finalis yang cukup hebat ini. Ikuti temu bual Zass bersama lima finalis Ceria Popstar menjelang konsert finale yang akan berlangsung malam ini di Studio 1, Astro Bukit Jalil.


Dayang teruja

Dayang, selaku ‘Kak Long’ daripada lima finalis ternyata tidak dapat menyembunyikan rasa teruja setelah dipilih sebagai finalis.

Dilahirkan pada 20 Februari 2000, Dayang bakal mendendangkan lagu daripada Datuk Siti Nurhaliza bertajuk Terbaik Bagimu serta single terbarunya berjudul Tempatkan Aku ciptaan Chaq dan Stacy.

“Saya akan berusaha menampilkan kelainan di peringkat akhir ini. Antaranya memasukkan elemen jazz dan blues dalam lagu tersebut agar tidak kelihatan seperti penyanyi asal.

“Menerusi latihan saya kini yakin untuk melakukan improvisasi lagu tersebut versi saya sendiri. Saya harap penonton terhibur dan juri suka persembahan akhir saya,” katanya yang mengakui gentar dengan semua peserta finale.


Vaneesa tebus kesilapan

Sementara itu, seorang lagi peserta seusia Dayang adalah remaja keturunan China-India bernama Vanessa.

Lahir pada 11 Oktober 2000, Vanessa merupakan anak bongsu dari tiga beradik. Maka tidak hairanlah sikap dan tingkah laku remaja ini lebih manja dan bersahaja.

Pendek kata seperti rakan-rakan lain, Vanessa mempunyai karakter unik, selalu buat hal sendiri. Tidak banyak ragam, tetapi liat bangun pagi.

Ditanya soalan sebegitu, Vanessa ketawa tanda mengakuinya.

“Mungkin faktor bahasa, jadi saya kurang faham. Tapi saya senang dengan kawan-kawan. Sebenarnya saya tak sangka dapat masuk final sebab saya pernah masuk bottom three sebanyak dua kali, iaitu minggu kedua dan ketika.

“Mujurlah saya masih diberi peluang dan tidak tersingkir. Daripada situ saya mula sedar dan baiki kesilapan. Saya akan menghayati lagu dengan baik dan akan bercerita dalam lagu. Saya bangga dapat masuk final,” katanya yang bakal mempersembahkan lagu bertajuk Power Of Love oleh Celine Dion serta singlenya Kelmarin ciptaan Chaq dan Stacy.


Zack gementar

Sementara itu, remaja stylo bernama Zack ini memberitahu, dia gementar bersaing dengan barisan finalis lebih-lebih lagi Dayang dan Fikry.

“Saya nampak dan tahu kekuatan vokal Kak Dayang. Begitu juga Fikry yang ada keunikan dan peminat tersendiri. Saya risau dengan mereka. Oleh sebab itu saya sentiasa berlatih tak kira masa. Sambil jalan pun saya menyanyi.

“Lagi pun memang tak sangka masuk finale. Tapi saya akan buat yang terbaik supaya dapat sokongan dan undian penonton,” katanya.

Pada konsert finale ini, Zack akan menyanyikan lagu Nur Nilam Sari oleh Wings dan single terbaharu bertajuk Cik Adik Cik Abang.


Hasrat Fikry termakbul

Bagi si kecil molek berwajah manis, Fikry, dia bersyukur kerana melangkah ke konsert akhir yang merupakan dambaannya ketika melangkah masuk ke program ini.

“Semua orang yang masuk bertanding pasti nak menang, begitu juga saya. Untuk konsert akhir saya akan sampaikan single terbaharu, Takkan Terpadam ciptaan Ady Six Senth dan juga lagu berjudul Potret oleh Akim and The Majistret,” katanya.

Ditanya tentang kebolehannya menyanyikan lagu asli dengan baik dan penuh penghayatan, Fikry berkata, dia menggemari lagu bergenre klasik asli berbanding yang lain.

“Masa kecil ayah suka dengar lagu asli. Pertama kali dengar saya jadi suka dan saya beritahu ayah. Lepas itu ayah muat turun lagu-lagu klasik dari internet ke dalam CD untuk saya dengar. Dari situlah minat saya semakin memuncak dan saya mula nyanyikan lagu irama asli,” jelasnya.


Adinda perbaiki kelemahan

Dalam pada itu, Adinda yang merupakan peserta finale termuda dan juga paling pemalu antara empat lagi finalis lain, akan menyanyikan lagu dendangan Datuk Rossa berjudul Pudar dan single baharu, Elok.

Mengakui berdebar untuk bersaing pada konsert finale malam ini, Adinda berkata, dia berharap dapat memperbaiki kelemahannya dalam nota rendah.

“Saya suka gendre balada. Tapi saya selalu kena tegur dengan cikgu kerana kesalahan dalam 'low note'.

"Malah bila dapat lagu, saya susah nak tangkap, tapi cikgu banyak bantu saya perbetulkan low note saya.

"Saya harap masalah ini dapat diatasi dan saya dapat melakukan yang terbaik pada malam konsert nanti,” katanya.

Previous Post Next Post