Aliff Aziz beraya dengan cinta hati


SAAT ini, hati lelaki yang bernama Aliff Aziz ini sedang berbunga ceria dek penangan cinta yang tersuluh dari sang kekasih.

Masakan tidak, selain keluarga, Syawal ini turut diraikannya dengan kehadiran cinta hatinya, Bella Astillah.

Harapannya cuma satu, detik 1Syawal yang bakal menjelma adalah medium terbaik dalam mengeratkan lagi jalinan kasih sayang, sekali gus membina hubungan ke arah yang lebih kukuh pada masa hadapan.

"Pada raya pertama, saya akan berada di rumah keluarga di Bukit Panjang, Singapura. Menariknya, kali ini, saya turut ditemani kekasih hati.

"Selepas itu, saya pula ke kampung halaman Bella di Sandakan, Sabah pada hari raya ketiga. Ini adalah kali pertama saya beraya dengan bakal tunang.

"Saya anggap ini adalah raya yang paling seronok kerana tahun ini berpeluang meraikannya bersama-sama orang yang saya sayangi," katanya.

Biarpun hanya berhasrat untuk mengikat tali pertunangan pada Disember depan, pelantun lagu Jangan Ganggu Pacarku ini tetap berpendapat kehadiran Hari Lebaran adalah sebagai percambahan rasa kasih sayang dalam bentuk yang lebih ikhlas.

"Sejujurnya, sepanjang kami berkawan, sudah dua kali saya membawanya berjumpa dengan keluarga.

"Peluang untuk beraya bersama digunakan sebaik-baiknya untuk memupuk lagi rasa mesra yang ada.

"Lebih-lebih lagi, kami juga dalam perancangan untuk bertunang sebelum bersedia melangkah ke fasa perkahwinan dalam tempoh setahun akan datang,” katanya sambil dipersetujui Bella yang beranggapan hubungan kekeluargaan yang terjalin adalah penting dalam membina sesuatu hubungan.

Meskipun begitu, Aliff yang tampil sedondon berwarna biru dengan pasangannya itu bagaimanapun mengakui tidak sempat melakukan sebarang persiapan bagi menyambut Hari Lebaran yang tiba pada 17 Julai lalu.

"Semua persiapan menyambut Hari Raya, saya serahkan sepenuhnya kepada ibu yang berada di Singapura.

"Tambahan pula, saya terlalu sibuk untuk menjayakan pelbagai persembahan di Malaysia sehingga tidak sempat pulang ke tanah air dalam masa terdekat ini," katanya.


Gelaran ‘budak jahat’

Kurang enaknya, perjalanan seni penyanyi berusia 24 tahun itu sering kali dilingkari dengan gelaran ‘budak jahat’ berikutan tidak putus-putus diancam dengan pelbagai kontroversi sekali gus menjejaskan imejnya.

"Mengenai setiap kontroversi yang tercipta, saya akui masyarakat menilai atas setiap tindakan kita dan ada kalanya hukuman itu diletakkan terlalu mudah sebelum tahu pucuk pangkalnya.

"Ya, orang memang boleh bercakap apa jua tetapi kalau boleh saya mahu memanipulasi imej budak jahat itu untuk kerjaya yang lebih baik. Walau apa pun, saya tidak boleh puaskan hati semua pihak.

"Kalau nak tahu, saya sebenarnya adalah seorang lelaki yang sangat mementingkan keluarga," katanya.

Bahkan, pelantun lagu Sayang Sayang ini mengakui perkenalannya dengan kekasih hatinya itu telah membawa seribu sinar baharu dalam hidupnya.

"Sejujurnya, Bella banyak mengubah diri saya menjadi seorang yang lebih baik. Walaupun sebelum ini kami punya hubungan yang buruk, tak sangka selepas bertemu tiga tahun kemudian, kami menjadi serapat ini.

"Alhamdulillah, dia dan keluarganya sangat memahami dengan keadaan saya serta tidak bersikap menuduh secara membuta tuli. Apa yang saya kesalkan, mereka juga ada terkena tempias dari kontroversi saya.

"Caranya yang lembut benar-benar mengajar saya selain tidak putus-putus memberi dorongan dan sokongan agar terus menuju ke hadapan.

"Kini, biarlah orang sekeliling nak kata apa pun, yang penting saya sangat gembira dengan kehidupan ini dan diharapkan agar terus mendoakan yang terbaik buat kami," katanya yang bakal muncul dengan album keempatnya, Rebirth (kelahiran semula), hujung tahun ini.

Pada kesempatan itu, hanya satu nasihat daripada Bella buat kekasih hatinya:

"Sekiranya dia benar-benar berubah, biarlah ia hadir atas kerelaan diri sendiri. Alhamdulillah, saya mensyukurinya," kata Bella yang juga merupakan kakak kepada penyanyi Didi Astillah.

Previous Post Next Post