Setelah enam tahun bercinta, Akim dan Stacy akhirnya bertunang pada Sabtu lalu. Tahniah!
Penyanyi Stacy berkata, keputusan mengadakan majlis pertunangannya dengan Akim Ahmad pada Sabtu lalu dibuat selepas keluarga kedua-dua pihak mahu perkahwinan mereka disegerakan.
Menurut Stacy atau nama Islamnya Ummu Shaikhah Stacy Anam, 25, selepas memeluk Islam pada 24 Ogos lalu, keluarganya menganggap tidak manis dia dan Akim sering dilihat bersama apatah lagi hubungan mereka sudah menjangkau lebih enam tahun.
"Mak dan ayah kami minta ia disegerakan. Saya pun sudah masuk Islam, perlukan bimbingan. Tambahan pula kami sudah enam tahun berkawan. Dalam Islam pun tidak elok untuk lelaki dan wanita sering berdua-duaan jika tiada ikatan.
"Selepas berbincang, kedua-dua pihak bersetuju melangsungkan majlis pertunangan pada Sabtu lalu," katanya yang dihubungi Artis Meletop pada Ahad.
Stacy dan Akim atau nama sebenarnya Afiq Hakim Ahmad, 24, telah bertunang dalam satu majlis yang diadakan di ibu kota dekat sini pada Sabtu lalu.
Akim Ahmad dan Stacy sah bertunang pada Sabtu.
Majlis tersebut diadakan secara tertutup dan dihadiri kira-kira 30 orang tetamu terdiri daripada pihak keluarga Stacy dan Akim.
Bagaimanapun Stacy enggan mengulas mengenai apa yang dibincangkan semasa majlis pertunangan itu.
"Saya akan ceritakan lebih lanjut nanti, bukan sekarang," ujarnya.
Sementara itu. Stacy menyifatkan ikatan pertunangannya dengan Akim adalah satu persediaan buatnya sebelum melalui fasa dalam berumah tangga.
Kata penyanyi yang kini popular dengan lagu I Am Not For Sale itu, ikatan pertunangan juga membuatkan dia bersikap lebih matang sebelum bergelar seorang isteri.
"Semestinya saya gembira, akhirnya kami bertunang selepas enam tahun berkawan. Pada masa sama, saya sendiri perlu lebih bersedia untuk menjadi isteri orang," tuturnya.