Ben peruntukan RM1,000 untuk duit raya!


SETIAP kali musim perayaan, semestinya kanak-kanak yang lebih teruja terutamanya dalam mengira duit raya yang berjaya di kumpul pada tahun itu.

Namun, bagi Muhammad Benladen Munshi Shaihan, 14 atau lebih dikenali dengan panggilan Ben, suasana itu hanya dirasai sebelum bergelar selebriti cilik.

Sejak dua tahun kebelakangan ini, jumlah duit raya yang terkumpul tidaklah banyak seperti sebelum menyertai rancangan realiti, Idola Kecil 5.

“Tahun ini adalah tahun ketiga saya sebagai selebriti cilik dan seperti dua tahun yang lalu, saya tidak dapat merasai suasana mengira duit raya.

“Malah, saya perlu memperuntukan kira-kira RM1,000 untuk memberikan duit raya kepada kawan-kawan serta kanak-kanak lain yang datang beraya di rumah.

“Saya memperuntukkan RM5 hingga RM10 kepada setiap kawan-kawan yang datang dan saya seronok melakukannya. Saya menganggap ianya sebagai salah satu cara untuk saya bersedekah,” katanya yang turut terlibat dalam beberapa rakaman raya untuk Aidilfitri tahun ini.

Tambah Ben, walaupun suasana dari segi sambutan itu berlainan daripada sebelum ini, namun Aidilfitri tetap disambut dengan meriah sekali dengan kehadiran rakan-rakan serta keluarga jauh dan dekat.

“Setiap tahun, kami tidak akan ketinggalan dalam mengadakan majlis rumah terbuka untuk keluarga dan rakan-rakan. Macam tahun ini, kami beraya di Kuala Lumpur terlebih dahulu dan kemudiannya pulang ke kampung di Larkin, Johor Bahru (JB).

“Untuk majlis rumah terbuka, kami akan tengok jadual terlebih dahulu dan mengadakannya pada masa yang terluang. Selalunya, penghujung Syawal barulah kami buat,” katanya lagi.


Aidilfitri pertama tanpa noyang

Pemergian arwah neneknya pada April lalu meninggalkan kesan buat Ben apatah lagi ia merupakan Aidilfitri pertama tanpa neneknya itu.

Menurut Ben, dia sememangnya rapat dengan neneknya yang dipanggil noyang itu dan tahun ini, tiada lagi hidangan istimewa, ayam kampung masak rendang dan ketupat.

“Saya memang sangat rapat dengan noyang dan selalu jenguk dia di kampung walaupun kami tinggal di Kuala Lumpur. Setiap kali raya, noyang akan sediakan menu-menu istimewanya. Itu yang membuatkan saya sebak.

“Tambahan pula musim perayaan seperti ini, memang sedih sangat-sangat. Saya sangat sayang noyang saya sebab dia baik dan sering melayan karenah saya,” katanya sambil menyeka air mata.

Pun begitu, menu rayanya tetap diteruskan dengan hidangan istimewa setiap tahun daripada ibunya iaitu ayam sambal kicap dan daging rendang.

“Sebenarnya, tiap kali Ramadan pertama, saya akan minta ibu sediakan lauk ini kerana ia adalah lauk utama yang saya makan untuk hari pertama puasa dan Aidilfitri.

“Lauk itu memang tak pernah ‘miss’ dalam senarai menu istimewa saya. Walaupun banyak disediakan di kedai-kedai dan restoran, namun rasa dia amat berlainan daripada ibu yang buatkan.

“Yang peliknya, masa Ramadan dan Aidilfitri sahaja yang saya teringin nak makan. Kalau hari biasa, tak rasa teringin pula,” jelasnya lagi.

Bercerita mengenai pengalaman berpuasa, Ben memberitahu bahawa dia pernah mengalami demam yang teruk sehingga doktor terpaksa menyarankannya untuk berbuka.

“Saya memang susah nak tinggalkan puasa. Kalau penat dengan sesi persekolahan pun, saya tetap berpuasa. Namun, ketika itu, saya sudah tidak tahan dan terpaksa makan ubat,” katanya yang memiliki seorang abang, Saudagardin, 16, dan adik perempuan, Dhia Auni Khayla, dua tahun.

Previous Post Next Post