Emelda Rosemila kini mengorak langkah sebagai seorang pereka fesyen profesional.
SEBELUM menyaksikan koleksi busana sedia pakai rekaannya, Emelda Rose digayakan penuh megah oleh barisan peragawati di pentas peragaan Minggu Fesyen Kuala Lumpur 2015 (KLFW) yang berlangsung di Pavilion, Kuala Lumpur baru-baru ini, kelopak jiwa pelakon Emelda Rosemila mula mekar disimbah rasa teruja.
Dari belakang pentas, matanya ligat memeriksa setiap perincian pakaian yang telah disarungkan ke tubuh peragawati. Gusar hatinya jika ada bahagian busana yang perlu diperkemaskan pada saat-saat akhir.
Sebaik sahaja muzik dimainkan dan peragawati mula mengayunkan langkah pertama, Emelda menarik nafas dalam-dalam. Sambil menahan debar, fikirannya ligat menerawang, membayangkan reaksi penonton terhadap koleksi busana sulung rekaannya.
“Saya berasa sungguh gembira kerana pertunjukan fesyen pertama ini berjalan dengan lancar. Alhamdulillah, apa yang saya usahakan selama tiga bulan telah membuahkan hasil,” ujar Emelda sambil menghela nafas lega.
Banyak yang dikongsikan oleh isteri Adlin Aman Ramlie itu sewaktu berpeluang bertemu dengannya sebaik sahaja pertunjukan tersebut selesai.
Pemilik nama sebenar, Emelda Rosemila Abdul Hamid itu berkata, dia menerima panggilan daripada pihak penganjur, Andrew Models untuk datang ke sesi pembentangan selepas menghantar permintaan untuk menyertai KLFW2015 menerusi kiriman e-mel beberapa bulan lalu.
Walaupun berstatus selebriti, wanita yang berusia 35 tahun itu masih perlu melalui proses pemilihan yang telah ditetapkan oleh pihak penganjur sama seperti pereka fesyen lain.
Uji bakat
“Mereka menilai koleksi-koleksi lama saya menerusi e-mel. Selepas berpuas hati, barulah saya mendapat jemputan untuk hadir ke sesi temu duga.
“Pada hari berkenaan, mereka tidak memberitahu apa yang perlu dibawa ke sesi tersebut selain lakaran koleksi. Atas inisiatif sendiri, saya menghasilkan sebuah papan cerita untuk dipersembahkan bersama lakaran saya. Ternyata, mereka gembira dengan persediaan yang telah saya lakukan,” jelas Emelda yang mendapat jemputan untuk menyertai KLFW2015 pada hari yang sama temu duga tersebut dijalankan.
Bercerita lanjut mengenai pembabitannya dalam bidang fesyen, Emelda berkata, ia bermula apabila dia mengeluarkan koleksi hari raya sempena Hari Raya Aidilfitri sekitar tiga tahun lalu.
Pada ketika itu, dia tidak menyangka sambutan yang diterima amat menggalakkan. Jelas Emelda, maklum balas positif daripada pelanggan telah banyak memberi motivasi kepadanya untuk terus melebarkan sayap dalam bidang fesyen.
“Saya merupakan seorang yang tidak tetap pendirian. Selain berlakon, banyak perkara yang saya lakukan tidak kekal lama. Namun, selepas berjinak dalam dunia perniagaan fesyen dan menerima sambutan yang baik, saya fikir ini adalah jalan terbaik untuk saya.
“Sementelah, dengan penglibatan dalam KLFW2015, saya mahu ia berterusan dan bukan habis di sini sahaja,” jelasnya panjang lebar.
Dorongan suami
Pernah bergelar pereka grafik di sebuah syarikat pengurusan majlis sekitar 14 tahun lalu, Emelda menjadikan pengalamannya itu sebagai salah satu kelebihan dalam menghasilkan koleksi busana.
Ujar Emelda, pengalaman yang ditimba sebagai pereka grafik banyak membantu, lebih-lebih lagi dalam soal pemilihan warna fabrik.
Adlin menjadi suami yang menyokong penuh impian Emelda menjadi pereka fesyen.
“Saya menggunakan perisian Adobe Illustrator untuk menghasilkan kombinasi warna. Selain itu, saya juga terlibat dalam menghasilkan siaran akhbar untuk pertunjukan hari ini dan beberapa perkara lain yang melibatkan rekaan grafik.
