Elfira Loy hebat di dapur?



SEJAK mengorak langkah melebarkan sayapnya dalam bidang usahawan, dengan membuka sendiri kafe yang diberi nama Lovemesevendayscafe, pelakon manis, Elfira Loy mengakui yang ada kalanya dia sendiri akan ke dapur kafenya itu untuk memasak.

Bukan mahu mendabik dada yang dirinya pandai memasak, tetapi Elfira atau nama sebenarnya Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri akan memasak menu yang memang disukainya.

“Mahu kata pandai memasak itu, tidaklah, tetapi saya hanya tahu masak apa yang saya suka, dan apa pelanggan pesan, saya akan masak sendiri.

“Antara menu yang saya tahu buat sendiri ialah sabsuka dan beberapa lagi menu Melayu serta Barat,” katanya kepada Zass ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Aidilfitri, Media Prima, baru-baru ini.


Tambah Elfira, dia perlu juga memasak sendiri kerana kafenya yang terletak di Alam Damai Cheras, belum lagi dibuka secara rasmi ketika ini dan masih dalam minggu percubaan.

“Oleh itu, saya agak sibuk menguruskan kafe yang baru dibuka ini. InsyaALLAH dalam masa terdekat barulah akan dibuka secara rasmi.

“Walaupun baru dibuka untuk percubaan, kafe saya yang berdekatan dengan banyak bank, sudah punyai pelanggan tetap. Alhamdulillah setakat ini semua baik,” katanya.

Dalam kesibukan menguruskan kafenya itu, pelakon berusia 21 tahun ini juga tetap memberikan fokus kepada pengajiannya dalam pengajian Diploma yang sudah mahu habis penghujung tahun ini do Kolej Universiti KDU.

“InsyaALLAH tahun ini semester terakhir saya, walaupun sebelum ini ada tertangguh dua semester, tetapi saya dapat cover balik subjek itu dengan mengambil subjek yang banyak pada semester seterusnya.

“Justeru disebabkan perlu fokus pada pelajaran, bidang lakonan terpaksa saya berehat seketika dan menolak sebarang tawaran untuk berlakon ketika ini,” katanya.

Sejak berhijab juga, nampaknya rezeki Elfira lebih menonjol dalam bidang pengacaraan berbanding lakonan, mungkin kerana selesa dengan imej bertudungnya.

Tetapi jelas Elfira, sebenarnya dia lebih meminati program yang lebih santai dan mengacara program berunsur pengembaraan.

“Saya suka buat travel show atau benda lebih santai, itu minat saya. Pengacaraan lebih serius belum lagi, kerana ia memerlukan lebih pengetahuan,” katanya.

Previous Post Next Post