BUKAN kali pertama terlibat dengan nyanyian berkonsepkan ketuhanan, penyanyi hebat, Anuar Zain akui berbesar hati dipilih untuk terlibat sama dalam persembahan konsert ‘Ku Mohon’ Tuhan Berikan Aku Cinta anjuran Islamic Relief Malaysia (IRM) yang bakal berlangsung pada 31 Oktober ini.
“Lebih kurang dua bulan lalu, saya ditawarkan untuk turut serta konsert ini dan Alhamdulillah, memang rezeki saya di sini memandangkan saya tidak ada komitmen lain pada tarikh yang diberikan pihak penganjur.
“Sebelum aktif menyanyi saya pernah terlibat dalam pertandingan nyanyian ketuhanan, cuma kali ini bezanya ia dipentaskan dengan skala lebih besar jadi ia tidaklah janggal untuk saya.
“Mungkin orang tidak perasan, lagu-lagu nyanyian saya sebelum banyak yang diinterpretasikan ke arah itu seperti Ketulusan Hati, Teman Terulung, Ajari Aku.
“Jadi ini adalah satu penghargaan yang besar buat saya,” ujarnya ketika ditemui pada majlis sidang media konsert ‘Ku Mohon’ Tuhan Beri Aku Cinta, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, penyanyi ‘Lelaki Ini’ memberitahu dia bakal menyampaikan tiga buah lagu termasuklah ‘Ketulusan Hati’.
“Untuk persembahan kali ini, saya tidak mahu terlalu ekstrem mengubah dari segi susunan lagunya kerana tidak mahu menimbulkan tanggapan negatif.
“Jadi ia akan menjadi seperti asal supaya ia lebih tenang dari segi susunan muzik bersesuaian dengan tema,” ujarnya.
Konsert ini dianjurkan sempena meraikan sambutan ulang tahun IRM yang ke 10 di samping mengumpul dana kemanusiaan bagi membantu penerima-penerima manfaat IRM di seluruh dunia.
Selain Anuar, barisan artis seperti Kumpulan Raihan, Akim & The Majistret, Opick, Ebiet G Ade, Zain Bikha dan Humood Al Khudeer turut membuat persembahan pada konsert tersebut.
Bimbang media sosial
Sempat meluahkan perasaan terhadap keadaan sekeliling, Anuar mengharapkan penglibatannya menerusi konsert itu bakal memberi manfaat buat masyarakat lebih-lebih lagi kepada mereka yang memerlukan.
“Kalau kita menyaksikan keadaan mereka yang memerlukan, secara automatiknya kita akan lebih muhasabah diri menjadi orang yang lebih baik.
“Lagi pun kita hidup bukan untuk diri sendiri sahaja tapi sebenarnya kita hidup perlu berkongsi kebahagiaan bersama orang lain. “Itu yang harus ditekankan buat masa ini kerana jika dilihat sejak wujudnya sosial media keadaan masyarakat kini dalam situasi yang sangat membimbangkan.
“Mana tidaknya, orang luar senang-senang meluahkan perasaan mereka terhadap orang lain dengan kata- kata yang tidak sepatutnya dan ini bagi saya sangat menakutkan. Mana perginya perasaan kasih sayang dan sifat keprihatinan terhadap orang lain?,” soalnya.
Sebagai seorang selebriti, Anuar akui dirinya juga tidak terlepas daripada menjadi mangsa daripada kesan negatif media sosial.
“Saya tidak terkecuali, setiap saat, setiap hari saya berdepan dengan perkara seperti itu selagi wujudnya media sosial.
Saya menyeru agar mereka ini muhasabah diri dan jangan ganggu kehidupan orang lain. Untuk tidak terlalu memikirkan situasi ini, saya sendiri tidak akan membaca komen-komen negatif itu dan ia juga tidak perlu kerana ia tidak akan berhenti.
Saya tidak memiliki media akaun media sosial bukan kerana takut, tapi mungkin ia akan mengurangkan dosa mereka yang memang sebegitu.
“Sebab itu saya berharap dengan berlangsungnya konsert ini kita dapat menyampaikan mesej seperti itu dan bukan semata-mata untuk mengumpul dana membantu mereka yang memerlukan,” luahnya.