Rafiena Ezanee
SEORANG penerbit dan pelakon, Datuk Rafiena Ezanee Ramli sah bercerai talak satu secara taklik dengan suaminya, Mazlan Abd Hamid di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam hari ini.
Hakim, Muhamad Hisham Zakaria, membuat keputusan itu mengikut Seksyen 57 Enakmen Undang- Undang Keluarga Islam Selangor 2003 selepas berpuas hati dengan pengakuan pelanggaran lafaz taklik oleh Mazlan dan permohonan plaintif, Rafiena,
Terdahulu, peguam syarie, Musa Awang yang mewakili Rafiena, memaklumkan anak guamnya memohon agar prosiding berjalan secara tertutup.
Muhamad Hisham bagaimana pun, menolak permohonan itu dan membenarkan media berada di galeri awam.
“Apa alasan yang membolehkan saya halau mereka?
“Kes Anwar Ibrahim yang berprofile tinggi itu pun berjalan secara terbuka, jadi saya benarkan mereka (wartawan) berada di belakang,” katanya.
Rafiena kemudiannya bangun menuju ke galeri awam dan meminta wartawan meninggalkan prosiding tersebut, namun pihak media tidak berganjak selepas dibenarkan oleh hakim.
Pada prosiding itu, defendan, Mazlan memaklumkan ingin menukarkan pengakuan yang dibuat sebelum ini.
“Saya mengaku bercerita dan mengaibkan mengenai isteri di hadapan keluarga,” katanya.
Menurutnya, lafaz taklik dibuat pada 3 Julai 2013.
“Namun saya lupa tarikh pelanggaran taklik. Ia dilakukan selepas tarikh lafaz taklik dibuat itu,” katanya.
Rafiena, 33, berkahwin dengan Mazlan, 53, pada 10 Januari 2011 dan dikurniakan dua cahaya mata.
Pelakon drama perempuan dalam pasungan memfailkan penceraian itu sekitar Julai lalu di sini.