MELIHAT perkembangan industri kini, boleh dikatakan semakin ramai artis wanita berhijrah dengan penampilan bertudung.
Biarpun ia adalah sesuatu yang baik, namun ada juga segelintir peminat berpendapat perubahan sesetengah artis itu hanyalah dek kerana mengikut ‘trend’ semasa.
Memiliki pandangan yang berbeza, pengacara dan pelakon Irma Hasmie bagaimanapun melihat perkara itu sebagai satu perkara yang positif.
“Ramai yang kata, artis wanita bertudung ikut trend. Tapi bagi saya tak salah jika mereka ikut trend sebab itu ke arah yang baik dan selagi tidak melanggar ajaran Islam.
“Jangan cepat sangat mengkritik. Sepatutnya kita perlu beri mereka ruang dan tak semua orang ada ilmu sepenuhnya berkaitan bagaimana mahu menutup aurat dengan cara yang betul.
“Bagi mereka selesa untuk berubah dan memang perlukan masa, sebagai umat Islam kita seharusnya memberi galakan kepada mereka bukannya beri tekanan.
“Dalam masa yang sama, kita cuba menegur atau menasihati dengan cara yang baik jika ada yang perlu diperbaiki. Jangan kritik sebab itu hanya akan melemahkan semangat mereka,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Pada masa yang sama, Irma turut menasihatkan rakan artis lain supaya tidak perlu takut dengan rezeki untuk berubah ke arah kebaikan.
“Dari segi tawaran lakonan, kita tidak perlu takut. Sebaliknya kita harus berfikir siapa yang harus kita takutkan.
“Ia bergantung pada keberanian kita untuk menegakkan sesuatu dan berpegang pada matlamat asal untuk berubah.
“Sebenarnya bila kita ikut apa yang ALLAH suruh, lagi banyak kebaikan yang akan kita terima.
“Seperti saya sendiri, mungkin bidang lakonan tidak menyebelahi saya tapi cabang baharu dalam pengacaraan pula yang datang,” katanya sambil tersenyum manis.
Dalam perkembangan terbaharu, selain memberi fokus pada keluarga, Irma bakal muncul dalam program Kerja Kahwin sebagai pengacara yang akan disiarkan sekitar September ini menerusi Astro Prima.