Uqasha Senrose: Saya belum kuat



REALITINYA, semakin ramai artis wanita kini telah berhijrah dan sememangnya perkara itu disambut baik peminat.

Namun, ia tidak menjamin seseorang artis itu akan bebas daripada sebarang kontroversi.

Begitulah yang dialami pelakon cantik, Uqasha Senrose apabila imej dan perlakuannya dikritik segelintir peminat. Selain dikatakan berpakaian ketat, Uqasha atau nama sebenarnya, Nik Zaris Uqasha Nik Sen, 23, menerima kritikan hebat setelah videonya menari yang dikatakan mengghairahkan, tersebar di laman sosial.

Menyedari kontroversi yang sedang melandanya, Uqasha memberitahu, sebenarnya dia masih belum kuat untuk melalui fasa perubahan tersebut dengan sepenuhnya.

“Saya pakai tudung pun ia satu benda yang besar pada saya. Dalam hal imej ini, saya mahu buat secara perlahan.

“Saya tidak mampu mengubah segalanya secara drastik begitu sahaja, misalnya terus memakai jubah dan sebagainya.

“Imej bertudung ini, bukanlah kerana saya mengikut trend, tetapi ia satu yang datang secara mengejut dan perlukan masa berubah sepenuhnya,” katanya kepada Zass ketika ditemui pada sidang media Super Spontan All Star, baru-baru ini.

Mengulas mengenai aksinya dalam video yang tersebar, pelakon yang popular dalam drama komedi bersiri Strawberi dan Karipap ini nyata tidak mudah melatah.

“Saya menari begitu pun bukan melampau sangat pun dan saya rasa tidak keterlaluan. Saya buat apa yang saya seronok.

“Ketika itu saya baru selesai penggambaran pada waktu malam, jadi untuk mengelakkan keletihan dan moody bila penat, jadi ketika itu saya cuma nak seronok sahaja.

“Saya juga tidak kisah dengan kritikan orang lain apabila melihat video yang saya muat naik dalam Instagram, kerana saya hanya nak gembirakan hati saya.

“Memang susah nak puaskan hati semua orang, jadi saya tak kisah orang nak terima atau tidak apa saya lakukan,” katanya.


Hati belum terbuka

Mengulas pula mengenai kisah peribadinya, Uqasha berkata, setiap hubungannya dengan mana-mana lelaki kini hanyalah sekadar teman biasa.

“Tidak ada yang serius lagi. Namun saya pelik bila saya kawan sahaja dengan mana-mana lelaki, itu akan jadi isu. Saya tidak tahu kenapa.

“Namun sebagai selebriti, saya tidak tertekan dengan isu tersebut kerana kita tidak boleh elak pandangan orang lain.

“Apa yang penting saya mahu fokus pada kerjaya saya terlebih dahulu dan perniagaan tudung yang tidak lama lagi akan dilancarkan,” katanya.

Berkongsi pula mengenai penerimaannya sebagai salah seorang peserta dalam Super Spontan All Star yang bakal bersiaran secara langsung bermula 28 Ogos ini, Uqasha berkata, dia sangat teruja dapat menjayakan program tersebut.

“Setelah ditawar beberapa kali oleh pihak penerbit, akhirnya saya setuju untuk ikut permainan ini. Tambahan Super Spontan bukanlah memerlukan kita buat lawak, tetapi lakukan permainan secara spontan.

“Namun saya tetap rasa takut apabila perlu berhadapan dengan selebriti wanita yang pernah menyertai program ini dan lebih senior daripada saya dalam bidang ini.

“Apa persediaan yang saya lakukan sebelum menyertai siaran pertama adalah, melihat semula permainan dalam Super Spontan sebelum ini,” katanya.

Sebelum ini, Uqasha pernah menjadi artis jemputan dalam separuh akhir Super Spontan, yang turut berpeluang memainkan beberapa permainan, justeru memberikan pengalaman kepadanya untuk menyertai program tersebut.

Pun begitu, ia tidak bermakna imej lawak akan melekat pada dirinya setelah membintangi program komedi itu.

“Tetapi saya akui masih belajar dengan imej ini dan banyak tawaran saya dapat sekarang lebih kepada komedi.

“Dalam kehidupan normal saya juga, sebenarnya saya suka membuatkan orang lain gembira,” katanya.

Previous Post Next Post