Cheryl Samad atur rentak kembali aktif


CHERLY bahagia mengharungi bahtera perkahwinan bersama Ng Ping Ho dan anak mereka, Stella.

Petah berbicara dan tidak pernah canggung sewaktu mengacarakan apa sahaja majlis terutama dalam dunia hiburan, pengacara kecil molek, Cheryl Samad masih lagi diingati walaupun lebih 20 tahun menceburkan diri dalam industri seni.

Jika dahulu wajahnya kerap muncul mengacarakan pelbagai program televisyen dan membintangi drama, kini ceritera perjalanan kerjaya seninya kurang mendapat liputan media massa.

Biarpun kelihatan sepi daripada arus perdana, aura Cheryl seakan tidak pernah padam. Malah, nama dan telatahnya tetap diingati peminat sehingga ke hari ini.

Berpeluang bertemu dengan pemilik nama Cheryl Marina Samad, jelas wanita itu masih kekal seperti dahulu namun yang membezakannya hanyalah status isteri kepada Ng Ping Ho dan ibu kepada Stella Ng, 2.

Merancang untuk kembali menyusun semula rentak dalam industri, Cheryl, 36, turut rancak berkongsi cerita tentang rutin hariannya menguruskan Lokl Cafe yang mula beroperasi sejak tiga tahun lalu, anak dan kerjaya.


Artis Meletop!: Apakah perkembangan kerjaya anda sekarang?

CHERYL: Alhamdulillah semuanya berada dalam keadaan baik. Kerjaya masih berlangsung seperti biasa. Hampir setiap minggu ada mengacara majlis. Namun disebabkan kurang mendapat perhatian media selain kurang muncul di kaca televisyen, mungkin ramai beranggapan saya tidak lagi aktif. Ironinya, saya masih gigih bekerja (ketawa).

Selain daripada fokus pada kerjaya apa lagi yang anda lakukan?

Menggalas tanggungjawab sebagai isteri dan ibu. Disebabkan tidak mempunyai pembantu, segala urusan mengenai anak (Stella) diuruskan sendiri. Selalunya pada setiap pagi, selepas menghantar anak ke sekolah, saya akan ke kafe untuk memantau jika terdapat masalah.

Jika sebelum ini kerap muncul dalam beberapa drama bersiri tetapi sekarang kerjaya lakonan anda dilihat tidak serancak dahulu, mengapa?

Pastinya rasa untuk berlakon itu masih ada namun ia harus dipertimbangkan agar tidak mengganggu jadual mengacara majlis dan tanggungjawab saya sebagai ibu. Sejujurnya, setelah bergelar ibu saya agak sukar untuk meninggalkan Stella untuk tempoh yang panjang. Tawaran berlakon itu ada namun kebanyakannya memerlukan komitmen waktu yang agak lama sehingga beberapa minggu. Tidak mungkin saya akan membawa Stella bersama ke set penggambaran memandangkan usianya masih kecil. Pasti akan mengundang rasa tidak selesa serta mengganggu kerja banyak pihak.

Mengapa tidak ambil pembantu?

Saya lebih selesa membesarkan anak sendiri daripada membiarkan dia berada di bawah jagaan individu luar. Sejak Stella dilahirkan saya sememangnya telah menanam azam untuk menguruskan dia sendiri. Meskipun ibu sering menawarkan diri untuk menjaga Stella, saya tetap ingin menjaganya sendiri kerana tidak ingin membebankan ibu kerana Stella seorang anak yang sangat aktif (ketawa). Sementelah, sewaktu ibu membesarkan saya tanpa bantuan orang luar jadi mengapa saya ingin mengambil pembantu untuk menjaga Stella sekali gus dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan.

Memandangkan anda tidak mempunyai pembantu rumah, bagaimanakah pembahagian masa antara menguruskan kafe dan dalam masa sama sibuk menjalankan tanggungjawab sebagai isteri serta ibu?

Pengurusan masa itu penting. Setiap hari saya akan bangun seawal enam pagi untuk memastikan segala keperluan suami dan anak tersedia. Soal penjagaan Stella pula, Alhamdulillah suami sangat memahami dan disebabkan jadual kerjanya yang fleksibel dia akan mengambil alih tugas. Namun jika kedua-duanya sibuk, kami akan menghantar Stella ke rumah ibu saya di Seremban, Negeri Sembilan.

Menyentuh soal kerjaya, tidakkah anda berasa rindu untuk kembali bergiat aktif dalam bidang pengacaraan dan lakonan?

Saya mensasarkan tahun ini untuk kembali aktif menerima tawaran dalam bidang pengacaraan kerana sebelum ini terdapat beberapa tawaran terpaksa ditolak kerana usia Stella masih kecil. Begitu juga dengan kerjaya lakonan, jika terdapat tawaran naskhah yang menarik dan bersesuaian, Insya-Allah saya akan pertimbangkan.

Previous Post Next Post