Kisah raya Titan!



DUA tahun lalu, duo ini mula berjinak-jinak dalam industri seni menerusi pentas komedi, Bintang Mencari Bintang, dengan menggalas nama kumpulan, Titan.

Menggunakan platform itu untuk berdiri sama tinggi dengan barisan pelawak-pelawak tempatan lain, Titan kini mempunyai kelompok peminat yang tersendiri.

Sepanjang tempoh itu, baik Isey mahupun Ammar, masing-masing mengakui bahawa sokongan padu yang diberikan peminat adalah salah satu faktor utama mereka semakin diterima.

Malah, untuk sambutan Aidilfitri tahun ini, selain meraikan bersama keluarga tersayang, mereka juga turut menerima kunjungan daripada golongan peminat.

Walaupun berbeza haluan apabila Isey pulang ke Negeri Che Siti Wan Kembang dan Ammar menuju ke kampung halaman di Kota Tinggi, Johor, namun keduaduanya tetap memastikan sambutan tahun ini dapat menggembirakan orang yang tersayang.

Menurut Isey atau nama sebenarnya, Fazlisham Mat Hussin, 28, walaupun jadualnya untuk tahun ini agak padat, namun dia tetap menerima kunjungan daripada peminat di serata daerah.

“Memang ada bezanya sebelum dan selepas kita dikenali sebagai selebriti. Kalau sebelum ini, tetamu yang datang hanyalah rakan-rakan dan keluarga namun kini, sebahagian tetamu yang hadir adalah dari kalangan peminat.

“Namun, saya memang jenis yang tidak akan menolak kunjungan peminat malah, seboleh-bolehnya melayan mereka dengan sehabis baik. Untuk peminat yang sentiasa memberikan sokongan, saya akan korbankan sedikit masa dan aktiviti yang boleh dielakkan,” katanya lagi.

Manakala, bagi Azizul Ammar Abu Hassan, 28, dia mengakui bahawa kehadirannya dalam industri bersama Isey turut disedari sebahagian peminat di kalangan masyarakat setempat.

“Golongan peminat ini bukan hanya di kalangan orang dewasa, malah kanak-kanak juga tahu yang kita adalah selebriti, Jadi, dalam masa yang sama, duit raya juga kena disediakan lebih daripada biasa.

“Mereka akan datang silih berganti untuk beraya dengan kita, malah di kalangan anak-anak saudara juga, mereka meraih harapan yang lebih kepada kita untuk memberikan amaun yang lebih banyak berbanding sebelum ini.

“Untuk tahun ini, saya memperuntukkan RM1,000 diagihkan sebagai duit raya. Ia sudah cukup untuk menggembirakan golongan kanak-kanak,” katanya lagi.


Isey raya bersama isteri

Mendirikan rumah tangga bersama pilihan hati, Syuhadaa Syafiffaa Abdul Rashid, 23, pada 19 Mac lalu, tahun ini merupakan tahun pertama Isey menyambutnya bersama keluarga mertua.

Namun, satu bonus yang ada pada pasangan ini adalah kedua-duanya berasal dari negeri yang sama walaupun berlainan daerah.

Menurut Issey, ia memudahkan urusan beraya mereka kerana tidak perlu menggunakan sistem giliran setiap tahun.

“Alhamdulillah, saya beruntung dapat kahwin dengan orang Kelantan sekaligus memudahkan urusan beraya. Tapi, seperti kebiasaannya setiap tahun dan tahun ini, saya beraya di Kuala Krai terlebih dahulu kerana melawat pusara abah.

“Selepas itu, barulah ke Machang, beraya bersama keluarga mertua. Raya kedua, barulah saya beraya di rumah keluarga iaitu di Jalan Bayam, Kota Bharu. Setiap tahun, kami sekeluarga beraya di kampung, Kuala Krai pada hari pertama dan kedua baru pulang ke Kota Bharu.

“Untuk hari raya kedua itu, kami akan mengadakan majlis rumah terbuka dan ia adalah majlis untuk setiap tahun. Ibu saya menghidangkan menu utama iaitu nasi dagang dimasak sendiri dan sate,” katanya.

Ditanya mengenai perbezaan sambutan Aidilfitri tahun ini berbanding tahun sebelumnya, Isey memberitahu status suami yang digalasnya itu adalah perbezaan yang cukup ketara.

“Kalau sebelum ini, keutamaan hanyalah pada keluarga dan diri sendiri. Namun, tahun ini isteri telah menempah satu lagi tempat di dalam jadual diri saya.

