Zulin Aziz bomohkan Ariz Forteen?



DIFITNAH menggunakan ilmu hitam untuk menarik perhatian dan mendapatkan cinta orang lain adalah sesuatu yang tidak boleh diterima akal lebih-lebih lagi bagi umat Islam.

Begitulah yang dirasakan pelakon dan pengacara, Zulin Aziz apabila didakwa melakukan sedemikian terhadap ahli kumpulan Forteen, Ariz, oleh seorang individu yang tidak dikenali menerusi laman sosial Instagram.

Baru-baru ini menerusi laman tersebut Zulin memuat naik komen wanita yang dikenali sebagai @sitifatimahlufias88 yang mendakwanya menggunakan ilmu hitam.

Melahirkan rasa kesal kepada Zass, Zulin memberikan penjelasan terhadap tuduhan itu.


“Ia sebenarnya dilakukan seorang peminat yang saya rasa terlalu fanatik terhadap Ariz. Mungkin dia cakap begitu kerana dia cemburu saya kawan rapat Ariz. Bagi saya ia satu tohmahan yang amat besar dan mengarut.

“Buat apa saya nak bomohkan kawan baik saya? Yalah saya ni tak cantik. Ariz ramai peminat perempuan jadi dia pelik. Mungkin dia ingat saya macam makcik-makcik jadi tak layak untuk berkawan dengan orang macam Ariz.

"Saya senang dengan Ariz dan kami banyak berkongsi masalah dalam industri,” jelas Zulin.

Mengakui terkesan dengan tuduhan tersebut, Zulin berharap peminat fanatik tidak memuat naik sebarang komen yang tidak berasas kerana bagi Zulin, perkataan yang ditulis, meski pun tidak betul boleh menimbulkan pengaruh terhadap fikiran dan pandangan orang lain.

“Kalau minat pada seseorang pun janganlah sampai menjejaskan persahabatan orang lain.

"Saya dengan Ariz okey dan Ariz faham apa yang berlaku. Sebenarnya individu ini dah kacau Ariz selama tiga tahun. Dia juga pernah menggunakan nama Nastasya dalam Instagram dan selalu memuat naik status berkenaan Ariz sambil tag nama saya.

“Saya tidak tahu apa motifnya dan disebabkan rasa rimas, saya sekat dia sebagai pengikut Instagram saya. Tak sangka pula dia guna nama baru (Fatimah) dan ganggu Ariz pula.

"Bila Ariz adukan pada saya dan saya cuba cari akaun Fatimah, tak jumpa. Rupa-rupanya sebab saya pernah sekat akaun Nastasya. Jadi tahulah kami, bahawa dua nama ini individu yang sama,” katanya.

Menjelaskan hubungannya dengan Ariz, Zulin menegaskan mereka hanya sekadar sahabat baik dan tidak pernah mempunyai hubungan istimewa. Bagi Zulin dia tidak perlu melakukan perkara terkutuk itu semata-mata untuk mendapatkan perhatian.

“Persahabatan saya dan Ariz terjalin atas sebab kami senang dengan karakter masing-masing. Buat masa ini Ariz memang kenalan rapat saya dan dengan Ariz, saya jadi diri sendiri serta tak perlu 'control' ayu dan sebagainya. Mana mungkin kami bercinta.

"Jadi kepada peminat artis janganlah terlalu taksub sehingga sanggup memfitnah orang lain,” katanya.

Sementara itu, bercakap mengenai penghijrahannya, Zulin berkata ia dilakukan atas kehendak sendiri demi memperbaiki diri ke arah yang lebih baik secara perlahan-lahan.

“Saya mohon semua menerima perubahan ini dan janganlah terlalu mempersoalkan apa-apa. Saya selesa dengan imej bertudung dan saya yakin ini adalah permulaan yang baik,” akhirinya.

Previous Post Next Post