MESKIPUN tidak kisah melakonkan adegan yang melibatkan aksi bersentuhan, aktres Izara Aishah bagaimanapun mempunyai pendirian tersendiri dalam memilih tawaran berlakon.
Masakan tidak, pelakon yang cukup dikenali dalam drama bersiri Vanila Coklat ini mengakui tidak akan menerima mana-mana tawaran berlakon yang menuntutnya untuk melakukan aksi ranjang mahupun berkemban sekalipun ditawarkan dengan bayaran lumayan.
Katanya, prinsip itu dipegang teguh sejak berkecimpung dalam bidang seni pada 2010.
"Sebagai pelakon, jujurnya, saya tak kisah perlu melakukan aksi bersentuhan dengan mana-mana pelakon lelaki tetapi jangan melampaui batas.
"Memang ada syarikat produksi yang tawarkan watak sebegitu pada saya, siap dengan bayaran tinggi.
"Tapi, saya menolaknya dengan tegas dan berbincang secara baik. Ini adalah pendirian saya dan saya tidak akan sesekali melakukannya," katanya kepada Zass.
Malah, pelakon berusia 23 tahun itu juga meminta agar pihak produksi peka dengan situasi serta tidak meminta seseorang pelakon melakonkan adegan-adegan yang tidak sepatutnya.
Jelasnya, terdapat pelbagai lagi cara untuk menyampaikan jalan cerita yang ingin dipertontonkan.
"Sebenarnya, saya lebih suka jika tak perlu melakukan sebarang aksi bersentuhan dengan pelakon lelaki.
"Untuk babak sebegitu, mungkin boleh dilihat daripada segi logiknya. Contohnya, babak di antara seorang ibu dan anak lelaki mungkin ada adegan yang memerlukan anak mencium ibunya atau sebaliknya.
"Tapi, saya pasti ada cara yang lebih baik untuk menghidupkan jalan cerita tanpa perlu melakukan adegan terlebih mesra," katanya.
Baru-baru ini, Lembaga Penapis Filem (LPF) mengeluarkan surat pekeliling yang tidak membenarkan adegan berunsurkan sensual, ghairah, khurafat, tahyul mahupun yang berbaur politik ekoran peka dengan rungutan orang ramai terhadap beberapa produk drama Melayu yang disifatkan sebagai terlalu ‘keterlaluan’ sekali gus menimbulkan perdebatan dalam kalangan penggiat industri.
Dalam perkembangan lain, bintang filem Pilot Cafe ini masih lagi bercuti daripada menjalani sebarang penggambaran sempena menyambut Ramadan dan Syawal serta mengambil kesempatan untuk meluangkan lebih masa dengan keluarga dan kenalan rapatnya.