“Jika tidak terlibat sepenuhnya, saya akan pastikan setiap rekaan yang dihasilkan oleh pereka grafik mengikut piawaian yang telah ditetapkan,” jelas Emelda lagi.
Ditanya mengenai sokongan Adlin dalam merealisasikan koleksi sulungnya, Emelda berkata, pelakon yang popular menerusi teater muzikal Puteri Gunung Ledang itu banyak memberikan pandangan dan nasihat terhadap setiap rekaan yang dihasilkan.
“Jika saya lebih mahir dari segi permainan warna dan campuran corak secara digital, Adlin pula berperanan sebagai penasihat dari segi teknikal.
“Dia berpengalaman dalam penghasilan kostum untuk pementasan teater. Jadi, sudah tentu dia lebih arif dalam menentukan susun letak beberapa bahagian perincian pada pakaian,” jelasnya.
Tambah pelakon drama bersiri Manjalara itu, Adlin turut menasihatinya supaya mengikuti kursus rekaan secara profesional bagi memperkukuhkan lagi kemahiran menjahit yang ada padanya.
“Sebelum menyertai KLFW2015, saya terlebih dahulu belajar menjahit secara intensif daripada seorang tukang jahit berbangsa Cina.
“Jadi, bagi memperkukuhkan kemahiran menjahit, Adlin menggalakkan saya untuk pergi ke kelas dan belajar secara profesional,” jelasnya yang menyifatkan asas menjahit merupakan satu keperluan penting bagi setiap pereka fesyen.
Kritikan
Sebelum KLFW2015 bermula, seorang individu yang berpengaruh dalam bidang fesyen telah mengeluarkan kenyataan berbaur sindiran mengenai penyertaan golongan selebriti dalam minggu fesyen tahun ini.
Menerusi kemas kini di Facebooknya, individu itu berkata, KLFW2015 pada tahun ini akan menyaksikan kelahiran pereka-pereka segera yang tidak mempunyai latar belakang dalam bidang fesyen.
Walaupun mengakui agak terkesan dengan kritikan tersebut, Emelda berkata, dia percaya bahawa pemilihan yang dibuat oleh Andrew Models dalam menyenaraikan Emelda Rose untuk diperagakan di KLFW2015 bukan satu kesilapan.
“Setahu saya, pihak penganjur tidak akan memalukan diri sendiri dengan memanggil pereka fesyen yang tidak bertauliah untuk menyertai KLFW2015.
“Saya juga tidak tahu kenapa individu itu terganggu dengan perkara ini (pemilihan selebriti sebagai pereka dalam KLFW2015). Pihak penganjur sendiri memilih saya menerusi proses temu duga. Mereka tidak akan mengambil pereka fesyen secara semberono tanpa memikirkan kesannya pada jangka masa panjang,” jelas Emelda dengan nada kesal.
Namun, jujur Emelda memberitahu, pernah terdetik dalam kotak fikirannya bahawa perkara sedemikian pasti akan berlaku. Katanya: “Saya sudah boleh agak bakal menerima kritikan.
“Namun, sudah menjadi adat, apa sahaja perkara yang dilakukan oleh selebriti, pasti menjadi bualan. Namun, saya tidak pedulikan semua itu.
“Jika ada yang mengatakan saya terjun ke dalam bidang ini semata-mata mahu dikenali, sejujurnya, saya sudah merasai perkara itu ketika masih bergelar pelakon tidak lama dahulu.”
Lakonan
Bercakap mengenai karier lakonannya, Emelda berkata, dia terpaksa ‘melupakan’ bidang yang menaikkan namanya itu buat seketika bagi memberi ruang kepada fokus baharunya sebagai pereka fesyen.
Katanya, bidang yang penuh dengan warna-warni itu lebih dekat dengan jiwanya sebagai seorang wanita dan pencinta seni.
“Apabila duduk berfikir untuk jangka masa panjang, saya tidak melihat diri akan terus bergelar pelakon sehingga ke hari tua.
“Jadi, saya memilih untuk menceburi dunia fesyen dan cuba untuk mengembangkan bidang ini dengan idea dan konsep baharu pada masa akan datang,” katanya yang merancang untuk membuka sebuah butik suatu hari nanti.