Kerjasama KRU, PDRM



NORMAN (duduk kiri) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) Kerjasama KRU Studios dengan PDRM bersama Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun (duduk kanan) di Dewan MESS Pegawai Kanan Bukit Aman, Kuala Lumpur baru-baru ini.

SELEPAS lebih tiga bulan menjalani proses membaik pulih visual asal, filem epik penuh aksi Bukit Kepong akhirnya sedia untuk ditayangkan kepada umum bermula bulan Ogos depan sempena sambutan Hari Kemerdekaan yang ke-58.

Filem Bukit Kepong yang diterbitkan oleh Jins Shamsudin Production pada tahun 1981 itu diberi nafas baharu dengan menaik taraf kepada versi definisi tinggi (HD) oleh kumpulan syarikat KRU dalam misi menyelamatkan khazanah perfileman klasik negara.

Baru-baru ini, kumpulan syarikat KRU Studios menerusi United Studios dan Prodigital Lab telah memeterai satu kerjasama strategik dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersempena tayangan filem Bukit Kepong versi HD pada bulan kemerdekaan nanti.

Menurut Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat KRU, Norman Abd. Halim, kerjasama yang dimeterai tersebut bertujuan menyalurkan sebahagian daripada kutipan tayangan amal, tayangan perdana serta tayangan awam filem Bukit Kepong kepada dana Tabung Kebajikan PDRM.


“Ini merupakan satu langkah yang baik dalam mengeratkan kerjasama dengan pihak PDRM menerusi semua aspek. Jika dinilai semua kandungan filem tersebut, jalan ceritanya sendiri sudah mengisahkan kecekalan pasukan PDRM.

“Apa sahaja prop yang digunakan dalam filem itu sudah melambangkan institusi PDRM seperti senapang, pistol dan balai polis. Malah, ada juga dalam beberapa babak turut menggunakan khidmat anggota polis yang sebenar.

“Jadi, apabila filem ini sudah diberi nafas baharu, pihak United Studios Sdn. Bhd. berbesar hati untuk memberi sebahagian daripada kutipan tiket tayangan filem ini kepada tabung PDRM. Ini menandakan penghargaan kepada pihak polis yang berjasa ketika mempertahankan Bukit Kepong.


NORMAN (duduk kiri) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) Kerjasama KRU Studios dengan PDRM bersama Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun (duduk kanan) di Dewan MESS Pegawai Kanan Bukit Aman, Kuala Lumpur baru-baru ini.

“Semoga dengan usaha sebegini mampu menguatkan kerjasama antara pihak KRU dan PDRM pada masa akan datang dalam semua aspek,” ujarnya ketika ditemui selepas majlis perjanjian memorandum tersebut di Dewan MESS Pegawai Kanan Bukit Aman, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambah Norman, sempena bulan kemerdekaan nanti, pihaknya meletakkan golongan pelajar sekolah dan anak muda sebagai sasaran untuk menonton naskhah epik penuh aksi tersebut agar generasi Y tidak ketinggalan dalam mendalami sejarah negara menerusi naskhah perfileman.

“Saya percaya, generasi muda pada masa kini tidak ramai yang menonton atau tahu tentang filem Bukit Kepong kerana usia filem ini sendiri sudah lama iaitu 34 tahun.

“Jadi, ini adalah masa terbaik untuk menarik minat anak muda menonton. Selain bersesuaian dengan tema bulan kemerdekaan iaitu patriotisme, filem ini sebenarnya sarat dengan jiwa perjuangan,” ujarnya.

Mengangkat tema dan objektif Ops Selamatkan Bukit Kepong, usaha baik tersebut dilakukan dengan satu harapan agar semua filem lama yang menjadi khazanah negara dapat diselamatkan, sekali gus memastikan ia diwarisi generasi pada masa akan datang.

Proses membaik pulih filem Bukit Kepong telah mengambil masa selama lebih tiga bulan untuk disiapkan dan mengalami pelbagai yang sukar. Ia termasuklah proses digital remastering untuk visual dan audio selain meningkatkan kualiti warna.

Kata Norman, ketika negatif asal filem tersebut diperoleh daripada Arkib Negara, ia melekat antara satu sama lain dan menyukarkan pihak yang mengendalikan proses membaik pulih dilakukan.

Bagi memastikan negatif tersebut tidak terkoyak atau rosak, pihak Prodigital telah membawa negatif filem itu ke sebuah makmal di Thailand untuk proses pembersihan sebelum melakukan proses selanjutnya di makmal mereka sendiri di Kuala Lumpur.

Kos keseluruhan bagi proses membaik pulih filem tersebut memakan belanja sebanyak RM100,000 dengan menggunakan tenaga pakar seramai 40 orang.

Tidak hanya filem Bukit Kepong, pihaknya juga kini sedang dalam rangka memberi nafas baharu kepada trilogi filem Esok juga terbitan Jins Shamsudin Production iaitu Esok Masih Ada dan Menanti Hari Esok dalam usaha memastikan semua filem klasik dapat diselamatkan kerana percaya filem-filem tersebut mempunyai nilai khazanah yang tinggi pada masa akan datang.

“Insya-Allah, dalam perancangan memang ada untuk membaik pulih semua filem lama. Saya juga sangat meminati filem Azura, Ali Setan dan Sembilu dan kerana filem itu semua ada nilai tersendiri.

“Jika bukan kita, siapa lagi yang patut untuk melakukan usaha baik seperti ini. Apa yang kita lakukan pada hari ini adalah untuk anak cucu kita pada masa hadapan juga nanti,” ujarnya.

Previous Post Next Post