Kilafairy Kesal Ibu Jadi Sasaran


Kilafairy kesal apabila ibunya, penyanyi Rohana Jalil menjadi sasaran apabila namanya terpalit kontroversi.

Pelakon Kilafairy mengakui kesal apabila ibunya, penyanyi Rohana Jalil menjadi buruan setiap kali namanya dikaitkan dengan isu dan kontroversi.

Kilafairy atau nama sebenarnya Syakila Nisha Jangir Khan, 23, berkata, dia berasa kasihan dengan ibunya itu kerana tidak semua gosip diketahui wanita berkenaan namun terpaksa menjawab bagi pihaknya.

"Ibu saya sering menjadi sasaran untuk menjawab segala kontroversi yang melanda diri saya malah adakalanya dia sendiri tidak tahu menahu mengenai perkara dibangkitkan.

"Saya lebih suka dia tidak menjawab apa-apa kerana bimbang akan ada pihak tidak bertanggungjawab memanipulasi kenyataannya dan menyebabkan sesuatu isu itu menjadi lebih besar," katanya kepada mStar Online.

Bagaimanapun kata Kilafairy, dia tidak terlalu tertekan dengan semua gosip melanda dirinya kerana menganggap ia sebahagian daripada lumrah dunia hiburan dan dibesarkan dalam persekitaran tersebut.

"Ibu saya sudah lama dalam industri ini, jadi sedikit sebanyak saya sudah faham dengan lumrah dunia hiburan," jelasnya.



Kilafairy dan ibunya, Rohana Jalil.

Dalam pada itu, Kilafairy berkata, namanya agak tenggelam sejak akhir-akhir ini daripada sebarang publisiti bukan kerana sengaja menjauhi mana-mana pihak.

Sebaliknya, dia lebih selesa tidak terlalu menjadi perhatian ramai disamping enggan namanya dikaitkan dengan mana-mana kontroversi.

"Cukuplah dengan pelbagai cerita kurang enak sebelum ini dan sudah tiba masanya saya fokus betul-betul pada lakonan dan nyanyian.

"Saua juga lebih selesa berdiam diri apabila timbul isu tidak enak tentang saya kerana tidak mahu ia diperbesar-besarkan.

"Saya masih ada dan tidak menghilang cuma sedang sibuk dengan penggambaran dan menguruskan butik pakaian saya, Rack," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Kilafairy berkata, dia kini sedang dalam proses melancarkan single terbaharunya yang mendapat sentuhan daripada komposer dari Indonesia.

Previous Post Next Post