Kate Middleton hamil lagi



BAHARU empat bulan melahirkan anak kedua, Charlotte Elizabeth Diana, khabar kehamilan Kate Middleton sudah mula bertebaran sejak beberapa hari lalu.

Menurut sumber kepada Hollywoodlife, Kate dan Putera William, sememangnya mengimpikan untuk memiliki ramai anak.

Malah, khabar gembira kehamilan wanita berusia 33 tahun itu sudah diketahui oleh keluarga besar diraja dan orang tinggi kerajaan.

"Kate sudah mendapat kebenaran dari Ratu Elizabeth II untuk berehat daripada menjalani tugas rasmi, setidak-tidaknya untuk tempoh dua bulan.

"Sama seperti kehamilan sebelum ini, Kate mengalami alahan di awal kandungan. Malah, dia juga amat menjaga kesihatan diri dan kandungannya kerana tidak mahu mengambil sebarang risiko.

"Jadi untuk sementara waktu, adik Kate, Pippa Middleton menemani William menghadiri majlis kerajaan," ujar sumber itu.

Mengikut perkiraan, Kate dilaporkan akan melahirkan anak ketiga sekitar akhir April atau pun awal Mei tahun hadapan.

"Walaupun berita kehamilannya sudah diketahui, Kate dan keluarga diraja seperti belum bersedia membuat sebarang pengumuman rasmi.

"Jadi dia sedaya upaya untuk mengelak daripada paparazi yang mungkin sedang berusaha mendapatkan gambarnya kali ini," tambahnya lagi.

Selain Charlotte, pasangan yang digelar 'Duke and Duchess of Cambridge' turut memiliki seorang lagi cahaya mata, Putera George yang kini berusia dua tahun.


Kecantikan dicemburui

Kate yang sebelum ini sempat menimbulkan rasa cemburu pada ramai wanita di luar apabila berjaya mendapatkan kembali bentuk tubuh yang langsing hanya selepas enam minggu melahirkan Charlotte.

Ketika hadir pada Gloucestershire Festival Polo di Beaufort Polo Club, Gloucestershire pertengahan Jun lalu, Kate kelihatan bersahaja dengan penampilan ringkas.

Malah, Kate tampak bertenaga sepanjang melayan George pada acara itu.

"Dia kelihatan sungguh cantik persis anak dara. Malah dengan usianya yang semakin meningkat, dia kelihatan sangat aktif dan bertenaga melayani kerenah George," ujar sumber yang berada berhampiran keluarga diraja itu.

Dek kerana itu, tidak hairanlah Kate sering menjadi perhatian ramai dengan gaya pemakaian yang dilihat sentiasa sempurna.

Bijak berfesyen dengan pakaian yang sesuai dengan statusnya adalah antara satu kelebihan yang dimiliki Kate.

Setiap baju atau aksesori dipakai Kate, ketika tugas rasmi atau kehidupan harian pasti menjadi perhatian wanita di seluruh dunia.

Atas sebab gaya penampilannya yang hebat jugalah, Kate memberi kesan terhadap dunia fesyen sehingga digelar sebagai Kate Middleton Effect.

Previous Post Next Post