Momentum muzik Hazama


LEGASI - Menurut Hazama, dia mahu karya nyanyian terus diingati dan menjadi sumber inspirasi kepada penyanyi genarasi akan datang.

SUSUR perjalanan karier lelaki berkulit sawo matang itu tidak semudah atau seindah seperti yang disangkakan. Sepanjang mengejar impian bergelar penghibur, Hazama Ahmad Azmi atau lebih dikenali dengan nama Hazama pernah jatuh tersungkur, tersadung dek kerikil-kerikil kecil yang bertaburan menghalang derap langkahnya.

Bermula dengan kegagalan untuk menempatkan diri sebagai salah seorang peserta Akademi Fantasia musim keempat (AF4) sekitar sembilan tahun lalu, aturan langkah seni penyanyi berusia 31 tahun itu dilihat seperti bersimpang-siur.

Walaupun pada ketika itu, jiwa mudanya masih kontang tidak terisi pengalaman, fikiran matangnya terus memandang ke hadapan dengan kepercayaan terhadap peluang dan rezeki yang telah disuratkan Tuhan.

“Selepas tersingkir pada Konsert Prelude AF4, saya berkeras untuk meneruskan minat saya dalam bidang nyanyian. Waktu itu, fokus saya hanya untuk menjadi penyanyi yang berjaya.

“Namun, tawaran nyanyian yang diterima kurang dan bayaran juga tidaklah sebanyak mana. Kadangkala, saya hanya diberi cenderamata seperti jam tangan sebagai upah menyanyi dalam sesebuah majlis,” tutur Hazama memulakan perbualan.

Ujarnya, walaupun menerima bayaran yang tidak setimpal, semangat dan cita-citanya masih utuh untuk bergelar penyanyi.

“Saya terima apa yang ditawarkan kerana pada waktu itu saya bukan sesiapa. Malah, saya tidak mempunyai lagu sendiri untuk dinyanyikan.

“Itu merupakan satu pengalaman berharga yang tidak boleh saya beli di mana-mana,” katanya.

Pelantun lagu Cinta Teragung itu menambah, kepayahan yang dilaluinya merupakan sumber inspirasi terbesar untuk mengembangkan bakat yang dimiliki.

“Walaupun pada permulaannya agak perit, namun berkat usaha dan keyakinan, nama dan bakat yang saya miliki mula diterima khalayak.

“Tawaran nyanyian semakin banyak dan paling membanggakan, saya juga dipanggil untuk menyanyi bersama kumpulan Meet Uncle Hussein,” katanya.

Laluan rezeki Hazama yang pada awalnya tidak menentu kemudiannya terbuka luas. Lima tahun selepas gagal bergelar pelajar AF4, dia ditawarkan untuk diserap masuk ke AF9 bagi menggantikan tempat pelajar Mohamad Amirullah Jahari atau Amir yang digugurkan pada minggu ketiga ekoran prestasi persembahan yang kurang memuaskan.

Tanpa disangka, tuah yang hadir menyapa Hazama terus mengetuk pintu rezekinya apabila dia dinobatkan sebagai juara AF9 hanya selepas beberapa minggu bergelar pelajar program realiti tersebut.

“Mungkin Tuhan tengok niat dan usaha saya yang tidak pernah putus untuk bergelar penyanyi sehingga saya dapat apa yang saya inginkan.

“Orang kata, kalau kita terus berusaha, pasti kejayaan akan menjadi milik kita. Alhamdulillah, itu yang saya pegang sejak kecil lagi,” ujarnya.


Kekal momentum

Harus diakui, kerjaya nyanyian Hazama selepas dinobatkan sebagai juara AF9 berkembang dalam satu skala yang boleh dibanggakan. Sementelah, kehadirannya dalam industri hiburan juga mula dipandang serius oleh kebanyakan penggiat seni tanah air.

Datuk Siti Nurhaliza pernah mengundang Hazama untuk menyanyi bersamanya menerusi konsert Where The Heart Is yang diadakan di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) sekitar pertengahan tahun lalu.

Dalam pada itu, dia turut berpeluang untuk berkolaborasi dengan penyanyi rock Amy Search menerusi sebuah lagu berjudul Simetri.

Mengulas mengenai graf kerjaya nyanyiannya yang dilihat semakin stabil, Hazama menganggap, fasa merupakan satu perkembangan yang boleh dikategorikan sebagai positif.

