Langkah versatil Fimie Don



SEDEKAD berada dalam industri hiburan, nama pelakon Fimie Don bukanlah suatu nama yang cukup asing. Bermula sebagai pelakon kanak-kanak, kini Fimie sudah menginjak usia 17 tahun. Dalam tempoh itu juga, sudah ratusan naskhah yang menampilkan wajahnya.

Cuma dahulu, peranan yang diberi kepadanya lebih kepada watak sebagai kanak-kanak dek mahu disesuaikan dengan usianya. Bagaimanapun, sekarang ini selari dengan usianya, aktor drama Bong itu mula mahukan sesuatu yang berbeza buat dirinya.

Bukan memilih, tetapi bagi pelakon Hikayat Putera Syazlan itu, dia mahukan pembaharuan dan penambahbaikan dalam lakonannya. Mencuba sesuatu yang baharu, semestinya perkara itu secara tidak langsung mampu menguji kemampuan dirinya membawakan sesuatu watak lebih mencabar.

“Kalau diperhatikan, watak yang sering saya bawa selalu membawakan karakter budak baik. Jadi, apabila tawaran yang datang kepada saya, ada kalanya perlu kena memilih juga. Bukanlah membawa maksud saya ini mula cerewet atau apa.

“Cuma, saya berfikiran jika saya kerap bawa watak yang lebih kurang sama sahaja dalam setiap lakonan, saya tidak akan tahu tahap kemampuan diri untuk bawa watak yang lebih mencabar seperti menjadi seorang lelaki psiko,” katanya ketika ditemui Sensasi Bintang dalam satu sesi fotografi baru-baru ini.


Mengakui sehingga kini dirinya masih dilabel sebagai pelakon kanak-kanak sungguh pun usianya sudah meningkat remaja, Fimie tidak pernah menganggap itu sebagai satu masalah kepadanya. Bahkan, katanya, anggapan itu mungkin sukar dibuang berikutan dia sendiri memulakan kerjaya sewaktu zaman kanak-kanak lagi.

“Kita tidak boleh nak paksa orang kenal kita dengan label kanak-kanak atau dewasa. Itu semua berdasarkan apa yang mereka tonton dan lihat di televisyen. Bagi saya, apa yang lebih penting adalah mutu dan kualiti lakonan yang kita tampilkan. Itu lebih utama untuk saya berikan kepada penonton,” kongsi si pemilik nama sebenar Shafimie Saedon.

Bukan sahaja aktif berlakon, pada masa sama, aktor yang pernah membintangi drama Juvana itu juga kini sedang sibuk dengan dunia nyanyian.

“Saya akan muncul dengan single terbaharu berjudul Kata Kamu. Lagu itu merupakan naskhah bergenre hip hop yang sudah lama saya hasilkan,” katanya yang sebelum ini pernah tampil dengan lagu berjudul Untuk Mama & Papa.

Bercakap perihal fokus bidang yang mahu diberi perhatian, kata Fimie dia mahu berjaya dalam kedua-dua lapangan yang diceburi.

“Kalau ikutkan, menyanyi ini lebih mudah untuk jana pendapatan berbanding lakonan. Lebih-lebih apabila bercakap mengenai penggunaan masa. Berlakon menuntut masa yang lama berbanding menyanyi.

“Bagaimanapun, kedua-dua bidang itu mempunyai kelebihan masing-masing. Sebagai contoh, tahun ini saya bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, jadi saya boleh teruskan dengan nyanyian kerana ia tidak menggunakan masa panjang dan tidak mengganggu jadual belajar saya,” katanya yang kini sedang muncul dengan drama berjudul Wadi.

Bercakap mengenai drama tersebut, kata Fimie, drama 13 episod arahan sutradara Heykal Hanifah itu mengisahkan seorang kanak-kanak bernama Wadi yang sering didera oleh ibu tirinya selepas kematian bapa.

“Biarpun sering dipukul, Wadi tetap bersabar dan membiarkan dirinya diperlakukan sedemikian sehinggakan tidak diberi makan,” katanya yang memberitahu bergandingan bersama Syafie Naswip dan Ardell Aryana menerusi slot Zehra.

Previous Post Next Post