Istiqamah Zizie Ezette


ZIZIE bersama anak angkatnya, Naila Nurjannah.

AGAK lama tidak mendengar cerita tentang aktres putih melepak Zizie Ezette, 36, selepas mendirikan rumah tangga dengan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin pada tahun 2009.

Kali terakhir kelibatnya muncul dalam majlis hiburan sewaktu majlis Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2014 (ABPBH 2014) sekitar April lalu.

Biarpun sudah tidak aktif berlakon, Zizie tetap menjadi perhatian pihak media. Sementelah, baru-baru ini beliau dilihat muncul dengan penampilan berhijab selepas pulang daripada menunaikan umrah Ramadan lalu.

Kini bahagia menetap bersama suaminya, di Sabah, Zizie yang dihubungi Kosmo! memberitahu banyak perkara yang telah berubah dalam hidupnya terutama selepas memutuskan untuk memikul tanggungjawab sebagai isteri kepada ahli politik tersebut.


Artis Meletop!: Apa khabar Zizie? Lama tidak mendengar berita tentang hal peribadi mahupun perkembangan seni anda. Bagaimana kehidupan sekarang?

ZIZIE: Alhamdulillah, saya berada dalam keadaan baik-baik sahaja. Saya bukan apa, sejak menggalas tugas sebagai seorang isteri, suami menjadi keutamaan bagi saya. Saya tidak pernah merajuk dengan bidang lakonan. Saya sangat bersyukur kerana kehidupan saya kini lebih bahagia.

Difahamkan anda dan suami telah mengambil anak angkat, boleh ceritakan sedikit tentang hal itu?

Ya, benar. Namanya Naila Nurjannah. Baru berusia tujuh bulan. Dia (anak) bukan orang lain dengan kami, sebaliknya mempunyai pertalian darah pada sebelah suami. Kami mengambil Naila sebagai anak angkat secara rasmi pada 21 Julai lalu.

Saya berasa sangat bersyukur kerana sebelum ini saya telah berusaha untuk mengambil anak angkat namun tidak menjadi kenyataan. Selepas kembali daripada mengerjakan umrah tempoh hari, saya berasa lebih ceria dan tenang. Saya juga dapat merasakan satu sinar baharu dalam hidup akan singgah dalam hidup saya. Tidak sangka ia (sinar baharu) itu ialah Naila. Alhamdulillah.

Tidak pernah ada pengalaman sebagai seorang ibu, bagaimana anda melihat kehadiran Naila dalam kehidupan sekarang? Ada rasa kekok atau tidak biasa menguruskan bayi?

Saya beranggapan ini semua adalah kuasa Tuhan. Sejujurnya, sebelum ini saya banyak berdoa agar dikurniakan seorang anak. Alhamdulillah, walaupun Naila bukan anak kandung saya, dia telah merubah pandangan saya tentang hidup. Dia memberi saya kesedaran untuk terus berjuang dalam hidup dan menjadi individu yang lebih baik. Saya tidak pernah berasa kekok atau terbeban dengan kehadiran Naila. Malah, dialah penyeri kepada hidup kami berdua sekarang.

Boleh ceritakan pengalaman menjaga dan menguruskan Naila setakat ini?

Alhamdulillah. Saya berasa teruja menguruskan Naila setakat ini. Saya dan suami memberi komitmen seratus peratus untuk memastikan dia berada dalam keadaan yang terbaik. Banyak perkara baharu yang saya belajar sejak mengambil dia sebagai anak angkat. Jujur saya katakan, saya begitu bersemangat dengan kehadiran dia dalam kehidupan saya dan suami. Saya juga bertuah kerana Naila bukan bayi yang suka meragam. Saya sedang belajar perlahan-lahan untuk menjadi ibu yang baik buat Naila.

Apakah perancangan masa hadapan untuk Naila? Adakah anda mempunyai niat untuk menambah bilangan anak angkat?

Saya akan menyayangi Naila seperti anak kandung sendiri. Saya akan berikan dia pendidikan dan ilmu agama secukupnya agar dia menjadi orang yang berguna pada masa hadapan. Bercakap soal tambah bilangan anak angkat, saya memang mahukan anak yang ramai (ketawa). Saya sebenarnya rasa terpanggil untuk membantu golongan yang tidak berkemampuan. Kalau ada rezeki, apa salahnya. Saya akan cuba sedaya upaya untuk memberi pertolongan kepada mereka yang memerlukan. Saya rasa itu adalah tanggungjawab saya sebagai seorang khalifah Allah di muka bumi ini.

Boleh ceritakan sedikit mengenai keputusan anda berhijrah dan berhijab?

Buat masa ini saya cuba untuk menjadi hamba Allah yang lebih baik. Sekarang, inilah imej saya (berhijab). Doakan agar usaha saya untuk menjadi wanita yang bergerak ke jalan yang lebih diredai, berterusan dan mendapat keberkatan daripada-Nya. Sebenarnya saya tidak merancang untuk berhijab. Bagaimanapun selepas pulang daripada mengerjakan umrah baru-baru ini, ada satu perasaan lain menerpa. Saya berasa tidak selesa untuk keluar rumah tanpa menutup kepala. Saya berharap usaha ini bersifat istiqamah, bukan sementara.

Bagaimanakah penerimaan suami dengan perubahan imej anda sekarang?

Alhamdulillah, dia gembira dan berbangga dengan perubahan yang saya lakukan ini. Tiada lain yang diharapkannya melainkan imej baharu ini kekal untuk selama-lamanya.

Bercakap soal kerjaya sebagai seorang pelakon, tidakkah anda rindu untuk kembali memeriahkan industri seni seperti dahulu?

Tipu kalau cakap saya tidak rindukan bidang lakonan yang suatu ketika dahulu pernah menjadi punca rezeki utama dalam hidup saya. Cuma sekarang, saya rasa bukanlah waktu yang tepat untuk masuk semula ke dalam industri. Saya perlu melakukan persediaan dari segi mental dan fizikal untuk kembali aktif.

Terus-terang saya katakan, persediaan utama yang perlu dilakukan ialah dari segi fizikal. Saya perasan apabila melihat gambar sendiri, ia kelihatan besar dan saya perlu lakukan sesuatu untuk mengecilkan saiz badan. Sebab itu saya banyak melakukan aktiviti senaman di gimnasium dan berdiet.

Previous Post Next Post