Nazim Othman lebih hargai kehidupan



SELEPAS melalui episod getir, aktor Nazim Othman menyifatkan peluang kedua yang diberikan ALLAH SWT sebagai nikmat terbesar dalam hidupnya.

Hikmahnya, tunjang utama drama bersiri Astana Cinta Aneesa itu kini lebih menghargai kehidupan dan orang sekeliling.

"Apabila disahkan mengalami ketumbuhan di bahagian otak, pada saya, ia adalah ujian terberat yang perlu saya hadapi.

"Bahkan, kerana itu juga ia membuatkan saya sedar tentang banyak perkara.

"Tidak seperti dulu, saya kini lebih tenang dan reda dalam meniti kehidupan di hari-hari mendatang," katanya kepada Zass ketika ditemui pada majlis pelantikannya sebagai duta produk Himalaya, baru-baru ini.


Menceritakan lebih lanjut, pemilik nama sebenar Nushrul Alif Othman ini mengakui tahap kesihatannya kini berada dalam keadaan baik.

"Ramai yang bertanyakan keadaan saya. Alhamdulillah, saya kini menjalani hidup seadanya.

"Saya tidak lagi memerlukan rawatan susulan.

"Untuk kekal sihat dan cergas, saya cuma menjaga pemakanan, mengelakkan stres dan saling bersikap positif," katanya.

Pada masa sama, Nazim yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-31 pada 16 September semalam turut berdoa agar dikurniakan kesihatan yang baik dan dimurahkan rezeki selain menantikan jodoh bersesuaian.

Bahkan, Nazim yang kini masih berkawan baik dengan bekas kekasihnya yang juga aktres jelita, Bella Daily mengakui hatinya kini sudah terbuka untuk mempunyai keluarganya sendiri.

"Sudah tentu saya juga punya keinginan untuk mendirikan rumah tangga apatah lagi saya kini bakal mencecah usia 31 tahun.

"Tapi, itu bukanlah faktor utamanya kerana secara mentalnya, saya sememangnya sudah bersedia cuma menantikan masa yang bersesuaian saja.

"Dan, jika benarlah jodoh di antara kami kuat, Insya-ALLAH, kami akan berkahwin juga suatu hari nanti. Lagipun, agak sukar nak mencari wanita seperti dia, yang memahami perangai gila-gila saya," katanya.


Rindu jadi pramugara?

Dalam pada itu, pelakon drama bersiri Kalimah Jiwa ini mengakui rindu dengan kerjaya pramugara yang ditinggalkannya sejak 2008.

"Jujurnya, saya suka dengan aktiviti mengembara. Malah, pada masa sama, entah mengapa, saya suka berada dalam kapal terbang.

"Situasi itu juga menggerakkan hati saya untuk menghadiri temu duga di dua syarikat penerbangan iaitu Emirates dan Air Asia.

"Saya kemudiannya mendapat panggilan temu duga sekali lagi dengan Air Asia namun, terpaksa melupakannya lantaran terlambat mengetahuinya,” katanya.

Menganggapnya sebagai rezeki, pelakon drama bersiri Dejavu Di Kinabalu ini bagaimanapun reda dengan ketentuan yang telah ditetapkan oleh-Nya.

"Mungkin rezeki saya bukan dalam bidang tersebut (pramugara) kerana kemungkinan cabang rezeki saya lebih meluas dalam bidang seni.

"Bahkan, sekiranya saya berjaya menjadi pramugara sekali lagi, saya tidak akan sesekali meninggalkan bidang lakonan.

"Ramai juga rakan-rakan yang menasihati saya agar meneruskan apa saya yang saya sedang lakukan kini," katanya.

Bukan itu saja, Nazim juga baharu saja dilantik sebagai duta produk Nourishing Skin Cream Himalaya dan akan bekerjasama dengan pendatang baharu, Nedlyn Nazlan bagi menjayakan filem web #HCintax3.

"Saya sering mengalami masalah kulit kering sewaktu melancong dalam dan luar negara, tidak kira pada waktu bekerja atau bercuti, tetapi keadaan menjadi lebih teruk apabila terdedah dengan cahaya lampu tinggi terutamanya ketika di set penggambaran.

"Kini, saya sentiasa membawa krim ajaib ini ke mana sahaja bagi mengekalkan kelembapan kulit saya sepanjang hari," katanya.

Dalam perkembangan lain, Nazim kini sibuk dengan penggambaran drama bersiri Akulah Balqis arahan Erma Fatima bergandingan dengan adik Balqis, Nabila Huda dan Aeril Zafrel untuk slot Akasia TV3.

Previous Post Next Post