Lembaran baharu Amar Baharin, Amyra Rosli


Amyra dan Amar baru setahun jagung bergelar pelakon.

BAGI peminat yang mengikuti perkembangan karier seni pasangan popular, Amar Baharin dan Amyra Rosli pasti tahu tahap kualiti lakonan mereka.

Tambahan pula, dengan personaliti menarik yang dimiliki membuatkan pasangan sama cantik sama padan ini semakin dikenali dalam industri ini meskipun baharu setahun jagung bergelar pelakon.

Tidak sekadar menjadi pelakon drama televisyen (TV), sebaliknya kedua-duanya kini mencuba untuk mengukir nama di pentas yang lebih mencabar karier.

Dek kerana itu, apabila produksi CTRA Production hadir memberikan tawaran untuk mereka menerajui teater Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck bersama produksi itu, kedua-duanya tidak melepaskan peluang keemasan tersebut.

Malah, baik Amar mahupun Amyra terima dengan hati terbuka dan menganggapnya sebagai lembaran baharu mereka dalam bidang ini.

Mula mencipta nama melalui program pencarian bakat Anak Wayang, Amar mengakui tidak mudah untuk bergelar pelakon teater.

Meskipun mempunyai pengalaman sebagai pelakon TV, Amar tidak memandang remeh apatah lagi apabila tawaran diterimanya bukanlah karya picisan.


"Saya diberi kepercayaan memegang watak utama sebagai Zainudin dan ia merupakan satu penghargaan besar buat saya.

"Walaupun ini bukan kali pertama terlibat dalam lakonan teater, ia bukan jalan mudah untuk menjadi Zainudin di mata penonton.

"Lagipun karya ini baharu sahaja difilemkan, jadi penonton yang sudah menyaksikan filem tersebut pastinya meletak harapan tinggi kepada saya," katanya yang pernah terlibat dalam sebuah teater Akulah yang dipentaskan di Esplanade, Singapura.

Menjadi graduan dalam jurusan seni teater di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Amyra beranggapan ia masih belum cukup untuk membuktikan kemampuannya dalam bidang itu.

"Ini adalah pengalaman pertama saya terlibat dalam pementasan teater berskala besar.

"Pastinya, ia merupakan satu cabaran besar buat saya, tapi saya tidak mahu mensia-siakannya.

Lagipun, bukan semua orang berpeluang seperti ini.

"Sebenarnya, walau apa pun tawaran yang saya terima, saya akan lakukan sehabis mungkin supaya tidak mengecewakan produksi dan peminat,” katanya yang akan memegang watak sebagai Khadijah dalam teater tersebut.


Selesa bersama

Dek terlalu kerap digandingkan bersama, baik Amar mahupun Amyra mengambil pendekatan untuk mengkaji setiap watak yang bakal dibawakannya.

Ini kerana, kedua-dua pelakon meningkat naik ini berpendapat, pendekatan itu diambil bagi mengelakkan rasa bosan peminat ketika menonton lakonan mereka.

"Sukar juga apabila terlalu kerap berlakon bersama. Tambahan pula, tanggungjawabnya sangat berat.

"Sebab itu, kami sering kali berbincang dan melakukan sedikit kajian terutama mengenai karakter mahupun jalan cerita. Itu bermakna, kami akan pilih watak-watak tertentu untuk diketengahkan.

"Biar ada pelbagai watak sebab takut peminat bosan ekoran selalu bawa watak yang lebih kurang sama,” katanya Amar sambil dipersetujui Amyra.

Pasangan sama cantik sama padan ini telah digandingkan dalam lima drama TV iaitu Dalam Dakapan Bidadari, Kristal Maya, Kalimah Jiwa, Suamiku Encik Sotong dan terbaharu, Cik Bunga Encik Sombong.

Selepas ini, pasangan ini bakal bekerjasama sekali lagi dalam penggambaran telefilem Pengantin Tiga Jam.

Terbaharu, pasangan popular ini bakal mencipta sejarah tersendiri apabila bakal bergandingan dalam teater Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck bermula 12 hingga 18 Oktober ini di Panggung Sari, Istana Budaya.


Peluang kembangkan kerjaya: Amar

Bercerita lanjut mengenai tawaran berkenaan, kata pelakon kelahiran Kajang ini, dia bukanlah sengaja menerima tawaran tersebut, sebaliknya menganggap ia sebagai rezeki untuk mengembangkan kerjaya pada sudut berbeza.

"Sebenarnya, saya sudah lama menunggu tawaran seumpama ini, jadi apabila ia datang, saya memang tidak akan sesekali menolak.

"Apatah lagi diberi kepercayaan memainkan peranan utama. Jadi, meskipun latihan belum dimulakan, saya sudah membuat kajian sendiri mengenai watak tersebut," katanya.

Akuinya, dia banyak menonton karya itu dalam versi filem untuk mengetahui sejauh mana karakter Zainudin boleh dikembangkan dalam versi teater.

"Filem dan teater banyak bezanya, sudah tentu teater lebih sukar kerana ia dipentaskan secara langsung.

"Sedikit kesilapan sahaja boleh membuatkan seluruh teater itu rosak, oleh itu saya perlu bersedia dan pastikan pementasan nanti berjalan lancar," jelasnya kini sibuk dengan penggambaran drama dan akan fokus kepada teater tersebut selepas tamat sesi penggambaran.

Berkongsi mengenai Zainudin, Amar berkata, dia adalah seorang yang cekal yang mana jika dia jatuh cinta, cintanya sehingga ke akhir hayat.

“Tiada apa yang boleh menghalang cintanya dan apabila timbul konflik kepada cintanya, bermulalah cabaran besar kepada Zainudin,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Amar bakal muncul menerusi drama Alif Amani di slot Ratu TV9 bersama Fezrul Khan, Fasha Sandha dan Umi Nazeera.


Rindu berlakon teater: Amyra

Berbeza dengan Amar, oleh kerana latar belakangnya dalam bidang ini bermula dengan teater, empunya nama sebenar Nur Amira Izzati Rosli memberitahu, tawaran berkenaan diterima kerana dia amat merindui bidang teater.

Meskipun pernah menerima banyak tawaran berlakon teater sebelum ini, tetapi tugasan padat dan tanggungjawabnya sebagai pelakon televisyen memaksa dia menolak tawaran terdahulu.

"Sebelum ini, jadual kerja saya sangat padat. Lagipun saya tidak mahu menerima pelbagai tawaran jika saya tahu saya tidak boleh melakukannya.

"Bimbang pula akan menyusahkan diri sendiri sahaja. Pada masa sama, saya tidak mahu campur adukkan kedua-duanya, jadi apabila tawaran ini tiba pada masa sesuai, saya terima sahaja," kata pelakon berusia 24 tahun ini.

Bercerita peranannya sebagai Khadijah pula, kata Amyra, walaupun sekadar cameo, tetapi ia juga memerlukan tanggungjawab besar.

"Tidak kiralah ia peranan utama atau sampingan sahaja, tetapi setiap watak penting untuk melengkapkan perjalanan sebuah cerita,” katanya Khadijah adalah seorang adik yang antagonis dan cuba menghalang cinta abangnya.

Dalam pada itu, Amyra berkata, jika kerjaya teaternya lebih berjaya berbanding pelakon televisyen selepas ini, dia menerimanya dengan terbuka.

"Saya tidak kisah yang mana menjadi fokus utama selagi diterima dalam industri ini," katanya.

Dalam perkembangan lain, Amyra kini sedang menjalani penggambaran drama Dhia Sofea yang memerlukan dia menjadi teraju utama menerusi drama 15 episod itu.

Previous Post Next Post