SELEPAS 12 tahun, Nana kembali semula ke Akademi Fantasia sebagai pengacara Diari AF2015.
SEWAKTU program realiti Akademi Fantasia (AF) bersiaran buat pertama kalinya sekitar 12 tahun lalu, pelajar wanita yang menggelarkan dirinya sebagai Nana sering menjadi tumpuan penonton.
Bakat nyanyiannya sederhana. Keupayaan vokal wanita kelahiran Muar, Johor itu juga tidak terlalu istimewa. Namun, cara pembawakan diri dan keletahnya ketika berbicara membuatkan Nana terus meraih undian penonton untuk terus kekal dalam akademi.
Namun, nasibnya tidak secerah beberapa rakan seperjuangan yang lain. Akibat kurang mendapat undian menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS), perjalanan Nana atau nama lengkapnya, Nurul Hana Che Mahazan, 32, dalam AF terhenti pada minggu ketujuh.
Walaupun tersingkir di tengah jalan dan tidak mendapat sebarang tempat dalam pertandingan yang pernah mencipta fenomena itu, nama Nana tetap mekar berkembang dalam industri hiburan sehingga ke hari ini.
“Selepas tamat AF musim pertama, saya ditawarkan untuk bergelar penyampai di stesen radio terkemuka, Era FM. Pada masa sama, saya juga aktif menerima beberapa tawaran pengacaraan dan juga lakonan.
“Kerja sebagai penyampai radio dan pengacaraan tetap diteruskan walaupun saya sudah mendirikan rumah tangga dan menimang cahaya mata.
“Sehingga pada tahun 2011, saya mengambil keputusan untuk berhenti daripada meneruskan karier dalam dunia hiburan bagi membesarkan anak-anak,” jelas ibu kepada Althea, 5, dan Aaqib Raqeem Brian berusia setahun itu.
Namun, satu perkara yang harus diakui, sepanjang lima tahun berehat daripada industri, rezeki Nana tidak pernah putus.
Selepas bergelar duta kepada beberapa produk makanan, minuman dan kesihatan, Nana kini mampu tersenyum lebar apabila pihak Astro melamarnya untuk mengisi kerusi pengacara Diari Akademi Fantasia 2015 (Diari AF2015).
Diari AF2015
“Sejujurnya, saya tidak pernah mengimpikan untuk bergelar pengacara Diari AF2015. Apatah lagi, saya sering berasa kecil dan sedar ruang dengan keupayaan saya.
“Namun, selepas diteliti kembali, saya bersyukur kerana diberi kepercayaan oleh pihak Astro untuk mengendalikan sebuah rancangan yang sangat besar,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran AF2015 yang berlangsung di 1 First Avenue, Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
Akui pelakon filem Malaikat Maut itu, perasaan ragu-ragu pernah hinggap di benaknya tatkala mendapat panggilan pertama daripada pihak Astro mengenai tawaran tersebut.
“Saya menerima panggilan daripada Astro sebelum Ramadan. Pada awalnya, saya berasa sedikit ragu-ragu dan menganggap tawaran itu tidak serius.
“Namun, selepas diberitahu untuk menghadiri sidang akhbar ini, barulah saya sedar bahawa tugas saya sebagai pengacara diari adalah benar,” ujarnya sambil tertawa.
Bagaimanapun, Nana menyifatkan tugasnya sebagai pengacara program tersebut tidak bersandarkan pada bayaran semata-mata.
Katanya: “Saya menerima tawaran ini bukan sebab duit. Sebaliknya kerana nilai sentimental yang ada pada Akademi Fantasia.
“Tugasan ini merupakan kemunculan semula saya sebagai pengacara dan ia juga sebagai apresiasi untuk pihak Astro kerana memilih saya untuk menjadi sebahagian daripada keluarga AF2015,” katanya lagi.
Bercerita lanjut mengenai tugasnya itu, Nana berkata, dia akan memberi laporan harian berkenaan aktiviti dan perkembangan terkini para pelajar untuk dihebahkan kepada penonton.
Selain teruja, Nana turut berbangga kerana dapat sama-sama menyelami perasaan para pelajar ketika menuntut ilmu di akademi.
“Sebelum ini pun, saya pernah dipanggil untuk muncul dalam diari bagi memberikan nasihat dan berkongsi pengalaman bersama pelajar-pelajar junior.
“Bagaimanapun, kali ini saya akan merangkumkan apa yang para pelajar lalui sebagai pengacara,” ujar Nana lagi.
Disenangi
CERIA... Anak-anaknya, Althea dan Aaqib menjadi keutamaan Nana sebagai seorang ibu selepas berkahwin pada tahun 2009.
Jika dilihat daripada riak personalitinya, Nana cukup dikenali sebagai seorang individu yang penuh dengan aura positif.
Kehadirannya dalam acara-acara tertentu bukan sahaja disenangi ramai, malah mampu membunga senyuman pada wajah setiap individu yang berpeluang berbual dengannya.
Mengakui tidak mempunyai sebarang formula untuk kekal disenangi dalam industri, Nana berpendapat, cara paling mudah untuk kekal relevan adalah dengan cuba menjadi diri sendiri.
“Saya tidak mempunyai cara tertentu untuk terus kekal dan diingati oleh khalayak. Apa yang saya lakukan adalah menjadi diri sendiri.
“Lagipun, sejak ada Instagram, saya sering berkongsi dengan peminat tentang rutin harian saya. Di Instagram, mereka tahu yang saya juga memasak, mengemas rumah dan perlu menguruskan rumah tangga.
“Mungkin disebabkan perkara-perkara itu, mereka berasa dekat dengan saya,” katanya yang kurang bersetuju dengan sebilangan selebriti yang terlalu menjadi diri sendiri sehingga menyebabkan tercetusnya kontroversi.
Tambah Nana, apa yang paling penting adalah niat dan tujuan sepanjang membina nama sebagai seorang selebriti.
“Sejujurnya, kita kena sedar tujuan utama masuk dalam industri. Jika benar-benar mahu mencari rezeki dengan bakat yang kita ada, insya-Allah, segalanya akan berjalan dengan baik,” katanya.
Keluarga
Selepas mendirikan rumah tangga bersama suaminya, Mohamed Raqeem Brian pada Jun 2009, keutamaan dan rutin harian Nana terletak pada suami dan anak-anak.
Walaupun kembali sibuk dengan rakaman Diari AF2015, Nana tetap akan memastikan keluarganya berada dalam keadaan sempurna.
“Kami baru sahaja mengambil seorang pembantu untuk menguruskan rumah sepanjang ketiadaan saya kelak.
“Namun, saya masih meminta bantuan ibu saya untuk menguruskan anak-anak ketika sibuk dengan rakaman.
“Sejak dahulu lagi, jika saya ingin keluar bekerja, saya akan menjemput ibu yang tinggal di Muar, Johor untuk menjaga Althea dan Aaqib di sini,” katanya menutup bicara.