Kongsinya, kestabilan itu perlu dikekalkan supaya jangka hayatnya dalam industri dapat dipanjangkan.

“Saya selesa dengan apa yang saya lakukan sekarang. Tidak terlalu mencuba dan tidak terlalu ketinggalan.

“Sebagai seorang penyanyi, saya mahu terus berkarya dalam industri. Untuk mencapai matlamat itu, saya perlukan kestabilan agar nama dan karier terus kekal relevan dalam kalangan peminat,” katanya.

Tidak mempunyai sebarang formula atau resipi untuk terus memahat nama di hati peminat, Hazama berkata, apa yang diutamakan adalah karya-karya yang diketengahkan.

“Seni itu tidak boleh dipaksa. Kalau terus dipaksa, ia akan menjadi satu perkara yang sia-sia.

“Bagi saya, untuk kekal dalam industri, seseorang penyanyi itu perlu mempunyai lagu yang bagus, selain memberikan komitmen yang tidak berbelah bahagi,” katanya lagi.

Bercakap mengenai lagu, Hazama kini sedang giat mempromosikan single terbaharunya berjudul Sampai Mati.

Menurut Hazama, lagu tersebut pada asalnya dicipta sebagai lagu runut bunyi untuk drama bersiri berjudul Hati Perempuan yang disiarkan menerusi slot Akasia di TV3 sekitar bulan Mei lalu.

Disebabkan sambutan yang diterima sangat menggalakkan, pihak pengurusan mengambil keputusan menjadikan lagu ciptaan Audi Mok dan Omar K itu sebagai single terbaharu Hazama.

“Saya sukakan lagu ini kerana ia mempunyai elemen balada rock yang cukup sesuai dengan imej saya.

“Berbeza dengan single Malaikat, lagu Sampai Mati menampilkan sisi berbeza saya sebagai seorang penyanyi solo,” katanya.

Selain itu, Hazama juga giat mengumpulkan material bagi album keduanya dan dijangka menemui peminat sekitar awal tahun depan.

Cinta dan hala tuju

Bergelumang dengan kepayahan dan pahit getir hidup sebelum bergelar penyanyi profesional, Hazama memberitahu, dia menganggap cabaran tersebut sebagai satu kelebihan buat dirinya.

Ujar Hazama, cabaran yang dihadapi sebelum ini banyak membantunya lebih-lebih lagi dari segi menguruskan kewangan dan perbelanjaan.

“Saya akui, perkara yang saya lalui dulu banyak mengubah diri saya sekarang. Saya lebih berfikiran jauh dan mementingkan masa hadapan.

“Dari segi kewangan, saya cuba untuk mengelakkan pembaziran dan menggunakan pendapatan saya sebaik mungkin,” katanya.

Bagaimanapun, Hazama tidak terlalu berkira sehingga terlepas untuk merasai perkara baharu yang boleh memberikan inspirasi kepadanya.

“Saya suka ‘beli’ pengalaman dengan duit yang saya ada. Dahulu, sewaktu susah, saya tidak pernah pergi bercuti. Tetapi sekarang, saya jadikan percutian itu sebagai hadiah untuk diri sendiri setelah penat bekerja,” katanya sambil tersenyum.

Selain kariernya yang sedang mekar, hubungan cinta Hazama dan kekasihnya, Genervie Kam juga semakin berbunga indah.

Perkenalan selama dua tahun itu juga telah banyak membibitkan benih-benih kepercayaan, menyebabkan rasa percaya yang terbit antara Hazama dan pemuzik berketurunan Cina itu semakin utuh.

Melanjutkan bicara mengenai perancangan masa hadapan bersama teman wanitanya, Hazama mengakui sudah lama bersedia untuk berumah tangga.

Bagaimanapun, ujar Hazama, atas sebab perbezaan agama, keinginan tersebut harus disemai dengan persefahaman yang teguh, agar keputusan yang dibuat kelak lahir daripada hati yang ikhlas.

“Perkara ini (Genervie memeluk Islam dan berkahwin dengannya) memerlukan banyak masa dan pengorbanan.

“Apa yang saya mahukan adalah hatinya dan saya sedang sabar menunggu. Insya-Allah, jika ada jodoh, tidak ke mana. Doakan lah perhubungan kami,” katanya.

Previous Post Next Post