Along Cham Saya dah cuba berbaik


SETELAH lama mengambil langkah berdiam diri ekoran kontroversi bersama rakan seperjuangan, Azrul Zaidi, pelakon komedi, Along (Cham) kini tampil memberi penjelasan.

Along atau nama sebenarnya Muhamad Nizamudin Ahmad, 32 memberitahu, dia tidak mahu memberi maklum balas seperti orang lain di mana penjelasannya hanya akan mengeruhkan keadaan.

“Kita tak tahu di mana sebenarnya timbul pertikaian ini. Cerita yang sampai kepada saya lain, cerita sampai kepada dia juga lain.

“Jadi saya fikir kalau bertelagah seperti orang lain. hanya akan diketawakan, lebih baik saya mengambil langkah berdiam diri,” katanya kepada Zass ketika ditemui pada sidang media Super Spontan All Star, baru-baru ini.

Menurut Along, hubungan mereka dingin sejak berakhirnya pertandingan Raja Lawak musim kedua pada 2008 akibat beberapa salah faham yang tidak dapat diselesaikan.

Tambah Along, dia telah beberapa kali berusaha untuk menjernihkan hubungan mereka namun segalanya gagal.


“Saya cuba usaha untuk berbaik dengannya, tetapi ada sahaja laporan media yang melaporkan dia (Azrul) terkilan dengan saya dan saya pula tidak meminta maaf dengannya.

“Bagi saya, buat apa nak jawab perkara itu dan bagi saya juga tidak apalah, mungkin satu hari nanti kami akan bertemu dan berbaik semula,” katanya.

Bukan sengaja mahu membuka pekung di dada, Along berkata, ini adalah sebagai satu usahanya untuk menepis segala persepsi negatif masyarakat ke atas dirinya.

“Masing-masing sudah dewasa dan punyai kehidupan, apa yang penting perlu fikirkan yang terbaik untuk keluarga

“Setiap tawaran juga adalah rezeki masing-masing dan tidak sepatutnya menjadi pertikaian. Yang penting setiap apa yang saya lakukan tidak pernah sesekali abaikan isteri dan anak saya,” katanya.

Previous Post Next Post