“Keperluan dan tanggungjawab perlu dilaksanakan seadilnya agar kita dapat mengimbanginya dengan baik. Malah, bila ada isteri, kita tidak boleh ikut kepala sendiri.

Ada kalanya kena tanya pendapat dia juga,” jelasnya lagi.


Rindu arwah abah

Ditanya mengenai kenangan raya yang tidak dapat dilupakan, Isey tidak keberatan berkongsi kisah mengenai pemergian bapanya, Mat Hussin Hassan Gul, yang meninggal dunia pada Mac 2006.

Menurut Isey, kehilangan bapanya memberi kesan yang besar buat mereka sekeluarga malah sehingga kini, mereka masih merindui susuk ketua keluarga itu.

“Paling sedih adalah pada Aidilfitri 2007. Biasanya setiap pagi raya, abah akan menunggu kami di depan pintu untuk bersalaman terlebih dahulu sebelum ke masjid untuk sembahyang raya.

“Namun, untuk tahun itu, dia tiada.

Memang saya rasa sebak sangat dan sukar melalui raya pada tahun itu. Walaupun abah sudah lama pergi meninggalkan kami, namun kerinduan itu masih tebal,” katanya sebak.

Turut berkongsi mengenai kenangan raya yang tidak dapat dilupakan, Isey memberitahu dia pernah terlupa membawa pulang baju raya ketika Aidilfitri dua tahun lalu.

“Pada tahun itu, segala persiapan raya saya termasuk baju telah saya beli di ibu kota.

Namun, bila sampai ke rumah, saya dapati baju raya saya tertinggal.

“Jadi, untuk tahun itu, terpaksalah saya cari baju raya sebelum ini dan memakainya semula.

Namun, malang nasib saya kerana seluarnya sendat dan tak muat.

“Untuk menyelamatkan keadaan, saya memakai baju Melayu sahaja dan mengenakannya dengan padanan seluar jeans.

Pengalaman itu membuatkan saya lebih berhati-hati mengenai baju raya agar perkara yang sama tidak berulang lagi,” katanya.


Ammar pentingkan keluarga

Tidak pernah ketinggalan dalam menyambut perayaan bersama keluarga di Johor Bahru, Ammar mengakui bahawa dia adalah seorang yang mementingkan keluarga.

Walau sesibuk mana pun jadualnya, Ammar memastikan bahawa Aidilfitri adalah hari untuk kesemua ahli keluarga berkumpul dan meraikannya bersama.

Pun begitu, pelakon dan pengacara ini memberitahu dia pernah melalui hari raya yang paling suram dalam hidupnya apabila ramai di kalangan keluarga tidak dapat pulang ke kampung berhari raya.

“Pada tahun 2012, raya saya sangat tidak seronok apabila tak semua keluarga dapat balik beraya bersama keluarga. Saya rasakan sambutan pada tahun itu tidak lengkap.

“Ada yang memberitahu dari awal tidak dapat pulang kerana giliran di kampung isteri dan ada pula yang memberitahu di saat-saat akhir tidak dapat balik beraya. Memang saya sedih sangat masa itu,” jelasnya.

Bercerita mengenai kenangan raya di zaman kanak-kanak, Ammar memberitahu dia pernah mengumpul duit raya paling banyak iaitu RM250.

“Ketika itu, memang susah nak dapat duit raya sebanyak itu. Malah, saya terpaksa beraya ke sekitar Kota Tinggi untuk mendapatkan duit raya.

“Duit raya itu saya tidak gunakan untuk beli apa-apa kerana saya serah kepada emak dan menyimpannya di Tabung Haji,” katanya lagi.


Menu paling istimewa

Selain menyambutnya bersama orang yang tersayang, Aidilfitri turut diraikan dengan hidangan menu istimewa yang berbeza di setiap rumah mahupun negeri.

Berkongsi mengenai menu dan juadah istimewa di pagi raya, Ammar memberitahu ayam masak merah daripada air tangan ibu saudaranya adalah pemikat rasa di Aidilfitri.

“Setiap kali raya, memang menu itulah yang menjadi keutamaan dan permintaan saya. Menu itu hanya disediakan pada hari raya dan ditambah hidangan kuah lodeh, memang saya tak dapat menahan nafsu makan,” katanya.

Tambah Ammar, pada malamnya pula mereka sekeluarga akan berkumpul untuk aktiviti barbeku sehingga lewat malam.

Previous Post Next Post