Penerbit Eksekutif, Red Comunication Sdn Bhd, Lina Tan berjaya pulih daripada penyakit kanser payudara yang dihidapinya pada tahun 2013 hanya melalui rawatan kemoterapi.
"Saya sudah sihat dan sembuh daripada penyakit kanser payudara yang saya hadapi dua tahun lalu. Saya bersyukur kerana kanser yang saya hadapi itu pada tahap dua.
"Pada tahap itu boleh dikatakan masih awal dan boleh diubati melalui cara rawatan kemoterapi sahaja tidak perlu jalani sebarang pembedahan," ujarnya kepada mStar Online.
Lina, 49, berkata, pengalaman melalui detik-detik bertarung dengan penyakit tersebut banyak memberi pengajaran kepadanya
Lina bersama pelakon Nur Fazura yang berlakon dalam filem terbitannya berjudul Kami Histeri dan Manisnya Cinta di Cappadocia.
Lina diminta mengulas perkembangan penyakit kanser payudara yang dihadapinya pada tahun 2013.
Dalam pada itu, Lina berkata, dia kini menitikberatkan soal pemakanan yang membantunya mengatasi penyakit tersebut daripada terus merebak selain mengamalkan gaya hidup sihat.
"Sejak bebas daripada penyakit ini saya banyak menjalani kehidupan yang sihat dan sering bergembira. Paling penting ialah kurangkan stress dan perkara yang membuatkan kita tertekan seperti terlalu fikir soal kerja.
"Malah saya juga menghindari kesesakan lalu lintas kerana tidak mahu berada dalam keadaan tertekan. Selain itu juga, paling penting pemakanan, saya banyak kurangkan pengambilan karbohidrat tetapi utamakan pengambilan sayur-sayuran dan jus," ujarnya.
Lina berkata, dia juga banyak menghabiskan masa melakukan aktiviti riadah bersama keluarga pada hujung minggu.
"Dulu saya akui terlalu sibuk dengan kerja tapi sekarang saya sangat menghargai kehidupan bersama keluarga dan menikmati hidup tanpa tekanan," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, dua filem terbitannya iaitu Kami Histeria dan Manisnya Cinta Di Cappadocia tercalon dalam Festival Filem Malaysia ke 27 (FFM-27) pada 5 September depan.
Tambah Lina, biarpun jarang menghasilkan filem seperti produksi lain, namun setiap filem yang dihasilkan pasti mempunyai kualiti terbaik.
"Sudah tentu saya gembira kerana tercalon kira-kira 16 kategori untuk dua filem itu. Saya anggap ia adalah penghargaan kepada kru-kru yang penat bekerja menjayakan filem ini.
"Kedua-dua filem ini ada kekuatan dan saya serahkan kepada juri untuk menilai filem terbaik bagi mereka," ujarnya.